Islam memimpin perubahan

- Advertisement -
 
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
 إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا * لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا * وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا * هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَعَ إِيمَانِهِمْ ۗ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
 
1 – Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. 2 – Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukum-Nya). 3 – Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya). 4 – (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia-lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[al-Fath 1 – 4]
 
Fathu Makkah dan Penaklukan Kota Parsi
 
Islam membuka lembaran baru apabila berjaya menguasai kembali Kota Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah yang masyhur. Ia bukan setakat mengembalikan maruah umat Islam di Makkah tetapi menambah kegerunan musuh di sekelilingnya di atas kejayaan yang tidak diduga. Kesabaran dan kecekalan Nabi dan para Sahabat sepanjang mereka diuji dahulu, kini diubati dengan kemenangan bergaya dan aman damai. Ia juga menjadi bukti bahawa Islam bukan setakat amalan di hati dan sendirian, bahkan hingga ke peringkat mentadbir dan memimpin manusia ke jalan Allah melalui pemerintahan.
 
Janji Rasul Itu Pasti
 
Sewaktu hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah bersama Abu Bakar, Baginda dikejar oleh seorang penunggang kuda handalan yang diupah oleh pemuka Quraisy untuk membunuhnya. Dalam usahanya mengejar Baginda, beberapa kali kudanya terjerumus ke dalam pasir dan dia terjatuh dari kudanya hinggalah berputus asa dan menyerah diri.
 
Ketika itulah Nabi menyebutkan padanya, “Bagaimana kelak kau akan memakai pakaian kebesaran daripada Kerajaan Kisra wahai Suraqah?”
 
Suraqah bin Malik menyatakan ke-Islamannya ketika Fathu Makkah. Ia mengikuti setiap peperangan sehingga kewafatan Baginda S.A.W. Kemudian meneruskan perjuangannya pada zaman Abu Bakar dan Umar Al Khattab. Allah mengizinkan Kota Parsi ditawan pada zaman Umar Al Khattab dan ketika itulah dipakaikan pada Suraqah pakaian kebesaran Kerajaan Kisra!
 
Meyakini bahawa janji Allah dan Rasul itu pasti adalah aqidah yang mesti disemai dalam diri para pejuang. Dalam suasana politik hari ini yang cacamerba, selayaknya kita juga meyakini hanya Islam sahajalah mampu melakukan perubahan.
 
Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS)
 
Melihat kemenangan Islam bukan hanya dengan berpeluk tubuh dan mengkritik daripada bilik penghawa dingin. Ia memerlukan dokongan penuh dalam aspek keyakinan, juga dalam bentuk gerak kerja dan praktikal. Daripada keyakinan ini PAS mengorak langkah di bawah Gagasan Sejahtera menawarkan produk baru yang digerakkan di bawah slogan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
 
Mengapa BPMS?
 
Umum mengetahui musuh politik kita Umno-BN mempelopori sistem Politik Konvensional yang diimport daripada penjajah sejak merdeka hingga ke hari ini. Pendekatan politik yang dilihat ketinggalan zaman ini menyebabkan masyarakat sudah bosan dan lali dengan apa jua kempen dan pendekatan yang dibuat.
 
Masyarakat semakin hilang kepercayaan bukan sahaja terhadap pemerintah, bahkan kepada semua parti politik apabila parti pembangkang juga tidak konsisten dalam membawa masalah rakyat. pemerintah dan pembangkang hanya dilihat bermain politik untuk kuasa bukan demi rakyat. Jika suasana ini berterusan sampai bila-bila masyarakat akan malas untuk keluar mengundi dan hilang rasa tanggungjawab kepada negara kerana tidak membuahkan sebarang hasil.
 
WINS dan BPMS menjadi satu kayu ukur bahawa PAS konsisten melawan pemerintah, bahkan melawan sesiapa sahaja yang tidak mengikuti lunas Islam. Jiwa besar PAS adalah untuk menyelesaikan kemelut rakyat dengan penyelesaian yang serius bukan sekadar menjuarai isu dan gimik. Jalan keluar daripada suasana ini hanya kembali kepada politik Islam yang sebenar.
 
Mencari Jalan Keluar
 
BPMS diperkenalkan untuk mengajak rakyat meyakini bahawa pasti akan ada jalan keluar dalam kelemut hari ini. Di mana jalan keluar itu adalah ISLAM! PAS menggagaskan suatu budaya baru yang telah dilakukan oleh Baginda S.A.W 1400 tahun yang lalu iaitu Budaya Politik melalui Al Quran dan Sunnah; diperkenalkan melalui BPMS oleh PAS pada hari ini.
 
