Teguran kepada pihak pemerintah amat perlu

- Advertisement -

DALAM muhasabah agama kali ini, perbincangan tertumpu kepada pandangan Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam soal jawab islamonline.net baharu-baharu ini berhubung isu penambah-baikan dalam negara melalui proses tegur-menegur, sejauh mana proses itu perlu dilakukan, bergantung kepada isu berbeza antara sebuah negara dengan negara lain, kerana ia tidak sama dari sudut iklim sosio budaya, politik dan ekonomi, berikut penjelasan beliau yang dikira sebagai pemangkin kekuatan ummah.
 
Pendahuluan
 
Imam at-Tabari dalam kitab tafsirnya yang terkenal iaitu ‘Tafsir at-Tabari’ ada menukilkan kata-kata pujangga kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang berbunyi : “Pegangan agama orang ramai (rakyat jelata) bergantung kepada sejauhmana pegangan agama para pemerintah.” Jika para pemerintah berpegang teguh dan istiqamah menjalankan syiar Islam, maka kita dapat lihat bagaimana pemerintah Turki hari ini berusaha ke arah itu, tetapi sebaliknya pemerintah umat Islam di kebanyakan negara seperti Mesir, Libya, yria dan lain-lain yang tidak menjalankan Islam malah merendahkannya maka rakyat pun akan terpalit ke arah itu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

- Advertisement -

Kebanyakan negara yang diperintah oleh umat islam selain Turki berlaku dajjal terhadap rakyat sendiri, bukan dikatakan sebagai sebuah pemerintah yang meletakkan tanggangungjawab ‘Amar Ma’ruf Nahi Munkar’ sebagai agenda utama negara, malah mereka menghalang mana-mana individu atau pertubuhan yang jelas mahu merealisasikannya seperti apa yang diperjuangkan oleh Gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dan rangkaiannya di seluruh dunia.
 
Apabila usaha untuk memartabatkan agenda ‘Amar Ma’ruf Nahi munkar’ ini dihalang, maka akan banyak timbul gejala sosial yang tidak dapat dikawal, mungkin itu yang dimahukan oleh pemerintah dajjal di abad moden ini. Tindakan para pemerintah itu serupa dengan sikap Bani Israel yang menyuruh kepada kemungkaran dan menghalang yang ma’ruf seperti yang tercatat dalam al-Quran.
 
Muslim perlu faham apakah maksud mungkar
 
Istilah mungkar meliputi aspek yang cukup luas khususnya dalam kancah politik, sedangkan perkataan mungkar itu pula merangkumi pelbagai kemungkaran yang melanda masyarakat, yang membuahkan natijah negatif, sesungguhnya dalam al-Quran dan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w banyak memperkatakan secara panjang lebar berhubung amaran Allah terhadap manusia yang berdiam diri dalam perkara mungkar.
 
Tegasnya, berdiam diri dalam perkara atau isu yang melibatkan kemungkaran adalah satu tindakan negatif apatah lagi melibatkan golongan pemerintah atau rakyat jelata yang boleh menggugat dan menggoncang iman golongan berkenaan, rakyat yang tidak faham senario perjalanan politik negara akan dibiarkan meraba-raba untuk mencari punca apakah sebenarnya berlaku dalam negara, mereka diperbodohkan dengan isu-isu yang mereka tidak mampu untuk merungkainya.
 
Adalah salah apabila masyarakat hanya memfokuskan kemungkaran pada perkara yang melibatkan perbuatan zina dan minum arak semata-mata, tanpa dilibatkan kemungkaran lain khususnya yang menyentuh persoalan pentadbiran negara yang boleh mendatangkan impak besar terhadap instuti pemerintahan yang dikuasai mereka yang bernama Islam.
 
Tanggungjawab semua pihak bagi merubah kemungkaran pemerintah
 
Kemuliaan rakyat tidak boleh diabaikan atau dipandang remeh, apabila ia berlaku, maka yang melakukannya dianggap terlibat dalam satu jenayah dan kemungkaran yang besar yang patut menerima akibat dari perbuatannya itu, sama ada secara sedar ataupun tidak, kerana rakyat merupakan golongan yang mampu merubah segalanya.
 
Justeru, apabila pihak pemerintah/pemimpin negara melakukan penyelewengan dalam pilihan raya (walaupun ia bukan matlamat untuk berkuasa, namun ia masih boleh diterima kerana tidak melibatkan pertumpahan darah), asalkan mereka yang tidak bersetuju dengan penyelewengan itu sanggup bertanding untuk menyatakan kesediaan mereka memerintah negara bagi menggantikan pemerintah yang menyeleweng.
 
Ini kerana tegas Syeikh al-Qaradawi, bagi mereka yang tidak menyertai pilihan raya sebagai wasilah untuk mendapatkan kuasa memerintah, dianggap sebagai orang yang telah melakukan kemungkaran, kerana apabila tidak menyertainya, kuasa tersebut akan dipikul oleh mereka yang tidak layak dan membiarkan kemungkaran akan terus berlaku.
 
