Banteras judi kesedaran yang semakin dilenyapkan

- Advertisement -

PEMBONGKARAN kewujudan beberapa pihak yang bergiat aktif melakukan perjudian sehingga melibat pihak keselamatan negara seperti didakwa adalah satu penanda aras kepada rakyat bahawa Malaysia perlu mengubah budaya itu dengan sebaiknya.

- Advertisement -

Pendedahan ini sekaligus membuktikan rakyat Malaysia bakal berhadapan dengan ancaman sekiranya tidak ditangani dari awal bahkan ia berpotensi mendidik masyarakat dengan penerapan budaya samseng dan seumpamanya.

Di Negeri Perak sendiri , pada sekitar tahun 2014 pihak polis telah mengenal pasti empat daerah yang mempunyai bilangan premis judi haram tertinggi berdasarkan serbuan dilakukan sejak Januari hingga Jun 2014.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ketika itu, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim menyatakan bahawa daerah tersebut adalah Ipoh, Manjung, Taiping dan Hilir Perak.

Dalam tempoh 6 bulan sahaja, polis telah melakukan serbuan terhadap 1,410 premis perjudian. Daripada serbuan itu, sebanyak 3,642 rampasan pelbagai barangan untuk perjudian telah dibuat dengan melibatkan 282 tangkapan.

Tangkapan pula membabitkan seramai 235 penjaga premis dan 47 orang pengunjung. Pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan profesion namun tangkapan dalam kalangan pelajar sekolah adalah paling rendah.

Yang lebih membimbangkan kebanyakan premis terbabit berselindung di sebalik perniagaan pusat hiburan keluarga dan didalangi oleh sindiket perjudian.

Terbaru beberapa bulan lalu, masih wujud premis judi haram di Taiping bahkan mereka tampil berani mengiklankan aktiviti melalui medium media sosial. Pergerakan mereka telah dirancang dengan cara beroperasi di dalam kawasan pusat beli belah terkemuka dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat permainan kanak-kanak.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi kerajaan negeri telah mengumumkan tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan dan semakan di Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mendapati premis terlibat tidak diberikan lesen.

PAS Perak mengharapkan kesedaran ini bukan hanya berlegar dikalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan sahaja bahkan masyarakat juga perlu mengambil kesedaran membanteras budaya ini agar tidak berakar kepada generasi akan datang.

Kesedaran akan lahir melalui ilmu serta kefahaman Islam yang sempurna agar setiap tindakan dan tindakan sentiasa dipertimbangkan atas neraca syariat Islam sebenar.

Justeru PAS Perak menyarankan segala tindakan, sistem kawalan, disiplin perlu diperkasakan oleh pihak berkuasa dan kerajaan bahkan wajib berada ditahap yang terbaik supaya aktiviti seumpama ini tidak menjadi sebahagian dari budaya dalam kehidupan masyarakat.

RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak
26 Oktober 2017M bersamaan 6 Safar 1439H – HARAKAHDAILY 26/10/2017

- Advertisement -