Konsep bandar teknologi hijau di Hari Peladang

che abdullah
- Advertisement -

SAMBUTAN Hari Peladang, Penternak & Nelayan Kelantan dan Ekspo Hijau tahun ini mengenengahkan pameran konsep bandar teknologi hijau.

- Advertisement -

Selain turut dipamerkan bas elektrik, kereta BMW elektrik dan basikal elektrik.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebanyak 16 anugerah diperkenalkan sempena program berkenaan.

Antaranya Anugerah Usahawan Tani Jaya, Anugerah Usahawan Kelompok Jaya, Anugerah Penternak Jaya Ruminan, Anugerah Perikanan Jaya, Anugerah Peladang Jaya Lelaki, Anugerah Peladang Jaya Wanita dan Anugerah Nelayan Jaya.

“Selain itu kerajaan negeri juga memperkenalkan Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani serta Anugerah Tokoh Hijau Kelantan,” katanya di Kota Bharu.

Sambutan Hari Peladang itu diadakan bermula 30 Oktober hingga 5 November di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Perasmian Hari Peladang 2017 akan disempurnakan Pemangku Raja Kelantan,  Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibnin Sultan Ismail Petra.

Pada perasmian program itu akan diadakan pelancaran sistem pengeluaran lembu pedaging hibrid jenama NAIMbif.

Pameran sempena Hari Peladang 2017 melibatkan 35 agensi dan jabatan kerajaan yang akan mempamerkan produk dan teknologi terbaru.

“Pameran Ekspo Hijau pula melibatkan 12 agensi dan syarikat swasta yang memfokuskan pembangunan teknologi hijau. Gerai usahawan pula disertai 53 usahawan dari seluruh negara,” ujarnya.

Hari Peladang turut menawarkan jualan hasil pertanian murah dengan harga ladang termasuk benih durian belanda.

Selain itu jualan harga ladang bawang merah kecil dan minyak masak, jualan promosi tembikai, jagung dan nanas.

Tidak ketinggalan juga jualan florikultur meliputi benih pokok bunga, pokok buahan dan orkid.

Hari peladang turut dimeriahkan pertandingan pemprosesan hasil, pertandingan buah-buahan, sayuran berpasu, sayuran segar, dapur hijau dan ternakan serta buah nadir.

Program menarik lain yang akan diadakan termasuk seminar teknologi dedak sawit, demostrasi mesin roti jala, ceramah teori pembenihan ikan dan demostrasi membuat dadih.

Pertandingan bola sepak antara Jabatan merebut Piala Exco Pertanian, sukan wanita, cabutan bertuah dan persembahan dikir barat, buskers, wayang kulit, ceramah dan bual bicara agama.– HARAKAHDAILY 28/10/2017

- Advertisement -