Hapuskan perjudian dan aktiviti tidak bermoral

- Advertisement -

PENDEDAHAN dan pembongkaran berani Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkaitan perjudian haram dan aktiviti tidak bermoral wajar dipuji dan diberikan sokongan semua pihak, khususnya pihak berkuasa. Dalam pembongkaran terbaru, beliau mendedahkan kegiatan perjudian haram dan aktiviti tidak bermoral didalangi sembila ketua digelar ‘dragon’ yang mengutip RM5 bilion sebulan.

- Advertisement -

Beliau memaklumkan telah menerima ugutan dan ancaman daripada sindiket perjudian dan akan melaporkan kepada pihak polis. Sindiket ini mengancam untuk menyerang PPIM bila-bila masa selepas pendedahan dibuat oleh pihaknya.

drriduanSaya melihat usaha PPIM dan Datuk Nadzim Johan adalah usaha yang baik bagi memastikan negara ini bebas daripada sindiket perjudian dan aktiviti tidak bermaruah. Tidak ramai pihak yang berani ke depan mendedahkan sindiket perjudian lebih lagi melibatkan kumpulan samseng atau mafia. Ia melibatkan ancaman keselamatan nyawa golongan terbabit termasuk organisasi, pejabat, harta dan ahli keluarga mereka.

Kegiatan perjudian adalah masalah bersama kerana menyebabkan kemusnahan kepada institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. Selain itu, aktiviti ini terkait dengan aktiviti kumpulan ‘kongsi gelap’, samseng dengan pelbagai aktiviti sampingan. Boleh jadi ia juga melibatkan pelacuran, rasuah, penipuan, peras ugut, along, dadah, selain jenayah terancang yang lain. Kita juga ingin mengetahui lebih mendalam apakah kegiatan tidak bermoral ini didalangi atau dilindungi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.  

Tidak diketahui sejauh mana kumpulan samseng yang terlibat dalam negara ini mampu menterjemah ancaman dalam bentuk tindakan. Jelasnya ancaman atau ugutan ini membuktikan mereka dalam keadaan terdesak dan tiada siapa boleh menduga apakah yang mereka akan lakukan demi menyelamatkan aktiviti mereka. Ia juga membuktikan bahawa ancaman keselamatan telah mula timbul terhadap orang awam. Golongan kumpulan samseng ini berani mengancam keselamatan orang awam sesuka hati dengan menganggap negara ini milik mereka.

Saya mengharapkan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN), dan lain-lain pihak yang terbabit memberi perhatian sewajarnya terhadap ancaman yang diterima oleh PPIM itu. Mereka perlu diberi perlindungan dan didokong agar segala usaha membasmi kemungkaran ini dapat dijayakan sepenuhnya. Kumpulan samseng terbabit perlu ditangkap sebelum mereka bertindak terhadap sesiapa yang mereka ancam. Golongan ini sama bahaya dengan kelompok ekstremis yang mengancam negara dengan kemusnahan.

Tidak ada pihak yang melakukan kejahatan perlu dibantu atau diberi perlindungan. Sesiapa sahaja yang mendalangi jenayah ini mesti dibanteras sebagaimana seriusnya usaha PPIM mendepani sindiket perjudian. Apa yang diinginkan adalah negara ini bebas dari aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan semua aktiviti tidak bermoral yang menjadi bahaya dan membawa kemusnahan kepada negara.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/10/2017

- Advertisement -