Sumbangan kepada Rohingya di Arakan berjaya ‘tembusi’ sekatan

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan menghantar bantuan melalui perhubungan komuniti Rohingya tempatan di  perkampungan etnik Rohingya dalam Wilayah Maungdaw dan Bhutidung, Arakan, Myanmar.
 
Usaha getir menerusi perhubungan yang diwujudkan Sukarelawan MAPIM dengan keluarga etnik Rohingya itu membolehkan penyaluran wang kecemasan bagi pembelian makanan untuk 105 keluarga di sana.
 
Mereka dikesan masih terkepung oleh operasi ganas tentera dan ektremis Myanmar ke arah menghapuskan etnik, selain langsung tidak pernah menerima sebarang bantuan sejak konflik 25 Ogos lalu.
 
Menurut Naib Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, keluarga-keluarga Rohingya yang sedang terancam oleh kezaliman itu terpaksa pasrah kepada Allah untuk terus tinggal disana dan bertahan walaupun sebahagian besar telah lari menyelamatkan diri ke Bangladesh.
 
Maklumnya, dari tarikh 25 Ogos itu hingga pada hari ini jumlah kebanjiran pelarian Rohingya ke Wilayah Cox’s Bazar, Bangladesh sudah mencecah hampir 600,000 dan bersesak di kem-kem pelarian serta sekitar jalan pekan tersebut.
 
Kebanyakan mereka difahamkannya, menyelamatkan diri lari menyeberangi sempadan menuju ke Bangladesh melalui jalan hutan dan sungai di mana menyaksikan tidak sedikit yang terkorban akibat lemas, kebuluran,penyakit dan sebagainya.
 
“Keadaan di dalam wilayah ini semakin terdesak dan keperluan asas hidup seperti makanan dan ubatan sangat terhad. Junta tentera Myanmar terus melakukan pembantaian kepada penduduk Rohingya termasuk membakar rumah-rumah.
 
“Mereka juga enggan membenarkan agensi atau NGO bantuan antarabangsa memasuki wilayah ini untuk menghantar bantuan kepada penduduk yang terkepung.
 
“Walaupun Sukarelawan MAPIM dari Malaysia tidak dapat memasuki wilayah ini , usaha perhubungan tempatan yang dibuat telah membolehkan bantuan sampai ke tempat paling kritikal,” maklum beliau.
 
Direkodkan oleh MAPIM, di Maungdaw terdapat seramai 70 keluarga di Quarter 5 dan 20 keluarga di Sheil Khali, manakala 15 keluarga lagi di Kampung Buthidong yang telah menerima sumbangan berjumlah RM10,000 itu.
 
Wang tersebut keseluruhannya telah digunakan untuk membeli makanan dan ubatan kepada keluarga-keluarga tersebut.
 
Orang ramai yang prihatin diseru untuk terus menyalurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Rohingya-MAPIM (55520 9522 4432 – Maybank) atau (020 2001 0072 272 – Bank Islam) atau (154 0018 8063 0425 – Al Rajhi Bank).
 
Sebarang pertanyaan hubungi +60175606131 (Tarmizi) atau Mohd Shukri +60197585658. – HARAKAHDAILY 1/11/2017
- Advertisement -