Budaya Politik baru ini mestilah difahami oleh ahli sebaiknya supaya kita tidak terikut dengan rentak politik yang semakin tidak mendidik rakyat, sebaliknya politik hari ini adalah politik dendam. 
 
Secara asasnya BPMS bermaksud :
 
Komponen pertama, ‘Matang’ merujuk kepada proses. Ia menekankan kepada proses yang berlandaskan kepada pemikiran yang masak berpandukan kepada data dan hujan bagi semua pihak. Khasnya parti-parti politik dan rakyat membuat penilaian, menentukan sikap dan tindakan terhadap sesuatu isu yang timbul di negara ini.
 
Komponen kedua, ‘Sejahtera’ pula merujuk kepada natijah atau matlamat kepada semua tindakan politik oleh mana-mana pihak. Iaitu semuanya mestilah ke arah membawa kesejahteraan kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.
 
BPMS menjadi sebuah gagasan baru yang diketengahkan ke dalam masyarakat agar semua pihak menghayati budak berpolitik yang tidak berpaksikan pengeseran. Tetapi berpaksikan perlumbaan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara.
 
Budaya Politik Matang dan Sejahtera merangkumi tujuh (7) tunjang berikut :
 
1. Politik bertunjangkan prinsip
2. Politik dakwah & Amar ma’ruf nahi munkar
3. Politik Penyelesaian Berasaskan Islam
4. Politik Utamakan Rakyat
5. Politik Damai dan Diplomasi.
8. Politik benar bukan persepsi
7. Politik rasional dan profesional
 
Jihad paling afdhal melawan pemerintah?
 
Memahami hadis Nabi S.A.W bukan semata-mata pada literal hadis, bahkan mesti dibaca mengikut keperluan dan realiti semasa. Menentang kezaliman pemerintah memerlukan suatu tindakan bersepadu dan tidak sembrono. Ada feqahnya untuk menegur pemerintah. Hanya mengambil contoh ulama yang dipenjarakan untuk meletakkan kita dalam kandang penjara juga tidak menjadikan kita mengikut jalan ulama. 
 
Pembudayaan Ilmu
 
Posisi yang mesti diperkasa oleh ahli PAS ialah terus membudayakan ilmu dalam kalangan sesama ahli. Ini penting supaya kita memimpin dengan ilmu bukan dengan semangat yang tidak berpanjangan. Hanya dengan kefahaman yang sahih menjadikan kita mampu beristiqamah. Ahli PAS wajib meningkatkan kualiti ilmu dan kefahaman agama.
 
Membudayakan ilmu bermaksud mengembalikan ahli kepada sumber utama kita iatu Al Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Mengetahui isu setempat, seterusnya isu negara dan antarabangsa yang mampu dikaitkan dengan perjuangan para Nabi dan Sahabat R.A. Semua ini memerlukan kepada para nuqaba’ yang kompeten dan celik perkembangan semasa secara mendasar, bukan melalui bacaan media yang pincang.
 
Kita khuatir ada kalangan ahli yang celik isu semasa, tetapi gagal dalam mengaitkannya dengan politik Islam, begitu juga kalangan ahli yang memahami Al Quran, tetapi gagal mengaitkannya dengan isu semasa. Bahkan kita khuatir aktiviti parti dijalankan dengan membawa imej Islam, tetapi kita jauh dari manhaj Islam sebenar maka lahirlah ‘Dakwah Pop’, ‘Zumba Syar`ie’, ‘Badut Islamik’ dan lain-lain.
 
Bersendiri Namun Berprinsip
 
Bersendirian menghadapi musuh yang ramai mengingatkan kita akan peristiwa Ahzab. Semua mengepung Islam dan Baginda S.A.W bermatian melawan hingga diberikan jalannya oleh Allah. PAS dengan Gagasan Sejahtera tidak menjadikan kita takut, bahkan sepatutnya bertambah yakin bahawa kita mampu mendapat kemenangan tetapi mesti memenuhi syarat-syarat kemenangan. 
 
Gagasan Sejahtera bukan mengajak kita berbangga dengan ahli yang ramai, namun menginsafi bahawa kemenangan adalah dengan prinsip yang ampuh terhadap Al Quran dan Sunnah untuk mendepani cabaran semasa. Meninggalkan keduanya bererti kita menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan seterusnya melewatkan lagi kemenangan Islam.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 31/10/2017
- Advertisement -