D8 dan visi penyatuan dunia Islam Erbakan

- Advertisement -

MINGGU lalu, sidang kemuncak kesembilan D8, kumpulan negara membangun dunia Islam, berjaya diadakan di Istanbul, Turki, dalam usaha membina kerjasama lebih rapat negara-negara Islam dalam pelbagai bidang meliputi politik, kebudayaan, ekonomi, dan keilmuan, dengan tema “Meluaskan peluang melalui kerjasama.”

- Advertisement -

Kejayaan mengadakan sidang kemuncak ini boleh dikira sebagai satu kejayaan dalam memastikan gagasan yang dibangunkan oleh bekas Perdana Menteri Turki Necmettin Erbakan ini dapat diusahakan supaya diteruskan dan berjalan dalam bentuk yang lebih konkrit dan sistematik.

D8 ditubuhkan semasa tempoh Erbakan sebagai perdana menteri, pada tahun 1997 menggabungkan Turki, Mesir, Nigeria, Iran, Pakistan, Bangladesh, Malaysia, dan Indonesia, meliputi negara-negara penting dari sempadan Eropah hingga ke Asia Pasifik dengan jumlah penduduk melebihi 1 bilion.

Satu isu menarik yang mendapat liputan media daripada pertemuan ketua-ketua negara D8 ini ialah cadangan dikemukakan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, supaya negara-negara anggota pertubuhan ini berdagang sesama negara anggota dengan menggunakan mata wang masing-masing, bagi mengelakkan tekanan pertukaran mata wang asing, iaitu dolar Amerika Syarikat yang kini menjadi mata wang perdagangan global.

Erdogan juga mencadangkan kerjasama antara bank-bank pusat negara anggota bagi memudahkan transaksi sesama negara anggota, pada masa sama menggesa meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk tenaga bersih, pengangkutan, dan pertanian.

Kenyataan berani Erdogan ini jelas menggambarkan satu misi dan visi baharu dalam dasar luar Turki, menyambung visi Erbakan yang mengangkat gagasan penyatuan ini pada masa yang sukar dan berdepan tentangan pelbagai pihak.

Sekiranya kenyataan itu bukan sekadar retorik untuk membina sokongan pada masa sukar berdepan pakatan pesaing dalam geopolitik serantau, cadangan Erdogan itu boleh dilihat sebagai satu misi tertangguh yang kini berada pada masa yang sesuai untuk ditingkatkan usaha pelaksanaannya, dalam keadaan politik serantau dan politik dunia Islam semakin pantas berubah, melibatkan aturan antara kuasa-kuasa berpengaruh dunia Islam.

Cadangan Erdogan supaya keahlian D8 diluaskan juga menggambarkan kepentingan kerjasama ini, yang telah lama diabaikan, dan hakikatnya tidak pernah menjadi satu agenda dalam dasar luar kerajaan pimpinan Erdogan sejak beliau menjadi perdana menteri.

Turki dan sekutu rapatnya Qatar berdepan saingan hebat daripada pakatan Arab Saudi-Emiriyah Arab Bersatu-Mesir, yang telah berjaya mematahkan kemaraan dan pencapaian Doha dan Ankara di seluruh rantau Asia Barat dan Afrika Utara, dari Libya hingga ke Yaman.

Perkembangan ini mungkin satu penjelasan terhadap perhatian diberikan oleh Erdogan kepada D8 yang diasaskan Erbakan ini, yang menjadi satu agenda besar dasar luar Turki di bawah pimpinan Erbakan.

Turki sejak kebelakangan ini, terutama ekoran cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016 mula memperlihatkan perubahan dalam haluan dasar luarnya, terutama apabila memulihkan hubungan dengan Rusia dan sekaligus menyaksikan hubungan dengan AS merosot.

Terkini, kemaraan Abu Dhabi dan sekutu yang lebih mesra Barat mendorong perubahan dalam dasar luar Turki, termasuk membina kerjasama lebih rapat dengan Iran, pesaingnya dalam konflik di Syria.

Perkembangan ini akhirnya mendorong haluan dasar luar Turki semakin menyamai dasar luar Erbakan, yang berdepan pelbagai tekanan dalaman dan luaran akibat sikapnya yang meletakkan dunia Islam sebagai satu prioriti dasar luar.

Satu yang menggemparkan semasa pemerintahan Erbakan ialah perjanjian perdagangan gas dengan Iran bernilai AS$23 bilion, tindakan yang mencetuskan kemarahan Washington dan sekutu-sekutu di dunia Arab. Perjanjian gas itu melaksanakan satu agenda D8 melibatkan kerjasama perdagangan antara negara Islam.

Visi kerjasama dan penyatuan dunia Islam oleh Erbakan itu tetap menjadi satu agenda Parti Saadet, parti Islam Turki yang mewarisi dan membawa agenda diasaskan Erbakan.

Penyatuan dalam bentuk mata wang Islam, kerjasama bidang teknologi dan pendidikan dan sebagainya disuarakan oleh pemimpin-pemimpin Saadet dalam pertemuan dengan pemimpin dunia Islam di seluruh dunia.

Presiden Saadet hari ini, Dr Temel Karamollaoglu dalam wawancara dengan Harakah di Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah 2017 di Kota Bharu, Kelantan bulan Julai lalu menegaskan pentingnya visi penyatuan dunia Islam itu dilaksanakan.

“Penyatuan dunia Islam pada hari ini ialah satu agenda yang mesti dilaksanakan, tidak ada pilihan lain lagi. Selagi negara-negara Islam tidak bersatu, kita tidak boleh mengubal dasar luar kita secara bersama,” tegasnya.

“Selain kerjasama politik, negara-negara Islam juga perlu membina kerjasama dalam bidang ekonomi dan juga budaya.”

Cadangan mata wang bersama pernah disuarakan oleh Erbakan, seperti dijelaskan oleh ketua pemuda Parti Saadet, Fatih Aydin dalam satu ucapannya di muktamar Pemuda PAS, di Kota Bharu.

“Umat Islam perlu mewujudkan kerjasama ekonomi, mewujudkan mata wang ‘dinar Islam’ untuk mengurangkan pergantungan pada dolar AS dan euro, yang pernah dicadangkan sendiri oleh Erbakan,” katanya.

“Barat menubuhkan Nato, IMF, Unesco dan pelbagai pertubuhan lagi bagi mengukuhkan kerjasama dan menyebarkan ideologi mereka.”

“Mereka sentiasa bekerja untuk mengukuhkan lagi pengaruh mereka, tetapi apa yang dunia Islam sendiri lakukan untuk menghadapinya?” soalnya.

Agenda kerjasama dan penyatuan dunia Islam yang diasaskan Erbakan kini kelihatan sebagai satu pilihan yang semakin jelas, ekoran perkembangan semasa dunia yang akhirnya memaksa negara-negara Islam yang sefahaman mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi cabaran terkini.

Ucapan Erdogan di sidang kemuncak D8 minggu lalu menunjukkan gagasan dicetuskan oleh Erbakan itu sebagai satu pilihan yang sukar untuk diabaikan. – HARAKAHDAILY 26/10/2017   

- Advertisement -