Penyokong BN rasa didiskriminasikan

- Advertisement -
TAWAU: Para penyokong BN meluahkan kekecewaan terhadap komponen itu yang tidak mempedulikan permohonan mereka untuk mendapatkan kemudahan asas bagi Kampung PPRT Perpaduan, di sini.
 
Menurut mereka, sejak dibuka perkampungan itu 17 tahun lalu, jalan laluan utamanya tidak pernah diturap walaupun telah mengaju pengaduan kepada pihak bertanggungjawab.
 
“Pernah juga ada pihak menghantar batu jalan an ditabur di tempat-tempat yang berlubang. Tapi seolah-olah sekadar begitu sahaja. Keadaan jalan semakin teruk terutama selepas hujan.
 
“Keadaan ini amat menyusahkan penduduk kampung yang perlu keluar untuk mencari rezeki,” luah penduduk di situ, Noramin Ahmad.
 
Manakala Siti Naqiah Ahmad pula menunjukkan gelanggang sukan kampung itu yang dijanjikan naik taraf khususnya untuk acara futsal.
 
Sangkanya, pagar keliling yang tinggi akan dibina, tetapi hanya sekadar disimen keluasan gelanggang kira-kira 1 meter lebar sepanjang tepi gelanggang.
 
“Kami pengundi BN, namun prasarana kampung kami amat teruk sekali,” dengus seorang lagi penduduk yang enggan namanya dikenali.
 
Kedaifan dari kemudahan asas itu dialami mereka walaupun perkampungan tersebut terletak hanya kira-kira 2 kilometer dari simpang utama projek Lebuh Raya Pan Borneo.
 
Malah seakan diskriminasi apabila jalan berturap disediakan pula untuk flat PPR Taman Seri Balung yang terletak bersebelahan dengan Kampung PPRT Perpaduan.
- Advertisement -