Ziarah Kasih Amalnita di perkampungan Orang Asal

- Advertisement -
JELEBU: Perkumpulan Mawaddah Warahmah Jempol yang berdaftar sebagai NGO Amalnita telah mengadakan program Ziarah Kasih mendekati masyarakat Orang Asal di Kampung Sawah, Air Baning, Kuala Klawang, di sini semalam.
 
Sempena program tersebut, pihak Amalnita telah menghulurkan sumbangan berbentuk set barangan dapur dan juga set pakaian solat wanita kepada keluarga dan kaum muslimah Orang Asal.
 
Ketua Perkumpulan, Bibah Tumin gembira dengan sambutan diberikan di mana seramai 21 muslimah Orang Asal termasuk dua orang yang baru memeluk Islam hadir pada program itu. 
 
Beliau yang juga Naib Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan turut ditemani Sukarelawan Amalnita dari kawasan- kawasan lain, di samping kehadiran Pegawai Orang Asal, Pengerusi dan Imam Surau di situ.
 
Jelasnya lagi, program tersebut berlangsung di Surau Al Falah, Kampung Sawah di mana telah menampilkan juga pendakwah, Ustazah Masdiati Aminuddin yang menyampaikan pengisian berkait aqidah.
 
Antara intisari tazkirah disampaikannya, beliau menyeru agar mereka wajib menjaga ibadah solat di samping memberi peringatan agar mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai satu cara hidup.
 
Bibah Tumin berazam untuk meneruskan usaha-usaha kebajikan seperti ini di kawasan-kawasan lain di Negeri Sembilan. 
 
Amalnita yang bernaung di bawah Yayasan Amal bergerak aktif kini di mana mempunyai ramai sukarelawan dalam kesinambungan kerja-kerja kebajikan.
 
Muslimat yang ingin mendaftarkan diri sebagai ahli sukarelawan Amalnita boleh menghubungi Pengerusi Amalnita Negeri Sembilan, Masita Ali  (019-265 5059) dan Bibah Tumin (019-676 1607). – HARAKAHDAILY 2/11/2017
- Advertisement -