Resolusi Muktamar Ulamak Ummah terhadap normalisasi politik dengan Zionis Israel

- Advertisement -

SETIAP Muslim di seluruh dunia mempercayai dengan penuh akidah keyakinan bahawa bumi Palestin tercinta dan setiap inci tanahnya yang dijajah oleh rejim Zionis Israel sebagai isu terbesar mereka yang wajib dibebaskan bahkan menjadi tanggungjawab ke atas diri mereka yang akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

- Advertisement -

Jika dilihat perkembangan hari ini, pendirian beberapa pertubuhan Arab dan Islam dalam konteks Normalisasi Politik yang seolah-olah memberi pengiktirafan terbuka kepada Zionis Israel dan mengakui kewujudannya, selain menjalankan hubungan secara rasmi mahupun tidak rasmi dengan rejim; ianya akan menjurus kepada usaha melenyapkan isu Palestin serta berlepas tangan untuk membebaskan Masjidil Aqsa daripada najis Zionis yang zalim.

Bertitik tolak dari maksud ayat 187 Surah Ali Imran yang berbunyi:

“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (yaitu): “Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan jangan kamu menyembunyikannya,”

Maka, sejumlah ulamak Dunia Islam dari beberapa buah negara yang mewakili daripada pelbagai Institusi Ulamak; antaranya Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Ikatan Ulamak Muslimin, Kesatuan Ulamak Palestin Luar Negara, Kesatuan Ulamak Sudan, Kesatuan Ulamak Ahli Sunnah, Kesatuan Ulamak Lubnan, Ikatan Imam, Khatib dan Pendakwah Iraq, Ikatan Ulamak Syria, Ikatan Ahli Sunnah wal Jamaah Iraq, Kesatuan Ulamak Libya, Ikatan Ulamak Magribi Barat, Pertubuhan Antarabangsa Menentang Keganasan, Persatuan Ulamak dan Nadwah Ulamak Mauritania telah menghadiri satu wacana dialog ilmiah selama dua hari dalam Muktamar Ulamak Ummah Menentang Normalisasi Politik Zionis Israel di Istanbul pada 20-21 Oktober 2017 bersamaan 1-2 Safar 1439H.

Di hujung muktamar ini, para ulamak dengan ini mengisytiharkan perkara berikut :

Pertama: Mengisytiharkan Deklarasi Ulamak Ummah Islamiyyah dalam menentang Normalisasi Politik Zionis Israel bagi membongkar hakikat sebenar di sebalik isu Palestin yang semakin meruncing.

Muktamar dengan ini bersetuju menubuhkan lajnah bagi menerima maklumbalas dan cadangan Para Ulamak dalam menentukan isi kandungan deklarasi dan penterjemahannya kepada pelbagai bahasa. Deklarasi ini kemudiannya akan diumumkan dalam satu sidang akhbar yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kedua: Para ulamak menegaskan bahawa sebarang bentuk Normalisasi Zionis Israel adalah haram dari sudut syarak dan ia juga dianggap satu jenayah yang memalukan samada secara sengaja, ekonomi, media, kebudayaan, kesukanan, mahupun kemasyarakatan. Malahan, mana-mana pihak yang menyeru dan mengusahakan Normalisasi Zionis Israel ini dengan dakwaan tertentu juga tidak menepati syarak. Bahkan, ia tidak lebih daripada kepentingan yang meragukan dan tidak berasas selain menjejaskan Palestin dan seluruh umat sepatutnya mengambil pengajaran daripada pengalaman lepas dan realiti semasa.

Di samping tumpuan para ulamak dalam muktamar kali ini dan deklarasinya dalam menentang Normalisasi Zionis, perhatian juga harus diberkan dalam menentang segala bentuk pintu yang lebih luas kepada pengiktirafan terhadap Zionis sedang diusahakan oleh pelbagai pihak yang akhirnya membahayakan tanah air Palestin dan ummah seluruhnya.

Ketiga: Para ulamak menegaskan bahawa normalisasi Zionis Israel dalam apa sahaja bentuk merupakan jenayah berat yang menyebabkan pelakunya, pembantu ke arahnya dan penyokongnya terdedah kepada kemurkaan Allah SWT.