Tidakkah kita mendengar di kebanyakan negara yang ditadbir oleh pemerintah/pemimpin beragama Islam, tetapi pada masa yang sama tidak menjalankan hukum-hukum Allah SWT dalam al-Quran, maka banyaklah penyelewengan seperti mengaut keuntungan dengan merompak wang negara untuk kepentingan peribadi, memonopoli harga barangan asas keperluan rakyat bagi kepentingan pihak tertentu.
 
Tidak cukup dengan itu, mereka menangkap rakyat tanpa bicara (takut akan terbongkar kesalahan mereka), menyiksa mereka tanpa belas kasihan dalam penjara, memberi serta menerima rasuah yang sudah menjadi perkara rutin biasa, ampu-mengampu pada perkara batil juga amalan biasa yang berleluasa dalam kalangan golongan pemerintah, menjadikan musuh-musuh Islam sebagai kawan setia, sedangkan mereka yang seagama dan senegara diabaikan peranan dan fungsi mereka, itu semua adalah mungkar segala mungkar yang patut diubah segera sebelum melarat menjadi virus yang tidak boleh lagi diselamatkan.
 
Persoalannya di sini, adakah seorang muslim yang berpegang teguh kepada ajaran agamanya sanggup berdiam diri tanpa melakukan sesuatu, bagi merubah kemungkaran yang telah disebutkan di atas walaupun sekadar keluar mengundi untuk memilih mereka yang lebih peka, prihatin dan bertanggungjawab kepada Islam?
 
Umat akan musnah apabila biarkan mungkar berlaku tanpa dirubah
 
Apabila semua yang tertera di atas benar-benar berlaku dalam negara yang diperintah umat Islam, maka sesungguhnya akan lenyaplah roh mesej (risalah) Islam ke muka bumi ini dengan hilangnya kemuliaan umat Islam yang sebenarnya merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah kepada umat manusia sejagat, sepertimana yang difirmankan Allah melalui ayat 110 surah Ali Imran.
 
Justeru, tidak hairanlah apabila baginda Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada jenis umat Islam yang tidak ambil peduli penyelewengan yang berleluasa dalam negara menerusi sabdanya yang bermaksud : “Apabila kamu lihat umatku takut (terlalu menghormati) kepada golongan zalim lalu berkata kepadanya : Wahai orang zalim! Kamu ucapkanlah selamat tinggal kepada mereka (umat Islam). Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal dalam kitab musnadnya daripada Abdullah bin ‘Amru.
 
Selaku umat Islam yang mengaku beriman kepada keenam-enam rukun iman, tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri di hadapan mungkar yang berlaku tanpa bertindak melakukan sesuatu bagi merubah kemungkaran tersebut dalam apa jua isu, sama ada kemungkaran atau penyelewengan dari sudut politik, ekonomi, kebudayaan atau kemasyarakatan.
 
Mereka hendaklah merubahnya dengan kuasa yang ada jika mampu melakukannya, jika tidak dengan lidah iaitu memberi peringatan atau nasihat, kalaupun tidak mampu ubahlah dengan hati iaitu berdoa sahaja, itulah selemah-lemah iman.
 
Walaupun jihad atau merubah kemungkaran dengan hati yang dianggap kedudukan yang paling rendah sekali di antara pendekatan yang lain, namun ia masih tergolong dalam usaha untuk merubah walaupun yang paling lemah, baginda Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud : “Tidak seorang nabi sebelumku  yang diutus oleh Allah, melainkan baginya golongan Hawariyyun (pembela dan penolong) yang mengikut perjalanan hidupnya, melaksanakan perintahnya, kemudian selepas itu berlaku penyelewengan, iaitu golongan yang pandai berkata-kata tetapi tidak buat apa yang dikatakannya, mereka bertindak apa yang tidak diperintahkan kepada mereka, sesiapa yang berjihad menentang mereka ini  dengan kuasa yang ada padanya, dia adalah seorang yang benar-benar beriman, sesiapa yang menentangnya dengan lidahnya, dia juga adalah orang yang beriman dan sesiapa yang menentangnya setakat dengan berdoa sahaja sekalipun, dia masih dianggap seorang yang beriman, tidak ada selepas itu iman dalam hati manusia walaupun hanya sebesar biji sawi.”
Akhirnya, marilah setiap muslim yang sayangkan agamanya, berfikir secara mendalam akan tugas, peranan serta tanggungjawab kita di hadapan Allah SWT dengan memastikan negara yang kita huninya itu benar-benar tunduk kepada perintah-Nya hasil teguran yang dijayakan oleh semua pihak yang terlibat.
 
Adalah berdosa bagi mereka yang mengabaikan tanggungjawab ini, walaupun hanya sekadar untuk keluar mengundi bagi memastikan kemenangan calon yang berazam sungguh untuk melaksanakan hukum Allah dalam negara yang dihuninya, maka sama-sama kita fikirkan, kalau bukan untuk diri kita, tetapi untuk generasi akan datang yang terdiri daripada anak cucu kita sendiri agar tidak merempat di bumi sendiri. – HARAKAH 23/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -