Gasing, uniknya permainan tradisi

- Advertisement -

DALAM kemajuan dengan permainan komputer yang semakin digemari menyebabkan banyak permainan tradisi semakin dilupakan.

- Advertisement -

Pelbagai permainan tradisi sudah jarang dipersembahkan termasuk gasing pangkah yang sebelum ini sering dikaitkan dengan penduduk di Pantai Timur.

Biarpun terpaksa bergelut dengan peredaran zaman bagi mengekalkan kewujudan gasing tradisional, Lajnah Sukan, Kebudayaan & Kesenian Pahang (DACS), mengadakan pertandingan gasing membabitkan golongan belia bagi mengembalikan nostagia itu.

Timbalan Pengarah DACS Pahang, Mohd Fitri Abdullah mengakui permainan tersebut semakin dipinggirkan, disebabkan arus permodenan dan teknologi masa kini.

Menurutnya, berbanding masa lampau ketika permainan gasing dimainkan di halaman rumah tanpa mengira masa dan tempat, namun kini permainan itu tertumpu dalam gelanggang apabila adanya pertandingan.

“Kebiasaanya, gasing pangkah kini dimainkan sekitar jam 5 petang hingga 7 malam dan ada yang menyambung dari jam 8 hingga 11 malam. Tapi situasi sebegitu sukar untuk dilihat pada hari ini.

“Jadi penganjuran pertandingan ini secara tidak langsung dapat menghidupkan semula kegemilangan permainan gasing di sesebuah kawasan,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Gasing, Felda Sungai Panching Timur di sini, baru-baru ini.

Mohd Fitri berkata, penganjuran kali pertama yang diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia di kawasan Felda dan warga Kuantan.

Jelasnya, pihaknya menerima kira-kira 16 peserta daripada empat kumpulan yang beraksi dalam pertandingan itu.

“Sambutan yang diterima amat menggalakan dan kita dapat lihat pelbagai golongan yang hadir memeriahkan pertandingan ini pada hari ini. Melihat sambutan itu kemungkinan program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
 
Pembuat gasing, Airan Othman, 41, berkata, sehingga kini dia masih menggunakan kaedah tradisional bagi menghasilkan peralatan permainan terbabit, walaupun ada mesin membuat gasing (pelarik) dijual dalam pasaran.

Namun, katanya, ada kalanya dia menggunakan mesin pelarik sekiranya tempahan gasing yang diperlukan dalam masa yang singkat dan banyak.

Ditanya mengenai jenis kayu yang sesuai digunakan bagi membuat gasing, Airan berkata, antara kayu yang digunakan iaitu Koyan, Kempas,  Mentigi, Kurai daripada pokok yang berusia lebih 20 tahun, digunakan untuk membuat gasing kerana ia lebih keras dan tahan lama.

“Sekiranya mempunyai kayu yang sesuai, saya hanya memerlukan masa kira-kira 30 minit hingga sejam untuk menyiapkan sebiji gasing.

“Gasing yang disiapkan bersama taji dengan berat antara 600 hingga 800 gram dijual dengan harga RM40 hingga RM50 sebiji,” katanya yang sudah berkecimpung dalam pembuatan gasing sejak enam tahun lalu.

Airan berkata, dalam sehari dia boleh menyiapkan antara 10 hingga ke 15 biji gasing sekiranya bekalan kayu ada, jika tidak dia terpaksa mendapatkan kayu dengan mencari di hutan.

Dalam pada itu, jelasnya, seni pembuatan gasing kini kurang mendapat tempat di kalangan golongan muda kerana ia memerlukan ketelitian dan minat yang mendalam.

“Ada golongan muda yang berminat, tetapi hanya untuk tujuan penyelidikan dan pembelajaran mereka, bukan untuk mewarisi cara permainan dan pembuatannya,” katanya.

gasing1

gasing3

Info

# Jenis gasing di Malaysia:

-Gasing Jantung,
-Gasing Piring atau Leper,
– Gasing Kelamar,
– Gasing Telur,
– Gasing Berembang,
– Gasing Melayu,
– Gasing Cina,
– Gasing Buku Benang  
– Gasing Pinang.

Cara bermain gasing:

# Gasing pangkah dimainkan secara berkumpulan melempar untuk mengetuk gasing lawan hingga terkeluar daripada gelanggang.

# Gasing uri dimainkan secara individu bagi menguji ketahanan sesebuah gasing berpusing.

Kredit Foto FB : Ali Shamsul Bahar

- Advertisement -