Pendekatan Almarhum Ustaz Azizan akan dilaksana semula

- Advertisement -

KUALA KEDAH: PAS Kedah komited melaksanakan semula beberapa program yang pernah dilaksanakan semasa pentadbiran Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sekiranya kembali memerintah Kedah.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi menegaskan demikian pada Himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Menurutnya, antara yang akan dilaksanakan semula termasuklah bantuan Skim Kafalah yang telah dihentikan oleh Kerajaan BN Kedah sebaik sahaja mereka kembali memegang tampuk pemerintahan selepas PRU13 lalu.

“Skim yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan untuk membantu pihak waris menguruskan kematian itu akan dinaikkan dari RM500 kepada RM750 sebagai menunaikan hak kebajikan rakyat.

“Malah, skim yang pernah dilaksanakan dahulu jauh lebih baik dari Khairat Kematian sebanyak RM250 yang kononnya dilaksanakan oleh Kerajaan Kedah sekarang, namun setakat ini masih kabur dan tidak dilunaskan dengan sebaiknya, ” ujarnya.

Selain itu katanya, Kem-kem Pembangunan Modal Insan akan dilaksanakan semula terutama kepada golongan remaja seawal 13 tahun untuk memberi pendedahan Pendidikan Islam agar mendapat keseimbangan dalam pembentukan sahsiyah diri terutama di saat negara dilanda kebejatan masalah sosial yang semakin kronik.

Dr Ahmad menjelaskan, program-program sedemikian yang menjadi nadi membentuk keperibadian Muslim sejajar melahirkan generasi bertakwa untuk pembangunan negara dan negeri, tetapi dipandang sepi dan ditamatkan pelaksanaannya oleh Kerajaan BN.

“Ibu bapa tercari-cari alternatif untuk pengisian anak-anak di musim cuti sekolah khususnya tetapi tidak diperolehi lagi sekarang. Kalau ada pun itu yang dianjurkan oleh pihak persendirian yang bayarannya agak mahal dan tidak mampu disertai oleh golongan kurang berkemampuan.

“Namun PAS tetap komited sejak dahulu (sebelum mentadbir Kedah) mengendalikan program-program seumpama itu dan pengalaman sedia ada dibawa pelaksanaan di peringkat kerajaan dan insya-Allah akan diteruskan semula andainya diberi mandat menerajui Kedah oleh rakyat pada pilihan raya kali ini,” sambung beliau lagi.

Selain itu, PAS Kedah dalam Manifesto PRU14 nanti akan memperkenalkan juga Program Sekampit Beras untuk penoreh getah yang telah pun dilaksanakan di peringkat parti beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, program berkenaan akan dijadikan satu sumbangan untuk golongan mustad’afin dalam membela kebajikan mereka melalui program secara langsung.

Justeru itu katanya lagi, manifesto yang ditawarkan kepada rakyat secara terus menjurus kepada kesejahteraan terutama kepada golongan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 29/10/2017

- Advertisement -