Bila pula PAS jadi parti perkauman Melayu?

- Advertisement -

KALAU PAS boleh pecahkan tembok perkauman sehingga menjadi parti yang tak berasaskan kaum seperti PKR dan DAP tentu PAS akan kelihatan lebih hebat. Ini tidak, duduk main sama Melayu saja. Tak ada pun orang bukan Melayu yang jadi pimpinan PAS.”

- Advertisement -

Beginilah bunyi mesej seorang follower fb yang saya anggap dia baru nak belajar berpolitik. Tak apalah, belajar perlahan-lahan dan jangan gelojoh.

Bila pula PAS jadi parti perkauman Melayu? Syarat nak jadi ahli PAS ialah Islam. Yang belum Islam mereka bergabung di bawah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Mula-mula masuk DHPP, akhirnya kenal Islam dan ramai yang dah masuk Islam. Cuma polisi PAS kita tak hebohkan kerana beberapa sebab dan strategi. Dah masuk Islam, mereka diterima menjadi ahli PAS sepenuhnya.

PAS juga memberi peluang kepada orang bukan Melayu untuk menjadi pemimpin malah menjadi wakil rakyat. Antaranya, Datuk Anuar Tan Abdullah yang sehingga sekarang masih lagi menjawat jawatan EXCO Kerajaan Kelantan dan sahabat saya Dato’ Drs Khalil Idham Lim Abdullah yang pernah menjadi ADUN Titi Serong di Perak. Lama saya berkawan dengan Khalil Idham Lim. Sehingga sekarang dia masih lagi Cina dan saya kekal Melayu. Malah seorang wanita India non-Muslim, Cik Kumutha Rahman pernah bertanding sebagai calon PAS di Johor. Sahabat saya di Terengganu, Jefry Chua, bukan setakat pergi program di masjid, malah tolong bersih dan sapu masjid sekali.

Ketika ke Sabah suatu masa dulu, saya menziarahi satu PASTI di Putatan. Ada keluarga Cina yang belum Islam hantar anak dia belajar di PASTI sedangkan PASTI itu maknanya Pusat Asuhan Tunas Islam. Di PASTI ada diajar Quran, Hadis, doa-doa dan asas-asas aqidah Islam.

Biasa saja di mana-mana pilihan raya, orang Cina atau India pakai baju lambang PAS, atas belakang ada tulis, ‘Saya India tapi saya sokong Islam’. Nak tanya sikit, ada tak orang India atau Cina bawa bendera atau pakai baju Umno? Huh! Orang Melayu bandar pun malu nak pakai baju Umno, tinggal Melayu di kampung saja.

Parti yang berasaskan kaum adalah Umno, bukannya PAS! Nama pun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. PAS, Parti Islam SeMalaysia. Dengan makna sesiapa saja yang Islam dan warganegara serta menerima dasar Islam yang dibawa PAS, dia boleh jadi ahli serta pemimpin.

Melayu, Cina, India, Siam atau apa bangsa sekalipun, ini adalah bangsa yang telah ditentukan oleh Allah. Tak ada siapa yang mampu ubah dan tukar. Kita semua hamba Allah. Tapi aqidah boleh berubah. Sebab itu mana ada pernah dengar orang PAS laung hidup Melayu!!! Kalau laung hidup Islam memang ada. Melayu, Cina, India, Siam serta apa bangsa sekalipun, PAS adalah bahtera bagi saudara semua. Belum Islam pun tak apa. Mari naik di serambi dulu. Lepas itu dah alang-alang duduk di serambi, marilah perlahan-lahan masuk dalam rumah.

DR AZMAN IBRAHIM
AJK PAS Pusat
1 November 2017 – HARAKAHDAILY 1/11/2017

- Advertisement -