Notis peringatan di Pusat Khidmat Salor

- Advertisement -

SELEPAS berlaku pindah milik lot yang menempatkan Pejabat Pusat Khidmat Dun Salor di Pendek, PAS Kelantan memasang papan peringatan di hadapan pejabat itu hari ini.

- Advertisement -

Papan kenyataan tersebut ditulis ‘Hak Milik Persendirian Sebarang Pencerobohan Akan Diambil Tindakan’.

Salah seorang pemegang amanah baru lot berkenaan, Mohd Yassin Yusof berkata, beliau bersama tujuh lagi kakitangan Perhubungan PAS Kelantan memasang papan peringatan itu tengahari tadi.

Katanya, peringatan itu dipasang selepas notis dihantar pejabat peguam pada 12 Oktober lepas yang diterima wakil Pusat Khidmat Dun Salor.

“Dan tarikh akhir pihak terbabit perlu mengosongkan bangunan itu pada 14 November ini,” katanya. Tiga lot yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor turut dinamakan empat penama lagi.

Hartanah tersebut dibeli PAS selepas dijual pemiliknya isteri arwah Ahmad Rosli Ibrahim, Haripah Dollah pada harga RM700,000 termasuk bangunan di lot berkenaan.

Urusan pindah milik selesai 18 September lepas dan berikutan itu notis dikeluar pejabat peguam bagi membolehkan mereka yang berada di bangunan di situ mengosong dalam tempoh sebulan.

PAS Kelantan dijangka akan mengadakan solat hajat di premis terbabit pada 16 November ini sebagai kesyukuran berjaya memiliki semula bangunan tersebut, yang dibangun ahli-ahli dan penyokong PAS.

Minggu lepas pemuda PAS memasang bendera PAS di hadapan pusat khidmat tersebut.

Yassin yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan berkata, pemasangan papan peringatan itu berjalan lancar dan turut mendapat kerjasama penduduk tempatan.  – HARAKAHDAILY 31/10/2017

- Advertisement -