Pesawah padi bergelut pelbagai masalah

- Advertisement -
ALOR SETAR: PAS Kedah mendesak kerajaan agar memberi perhatian serius ke atas pelbagai permasalahan yang membelengu para petani khususnya pesawah padi.
 
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ustaz Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mengulas masalah pesawah padi  berikutan Kedah merupakan pengeluar utama beras  yang menghasilkan kira-kira 40 peratus beras negara.
 
“Para pesawah sepatutnya menjadi ‘pegawai penghasilan makanan ruji negara’ yang dihormati setiap anggota masyarakat. Malangnya sehingga kini golongan pesawah masih bergelut dengan isu-isu berkaitan padi dan beras yang tidak kunjung padam,” ujar beliau.
 
Tegasnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan adalah mempertahan kedaulatan dan jaminan keselamatan makanan negara dengan sasaran tahap sara diri sepenuhnya.
 
Iaitu jelas beliau, mencapai 100 peratus tanpa gangguan persefahaman ‘free trade‘ dengan pihak asing yang boleh merugi dan menjejaskan pesawah mahupun negara.
 
Sehubungan itu tambah beliau lagi, tindakan mengenakan GST terhadap input pertanian berkaitan padi juga adalah keterlaluan dan perlu dihapuskan sama sekali.
 
Di samping itu, beliau menggesa kerajaan mengenakan cukai ke atas beras import dan hasil duti import di mana ia boleh digunakan untuk meningkat penghasilan padi atau memberi kebajikan kepada pesawah.
 
“Seperkara lagi, kerajaan sewajarnya tidak menghadkan pemberian subsidi kepada beras yang dijual di kilang sahaja tetapi melebarkannya kepada beras yang dikisar untuk dimakan dan padi yang diguna untuk dibuat benih berkualiti,” tegas Dr Ahmad.
 
Menyentuh berkenaan kouta penghasilan padi benih, beliau menggesa agar pemberian kepada syarikat-syarikat yang dimiliki para kroni pemimpin politik dikaji semula.
 
Terangnya lagi, tindakan itu menyebabkan manipulasi peningkatan harga benih lantaran tidak berlakunya saingan dan ia memberi masalah kepada para pesawah memandangkan tiada subsidi pembelian benih padi.
 
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar urusan penghasilan benih padi diserahkan kepada agensi pertanian milik kerajaan bagi mengendalikan sepenuhnya perkara itu.
 
Katanya, pendekatan demikian lebih memungkinkan penghasilan benih padi yang lebih berkualiti dan harganya berpatutan kerana tiada unsur kepentingan komersial.
 
“Terlalu banyak masalah yang perlu diberi perhatian. Kerajaan seharusnya lebih peka kerana isu ini bukan masalah enteng tetapi berkaitan kebajikan rakyat.
 
“Jangan hanya galak berfikir untuk mengorbankan tanah pertanian hanya kerana nak bangunkan industri lain dan mengorbankan ‘food security‘ serta masa depan para pesawah,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 24/10/2017
- Advertisement -