Bajet 2018 dan poket anak muda

- Advertisement -

TAHNIAH diucapkan kepada Jabatan Profesional Muda PAS yang telah menganjurkan diskusi Bajet 2018 secara kreatif, melalui program Teh Tarik For Malaysia (TTFM) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Dengan kehadiran hampir 50 orang pengunjung dan turut diikuti oleh 15,000 penonton secara langsung melalui Facebook, ternyata pendekatan yang lebih santai ini berjaya menarik minat anak muda bagi menyuarakan pandangan terhadap isu ekonomi negara dan bebanan sara hidup yang ditanggung mereka.

Terdahulu panelis membicarakan tentang kedudukan bajet dalam ekonomi negara, dan kaitannya terhadap kehidupan rakyat dan anak muda. Secara ringkas, bajet merupakan sebuah perancangan yang menggariskan punca pendapatan dan aliran perbelanjaan dalam tempoh setahun, bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Justeru, proses merangka belanjawan ini bukannya terhenti di peringkat kerajaan, malah anak muda sebagai individu dan ketua keluarga turut disarankan untuk menyediakan belanjawan peribadi sebagai langkah mengurus kewangan dengan lebih bijak.

Secara spesifik, diskusi TTFM Bajet 2018 melihat belanjawan ini adalah ‘mesra anak muda’ dalam aspek keusahawanan dan latihan kemahiran, tetapi ‘tidak mesra anak muda’ dalam aspek kos sara hidup dan peningkatan pendapatan.

Pelbagai insentif keusahawanan wajar dimanfaatkan oleh golongan belia, meliputi bantuan modal, gran perniagaan dan bimbingan keusahawanan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti MARA, MDEC, TEKUN, PUNB, dan Amanah Ikhtiar.

Namun, kerajaan disarankan agar mempermudahkan proses memohon bantuan keusahawanan, antaranya dengan tidak lagi perlu mengisi borang secara manual, dan yang paling penting, tidak perlu dipolitikkan seperti perlu mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN di dalam borang permohonan.

Selain itu, para belia disarankan untuk memanfaatkan segala bantuan yang disediakan dalam aspek latihan dan kemahiran, khususnya dalam bidang TVET, ekonomi digital dan revolusi industri 4.0.

Dalam suasana kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan, para graduan wajar mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah melalui peruntukan MyBrain. Di samping itu, golongan belia bandar dan luar bandar disarankan untuk mengikuti pelbagai program latihan kemahiran di bawah KBS, MDEC, MARA, dan SME Corp, sebagai usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan dan taraf kehidupan generasi muda.

Manakala dalam aspek kos sara hidup dan peningkatan pendapatan, Bajet 2018 dilihat ‘tidak mesra anak muda’, khususnya kesan daripada pelaksanaan GST yang menyumbangkan kepada kenaikan harga barang, di samping kesukaran golongan muda untuk memiliki rumah dan peluang pekerjaan yang terhad.

Selain itu, Bajet 2018 dilihat terlalu menumpukan aspek pembangunan material, sehingga mengabaikan aspek pembangunan akhlak dan kemanusian bagi mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi cabaran sosial dan teknologi digital yang semakin moden. Kecanduan remaja terhadap gajet semakin menghakis nilai kemanusiaan di dalam interaksi sosial, malah mendedahkan mereka terhadap pelbagai budaya negatif yang perlu dikawal dengan penerapan nilai agama dan akhlak yang mulia.

Di penghujung diskusi tersebut, terdapat lima agenda bertindak yang disarankan terhadap generasi muda dan kerajaan dalam konteks Bajet 2018.

Pertama, pendapatan yang diperolehi oleh individu dan kerajaan mestilah daripada sumber yang halal dan diberkati, tanpa ada unsur rasuah, salahguna kuasa dan perkara yang diharamkan agama.

Kedua, perbelanjaan mestilah terhadap perkara yang perlu dan mampu, bukannya berbelanja dengan boros dan menjerumuskan diri ke lembah hutang, sebagaimana kerajaan yang kini menanggung hutang mencecah 55% kepada KDNK.

Ketiga, simpanan perlu ditetapkan pada kadar minima 10% daripada pendapatan, bagi menghadapi sebarang musibah serta mempersiapkan diri, keluarga dan negara terhadap keperluan di masa hadapan.

Keempat, aspek pembiayaan peribadi perlu beralih kepada instrumen perbankan Islam, meliputi aspek simpanan, pembiayaan, takaful dan pelaburan. Aspek ini juga juga perlu diutamakan oleh kerajaan, yang masih lagi menanggung unsur riba’ dalam pinjaman dan bon kerajaan.

Kelima, kebijaksanaan pemimpin dalam mengurus kewangan. Tanpa mengira samada ketua keluarga mahupun kerajaan, inilah kunci kejayaan sebuah pengurusan kewangan yang baik demi kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan.

Di atas noktah inilah, diskusi mengambil kesimpulan terhadap kaitan Bajet 2018 dan poket anak muda, seterusnya menyarankan agar generasi muda memilih pemimpin yang adil dan berkebajikan bagi mengurus ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 2/11/2017

Penulis adalah Pengarah Strategi DPPM dan panelis diskusi TTFM Bajet 2018.

- Advertisement -