Tanah runtuh: Maklum balas TBRA kepada SCI

- Advertisement -

PERSATUAN Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) mengalu-alukan cadangan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (SCI) untuk menyiasat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 21 Oktober 2017 di Lengkok Lembah Permai yang membunuh 11 orang.
 
Kami berharap pihak SCI akan membukanya kepada orang awam untuk memastikan ketelusan memandangkan ia melibatkan kepentingan awam, dan juga membenarkan penyertaan dan penglibatan penuh semua pihak yang berkepentingan termasuklah TBRA.
 
Berhubung terma rujukan (ToR) SCI, sukacitanya kami ingin menyatakan bahawa ia hendaklah termasuk proses kelulusan projek dan prosedur untuk melihat jika ia selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.
 
Kami berharap ia juga akan melibatkan bukan hanya garis panduan yang berkaitan tetapi juga undang-undang yang berkaitan untuk membenarkan perancangan dan kelulusan lain, serta aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan pandangan untuk memperbaikinya.
 
Ini juga mestilah termasuk penelitian garis panduan berhubung ‘pembangunan di tanah bukit 2012’, serta memastikan wujud kemampuan yang mencukupi dipihak pihak berkuasa yang berkenaan untuk memantau dan menguatkuasakan dengan berkesan sebarang syarat yang dikenakan.
 
Berhubung ToR yang menggesa pemeriksaan semula “perkara lain berkaitan projek termasuklah jika projek itu dibina di atas tanah rata atau cerun bukit dan untuk menentukan jika tapak kuari adalah sebab bagi kegagalan cerun sementara tapak kerja,” kami ingin menyatakan bahawa apa juga yang nyata ialah pemeriksaan ciri-ciri dan keadaan keseluruhan di tapak dan persekitarannya, termasuklah keadaan tapak sebelum kebenaran kelulusan perancangan dan perubahan yang dibuat kepada rupa bumi semula jadi.
 
Pembangunan di Tanah Bukit
 
Dalam kenyataan yang berasingan, TBRA juga mengalu-alukan kenyataan oleh YB Jagdeep Singh Deo bahawa Kerajaan Negeri akan terus melarang sebarang pembangunan bangunan bertingkat di atas tanah melebihi 76 meter (250 kaki) di atas paras laut.
 
YB merujuk kepada dasar di dalam Pelan Struktur Pulau Pinang berhubung perlindungan tanah bukit yang melebihi 76 meter di atas paras laut.
 
Bagaimanapun berhubung perkara ini, kami merasa bingung bagaimana MBPP pada 2012 meluluskan pembinaan 600 unit terdiri daripada apartmen bertingkat dan banglo di tanah bukit meliputi kawasan seluas 80 ekar yang melebihi 76 meter di atas paras laut yang mana kira-kira 43% adalah di atas cerun yang melebihi kecerunan 25 darjah untuk projek Sunway City di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Pada hakikatnya, kami amat terkejut mendapati bahawa Pihak Berkuasa pada 2011 meluluskan permohonan oleh pihak pemaju untuk mengeluarkan status ‘tanah bukit’ pada tanah itu di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960.
 
MBPP bergantung kepada Garis Panduan 2009 untuk ‘Projek Khas’ bagi membenarkan projek Sungai Ara itu.
 
Tindakan ini bertentangan sepenuhnya dengan pendirian Kerajaan Negeri bahawa tanah bukit mestilah dilindungi.
 
Dalam usaha untuk mencegah berulangnya perkara ini dan menghormati dasar Pelan Struktur Pulau Pinang berhubung tanah bukit, Kerajaan Negeri mestilah melaksanakan perkara berikut dengan segera:
 
(i) Menyemak dan mendefinisikan semula apakah ‘projek khas’ dalam garis panduan 2009 dalam usaha untuk melarang sebarang pembangunan di masa depan di atas tanah bukit kecuali untuk kemudahan awam penting.
(ii) Ia juga mestilah menhentikan sebarang permohonan seterusnya untuk mengeluarkan status ‘tanah bukit’ daripada Akta Pemuliharaan Tanah 1960.
 
Kami juga menggesa Kerajaan Negeri dan MBPP memantau semua pembangunan di atas tanah bukit dan cerun bukit di Pulau Pinang dan mengambil langkah segera untuk memastikan keselamatan mereka yang tinggal di kaki bukit memandangkan pembangunan seperti itu, seperti mana dalam kes penduduk di Taman Seri Rambai/Lau Geok Swee di Paya Terubong.
 
TBRA juga ingin mendapatkan penjelasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kenapa tidak mengikuti dasar dalam Pelan Struktur Pulau Pinang yang menetapkan Tanjung Bungah sebagai kawasan ‘koridor kedua’.
 
Pelan Struktur itu dengan jelas menyatakan bahawa di Tanjung Bungah, sebarang pembangunan perumahan tidak melebihi 15 unit seekar memandangkan ia berada di dalam ‘koridor kedua’.
 
Kenapa Kerajaan Negeri dan MBPP tidak mengikuti dasar ini yang terikat dari segi perundangan? Kami berharap maklum balas segera berhubung perkara ini. – HARAKAHDAILY 27/10/2017
 
Penulis ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA)

- Advertisement -
- Advertisement -