Untuk menentang normalisasi ini, wala’ (kesetiaan) kepada orang beriman hendaklah diberikan dan disokong, serta tidak bersekongkol dengan penceroboh selain tidak menzahirkan simpati mahupun belas kasihan kepada mereka yang menghalau umat Islam dari tanah air mereka.

Keempat: Para ulamak menegaskan bahawa negara Palestin seluruhnya termasuk seluruh tanahnya yang dijajah oleh Zionis Israel adalah tanah Islam yang tidak harus diserahkan sedikitpun atas apa alasan sekalipun.

Sesunguhnya menyerahkan Palestin dan mengiktiraf kewujudan Zionis Israel dengan mendirikan negara mereka atas tanah Islam dan umat Islam adalah satu pengkhianatan kepada Allah, RasulNya dan seluruh umat Islam.

Kelima: Para ulamak menyatakan bahawa apa sahaja persetujuan, perjanjian dan persefahaman politik antara Pertubuhan Arab dan Islam dengan zionis Israel adalah haram dari segi syarak dan batil serta tidak bertepatan dengan ayat 9 surah al Mumtahanah.

Keenam: Para ulamak menegaskan bahawa hak Umat Islam termaktub dalam syarak ke atas bumi Palestin tidak gugur sekalipun terdapat perancangan dan usaha kononnya bagi membantu isu Palestin, tempat suci dan pelarian. Malah, ia tidak merubah sedikitpun kedudukan hukum syarak tersebut; selain tidak mengubah kewajiban berjihad dan mempertahankannya. Hukum haram Normalisasi Zionis Israel juga tidak akan berubah sekalipun bumi suci ini dipulangkan kembali walaupun sebahagian hak-haknya.

Ketujuh: Para ulamak menuntut agar sebarang penyalahgunaan nama syarak untuk menghalalkan mana-mana sudut politik yang dibuat oleh para pemimpin dan individu berasaskan Normalisasi Zionis ini akan didedahkan kebatilannya dan dakyahnya demi kebaikan dan kebenaran.

Sekiranya tidak akur dengan tuntutan ini, maka tiada ketaatan pada perkara yang maksiat kepada Allah SWT.

Kelapan: Para Ulamak menyeru masyarakat Islam dan setiap individu muslim agar memainkan peranan aktif bersama menentang Normalisasi Politik dengan rejim dan juga menggalakkan peranan ini dimainkan secara berterusan dalam program dan aktiviti kemasyarakatan di peringkat media massa, institusi masyarakat dan dalam kalangan pemuda yang cintakan agama. Hal demikian dapat dilakukan dengan terus-menerus mendedahkan bahaya pengiktirafan terhadap rejim dan membongkar segala kejahatan menerusi tawaran dan hubungan di sebalik normalisasi politik yang dilakukan secara senyap mahupun terang-terangan.

Kesembilan: Para ulamak yang berhimpun kali ini menuntut semua ilmuwan dan pendakwah agar menyumbang tenaga dan usaha ke arah menentang usaha Normalisasi Politik dengan Zionis ini samada melalui penjelasan, peringatan, sebaran, nasihat atau menerusi saluran rasmi politik, gerakan massa dan institusinya, menerusi mimbar-mimbar, serta apa jua hak bagi menolak usaha dan inisiatif ke arah melakukan jenayah Normalisasi Politik ini.(http://ulamasedunia.org/)

Kesepuluh: Para Ulamak menyeru seluruh para pemimpin, rakyat, kumpulan serta institusi agar bersama-sama menyokong rakyat Palestin berhadapan dengan Zionis Israel. Malah, sokongan yang diberikan ini adalah menjadi sebahagian kewajiban untuk menentang Normalisasi Politik dengan Zionis Israel dan ia merupakan tindakan respon yang sangat signifikan.

Rakyat Palestin pada hari ini dengan izin Allah adalah benteng dan kubu teguh dalam menghadapi usaha melenyapkan isu Palestin dan bagi menggagalkan usaha-usaha konspirasi terhadap Palestin, Al Quds dan Masjid Aqsa. (http://ulamasedunia.org/)

- Advertisement -