MB Kedah heret KFA dalam agenda politik?

- Advertisement -
DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah kesal dengan kejadian isu tiket Final TM Piala Malaysia yang dilihat berkepentingan politik oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan peminat setia Hijau Kuning menjadi mangsa. Umum mengetahui bagaimana kesetiaan penyokong Helang Merah dalam memberi sokongan kepada pasukan Kedah. Mereka sanggup datang dari jauh, beratur panjang, berpanas hujan, berlapar dahaga, berhimpit-himpit dan menghabiskan duit yang banyak demi memberi pengorbanan, sokongan dan menunjukkan kesetiaan mereka terhadap pasukan Kedah.
 
Namun begitu, pengorbanan mereka seolah-olah tidak dihargai apabila Presiden FAM menyebut dalam satu kenyataan media bahawa sehingga 6,000 tiket telah ditempah oleh orang-orang tertentu di dalam Kedah FA. Begitu juga Kedah FA pernah mengeluarkan kenyataan kuota tiket disediakan hanya untuk 200 permit bas sahaja. Tetapi selepas kenyataan media terbaru daripada Kedah FA hari ini menyebut sebanyak 17,600 tiket diberikan kepada 400 permit bas. Kenapa penambahan mendadak kepada permit bas berlaku? ini mengecewakan penyokong setia Hijau Kuning
 
Kami berharap MB Kedah selaku Presiden KFA perlu bertanggungjawab dalam isu ini demi memberi keadilan kepada rakyat marhaen. Peminat tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dalam memberi sokongan mereka kepada pasukan Kedah. Hentikanlah saluran mudah untuk orang politik atau individu-individu tertentu mendapatkan tiket dengan mudah tanpa perlu bersusah payah seperti penyokong setia Hijau Kuning. Bersihkan korupsi jika wujud dalam isu tiket ini demi kepentingan peribadi dan politik dengan tujuan meraih sokongan undi.
 
Sekiranya wujud kami berharap individu seperti ini tidak perlu berada di persatuan bola sepak. Lebih baik berundur sahaja dan bagi peluang kepada orang-orang yang layak dan mengutamakan penyokong serta dapat menjaga persatuan tersebut dengan tulus. Kami juga menegaskan bahawa sukan sekiranya dicampuraduk dengan kepentingan politik, maka yang mangsanya adalah rakyat. Ambillah semangat kebangkitan pasukan Hijau Kuning demi mengharumkan nama negeri dengan perpaduan dan memahami antara satu sama lain.
 
ABDUL HADI OMAR
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
2 November 2017 | 13 Safar 1439
- Advertisement -