Cukup-cukuplah Tun Mahathir!

tunM L
- Advertisement -

DALAM keadaan ekonomi yang makin meruncing, tekanan kenaikan harga barangan akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), selain jatuhnya nilai mata wang Ringgit, rakyat semakin terhimpit dengan situasi ini.

- Advertisement -

Ramai sudah yang bergelar ‘muflis’ dan menjadi miskin secara ‘instant’ kerana krisis ekonomi yang agak merumitkan ketika ini. Walaupun kerajaan menafikannya, namun rakyat di bawah merasai gelodak panas tekanan ekonomi hari ini.

Tiba-tiba datang seorang bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohammad yang melaungkan perubahan harus dilakukan oleh rakyat dengan menurunkan Perdana Menteri yang ada hari ini, Dato’ Seri Najib Razak tanpa sedikitpun bekas Perdana Menteri itu menyebut mengenai usaha menurunkan Umno dari singgahsana pemerintahan negara.

Semacam satu strategi mahu menyelamatkan Umno, dalam masa yang sama memastikan individu yang tidak disukai jatuh mengikut seleranya. Sebagai propagandis politik yang senior, beliau mahu semua pihak khasnya kini Pakatan Harapan mengikut rentaknya.

Perlu diingat, pada zaman pemerintahannya selama 22 tahun, pelbagai skandal berlaku termasuk Forex, Perwaja dan Bank Bumiputera selain siri memangsakan musuh politiknya tidak kira dalam Umno mahupun pembangkang.

Kempen Mahathir hari ini tidak lain tidak hanya mahu anak dan kroninya harus menjadi ‘juragan ulung’ mengemudi negara ini sebaik Najib berjaya dijatuhkan nanti, berbeza dengan pendirian PAS bahawa negara ini harus diselamatkan bukan sahaja dengan menolak Najib, tetapi dengan menolak Umno-BN itu sendiri.

Inilah selera besar Mahathir, walhal yang memilih Najib menaiki tahta pemerintahan sebelum ini adalah beliau sendiri. Beliau dan Najib sama-sama lahir daripada kawah Umno yang telah bergelumang dengan najis rasuah, skandal dan penyelewengan. Terkini apa yang didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kewujudan sembilan dragon yang ada kaitan dengan perjudian juga membawa satu lagi bukti bahawa BN gagal menerajui negara ini.

Cukup sudah rakyat mendengar arahan demi arahan Mahathir sejak sekian lama. Negara ini bukan milik Mahathir sahaja, negara ini milik rakyat yang sayangkan keharmonian, kesejahteraan dan di sinilah PAS berperanan membawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan resipi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) serta Dokumen Hijau bagi merubah seluruh sistem yang ada agar ia berpandukan Islam sebagai penyelamat Ummah.

Maka apa yang dibebelkan Mahathir tidak harus menjadi ratiban rakyat lagi, kerana semuanya hanya bersandar kepentingan diri beliau dan kroninya sahaja, sementelahan pula cita-cita dan nafsu politik bekas PM itu tidak lebih sekadar ‘menanti rebah’ di penghujung masa. – HARAKAHDAILY 25/10/2017

- Advertisement -