Rohingya terus dibela

- Advertisement -
ARAU: Prihatin dengan krisis menimpa umat Islam di Rakhine, Myanmar, PAS Kawasan Arau telah menganjurkan Makan Malam Amal Bersamamu Rohingya, semalam.
 
Ianya dianjurkan atas dasar kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam demi membantu saudara seagama yang sedang ditindas.
 
Program itu telah dirasmikan oleh Persuruhjaya PAS Perlis yang juga Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli dan berlangsung di Markas PAS Sungai Padang, di sini.
 
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan.
 
Mohd Shukri dalam ucapan beliau, menyeru seluruh Ahli PAS khususnya di Perlis untuk sama-sama memberikan sumbangan kepada warga Rohingya bagi meringankan beban mereka.
 
Beliau turut menjelaskan bahawa PAS sangat komited dalam membantu umat Islam Rohingya atas dasar persaudaraan Islam menerusi penyerahan sumbangan kemanusiaan yang dilaksanakan di sana.
 
Program itu telah mendapat sambutan yang meriah dengan kehadiran penduduk sekitar. – HARAKAHDAILY 29/10/2017
- Advertisement -