Banjir lumpur RTB akibat pertembungan orang politik

- Advertisement -

MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man perlu memberi penjelasan segera berhubung status Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lencongan Barat yang kini kelihatan seperti tertangguh.

- Advertisement -

Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazman Che Ibrahim berkata, projek yang difahamkan sepatutnya siap pada Jun 2016 itu dilihat seakan terhenti kerja-kerja pelaksanaannya.

RTB 2Menurut beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar, tinjauannya bersama Pemuda PAS Perlis mendapati tiada pekerja, malah jentera-jentera berat juga tersadai tanpa operasi.

“Masalah besar sedang dihadapi adalah keadaan tersebut telah menimbulkan implikasi negatif terhadap penduduk terutama di Kampung Tebing Tinggi, Bintong. Mereka ditimpa banjir sebanyak 12 kali sepanjang tahun ini dan merasa trauma setiap kali hujan turun.

“Akibatnya juga, penduduk menanggung kerosakan kediaman, harta benda, tanaman pertanian dan haiwan ternakan. Ini menyebabkan kerugian dan bebanan kos yang tinggi mencecah jutaan ringgit terpaksa dialami penduduk.

“Sedangkan rata-rata mereka bekerja sendiri dengan pendapatan yang kecil. Lebih malang, tiada pihak terlibat sama ada dari kontraktor atau agensi kerajaan tampil untuk menawarkan bantuan,” kesalinya.

Lebih mengecewakan ujar beliau, pihak yang hadir pula seakan ‘menyalahkan’ Tuhan, di mana asalah yang menimpa penduduk semata-mata dianggap sebagai bencana alam yakni oleh hujan lebat.

Sedangkan menurutnya, ia tidak pernah terjadi sedemikian teruk sebelum pelaksanaan projek tersebut yang seharusnya dibina bagi menyelesaikan masalah banjir, tetapi kini berlaku sebaliknya.

Malah maklumnya, banjir lumpur turut mengenai kediaman yang sebelum ini tidak pernah mengalaminya, selaim kediaman penduduk juga mengalami keretakan dan runtuhan binaan.

“Berpunca dari gegaran kuat penanaman cerucuk dari sebahagian projek tersebut. Paling malang lagi, pengabaian terhadap penduduk di situ kerana dikatakan wujud pertembungan politik oleh pihak tertentu.

“Kami nasihatkan, jangan kerana gajah sama gajah berlawan, pelanduk menjadi mangsa,” katanya difahamkan merujuk kumpulan Menteri Besar dan mantan Menteri Besar.

Projek dari Timah Tasoh ke Kuala Perlis sejauh 22 kilometer itu dilaporkan telah menggunakan kos sebanyak RM560 juta, termasuk pembinaan terowong yang menebuk Banjaran Nakwan membelanjakan RM56 juta.

Tambah Nazman, kesangsian timbul terhadap kewajaran pembinaan terowong sepanjang 756 meter itu kerana aliran air boleh sahaja dilencongkan ke sungai sedia ada.

Kritiknya, selain terpaksa memecahkan fizikal bukit yang memakan kos besar, ianya juga dilihat sebagai punca kelewatan.

Pun begitu kata beliau, perancangan yang tentunya mempunyai alasan tersendiri oleh pihak kerajaan itu, tetap tidak harus memangsakan penduduk.

“Insiden lain juga turut berlaku apabila projek tersebut telah menyebabkan kematian oleh keadaan tergendalanya projek. Anggota polis, Mohd Farijannaim Abdullah meninggal dunia apabila terjatuh di kawasan pembinaan ketika menunggang melaluinya.

“Beliau meninggalkan balu dan dua anak yang masih kecil. Sehubungan itu kami menggesa pihak terbabit segera mengambil perhatian setidak-tidaknya terhadap penduduk yang telah menjadi mangsa keadaan.

“Bantuan, peruntukan, insuran dan segala perkara yang boleh menolong meringankan beban penduduk harus segera dihulurkan,” pintanya.

Beliau juga menyeru agar hentikan ‘politiking’ yang menyebabkan pihak tidak sewajarnya dari terus termangsa.

Selain itu gesanya, Kerajaan Negeri Perlis juga perlu lebih bertanggungjawab memantau perkembangan projek agar dijalankan menurut prosedur standard yang sepatutnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2017

RTB 3

- Advertisement -