Perjuangan PAS mendahului prinsip tetap natijahkan kejayaan

- Advertisement -
KUALA KANGSAR: Berbanggalah menjadi golongan yang telah dipilih berada dalam perjuangan Islam, bahkan ia adalah nikmat paling bermakna berada dalam kelompok untuk menyebarkan Islam kepada masyarakat.
 
Demikian suntikan semangat dinyatakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamudin Abdul Karim pada Ijtimak Pilihan Raya PAS Perak 2.0 di Kompleks PAS Kuala Kangsar, di sini semalam.
 
“Atas semangat baiah yang kita lafazkan, maka hari ini dipertemukan dalam perjuangan Islam. Kita faham rakan seperjuangan di Perak berdepan suasana kritikal apatah lagi keadaan masyarakat majmuk yang menjadi pengundi dominan. 
 
“Tapi terus bersabar dengan politik serta menerima keputusan dari pimpinan. PAS menentang kebebasan maksiat seperti pesta arak, sedangkan rakan-rakan yang telah keluar parti terus membuat pembelaan.
 
“Bayangkan sikap pemerintah jika ianya berterusan, namun hasil kesan desakan serta ikhtiar berterusan akhirnya DBKL terpksa akur, bahkan JAKIM memasukkan penegahan tersebut dalam khutbah,” ujarnya menyatakan kejayaan dari prinsip ditegaskan PAS.
 
 
Menurutnya, itulah kemampuan PAS dalam  menyusun strategi politik walaupun dilihat asing dan jauh, tetapi sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tepat
 
Tegas Ustaz Hishamuddin juga, PAS tidak akan bergabung dengan Umno mahupun PH, sebaliknya terus membawa prinsip perjuangan dengan jelas.
 
Terangnya, perpisahan yang berlaku khususnya dengan DAP menuntut penyokong Umno menilai kembali alasan penolakan mereka terhadap PAS dahulu.
 
“Kerana satu ketika dahulu mereka pernah mendakwa bahawa disebabkan PAS bergabung dengan DAP mereka tidak memberikan kepercayaan pada PAS,” maklum beliau yang juga Adun Tepoh.
 
Oleh itu serunya, situasi sekarang memerlukan mereka bakal bersiap sedia meninggalkan Umno dan memilih PAS untuk menjadi pemerintah negara.
 
Katanya, jalan umat Islam adalah berjihad mempertahankan Islam seperti generasi dahulu yang umpama telah menebas lalang-lalang tebal menghalang perjuangan.
 
Jelasnya, semangat yang ada pada generasi lama perlu diturunkan kepada generasi baru sepertimana Khalifah Umar Al-Khattab memanggil Khabab untuk menceritakan penderitaan dilaluinya. 
 
Cara itu jelas beliau sebagai suntikan semangat kepada generasi akan datang yang bakal mewarisi perjuangan panjang itu. – HARAKAHDAILY 29/10/2017
- Advertisement -