RM600 tidak atas masalah pesawah

DrAhmadFakh
ALOR SETAR: Pemberian ‘one-off‘ sebanyak RM600 kepada pesawah yang diumumkan Perdana Menteri pada Bajet 2018 tidak memadai dengan bebanan golongan tersebut di mana terpaksa berhadapan dengan pelbagai kenaikan kos.
 
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi menggesa agar kerajaan melihat keperluan berkaitan pelaksanaan kerja pertanian oleh golongan pesawah.
 
“Bukan kita menghalang atau tidak setuju para pesawah menerima insentif tersebut, tetapi kerajaan jangan hanya menilai keperluan mereka dengan pemberian seumpama itu.
 
“Adalah lebih besar, kerajaan memikir dan membantu meringankan bebanan mereka dengan hal-hal berkaitan yang dilihat menimbulkan keresahan pesawah,” ujarnya.
 
Terang beliau lagi, kerajaan perlu proaktif menanggani isu pesawah secara holistik merangkumi hal pemutuan padi, kenaikan, serta ketidaktentuan harga benih padi, harga baja dan racun.
 
Malah katanya, kos-kos peralatan dan perkhidmatan pengurusan padi, serta perluasan pemberian subsidi kepada pesawah perlu diambil kira.
 
Tambah beliau, kerajaan harus peka memandangkan para pesawah merupakan agen pengeluar dan penyumbang makanan di Malaysia, namun kebajikan mereka sering terabai.
 
“Pendapatan mereka semakin mengecil apabila dibebankan kenaikan pelbagai kos. Dalam masa yang sama mereka juga terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan yang semakin melambung.
 
“Keringat mereka umpama “orang lain dapat isi, mereka(pesawah) hanya dapat kuah”,” tegas Dr Ahmad Fakhruddin lagi.
 
Justeru itu maklum beliau, PAS Kedah tetap konsisten memperjuangkan hak golongan masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi pertanian seperti penoreh getah, petani, pesawah dan nelayan agar mendapat pembelaan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 1/11/2017