Muslim mesti yakin terhadap pertolongan Allah SWT

nik aziz
- Advertisement -

WAHAI kaum Muslimin! Berjalanlah di muka bumi dengan ini penuh keyakinan akan pertolongan dari Allah SWT. Setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang diusahakan, dan apabila berjaya.. Ramai sekali orang menyangka kejayaan yang diperolehi itu adalah semata-mata kerana usaha dirinya sendiri. Keberangkalian memang betul.
 
Dan betapa ramai juga yang sudah berusaha bersungguh-sungguh namun natijahnya, dirinya berhadapan dengan kegagalan. Dan mulalah jiwanya berbisik, Allah tidak pernah memberi pertolongan. Yang anehnya, bila berjaya, ia mengatakan itu kerana hasil usahanya semata-mata. Bila gagal, baru ia ingin merasa akan pertolongan Allah. Sedangkan, Allah itu ada setiap masa!
 
Tidak yakin dengan pertolongan Allah?, mengapa jadi demikian hingga melesit sangkaan buruk terhadap kebesaran Allah SWT?.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

- Advertisement -

Perlu yakin Pertolongan dari Langit
 
Teringat kisah tentera bergajah Abrahah yang telah dimusnahkan oleh burung-burung Ababil yang dikatakan membawa batu/bara api untuk menghalang perbuatan mereka. Dari mana datangnya pertolongan tersebut? Siapa menghantar burung-burung tersebut untuk menolong orang-orang Islam? Sudah tentunya, itu pertolongan dari langit.
 
Kisah Perang Badar pula, tentera Muslimin berperang dengan jumlah tentera yang lebih banyak dari mereka. Setelah bertarung habis-habisan, akhirnya kemenangan berpihak kepada siapa? Tentera Muslimin, yang jumlahnya sedikit benar jika dibandingkan dengan jumlah lawannya. Mereka menang kerana apa? Pertolongan dari langit..
 
Dan banyak lagi kisah-kisah yang menakjubkan. Kuncinya : Mereka yakin dengan pertolongan Allah setelah berusaha!
 
Maka begitulah jua sepatutnya kita pada hari ini. Merasakan bahawa segala usaha dan kesungguhan yang kita lakukan akan mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah yang Maha Berkuasa. Yakin akan kekuasaan Allah. Lantaran itu, harus dididik jiwa ini dengan pengharapan yang sungguh-sungguh pada pertolongan dan bantuan daripadaNya dengan melakukan ibadat dan berdoa sesuai dengan apa yang dipinta.
 
Berharap kepada Allah, hati akan tenang
 
Orang-orang yang memiliki keyakinan dengan akan mendapat bimbingan dan kecemerlangan diri dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. In sha Allah, orang-orang begini ialah seseorang yang tenang dalam langkahnya, tetapi cerdas dan bersemangat kerana segala yang dilakukan itu bersama-sama dengan taufik dan hidayah daripada Allah SWT.
 
Hanya orang-orang yang sangat yakin dan penuh berharap dengan pertolongan Allah yang dapat merasakan bahawa bantuan dan pertolongan daripada Allah itu akan memudahkan segala kesulitan mereka. Dalam jiwa mereka, In sha Allah, Allah menguatkan nalurinya bahawa pertolongan Allah itu akan tiba dan telah tiba.
 
Sahabat, hidup kita ini kerana izin-Nya. Kudrat dan kebijaksaan kita juga kerana izin-Nya. Jangan pernah merasa bahawa setiap kejayaan kamu itu adalah kerana kebijaksaan kamu semata-mata, ataupun hanya milik kamu. Kerana segala kemampuan yang kita ada, semuanya kerana Allah mengizinkan. Dan segala kebolehan itu, boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa sahaja!
 
Salah satu tanda orang yang bergantung harap kepada Allah dalam setiap usahanya adalah, dirinya akan dihormati oleh banyak orang di sekelilingnya. Dan dirinya menjadi idola kepada ramai orang. Anda percaya? Maka, percayalah…
 
Keyakinan itu Adalah Benteng
 
Kenapa keyakinan itu boleh menjadi benteng pula? Ya, ia hanya akan menjadi benteng kepada diri andainya saya, kamu dan kamu mempunyai keyakinan yang mantap dalam diri.
 
Macam mana tu?
 
Keyakinan yang mantap kepada Allah akan menyebabkan anda tidak mudah terpengaruh oleh sebarang kesulitan hidup yang ditakdirkan untuk anda. Anda tidak mudah merasa gusar akan kegagalan, malah kegagalan itu menjadi pendorong semangat kepada anda untuk menikmati kejayaan.
 
Segala tindakan membuat keputusan juga disertai dengan hati yang tenang dan fikiran yang lapang kerana jiwa dan fikiran anda diberikan ketenangan oleh Allah.
 
Bagaimana nak merasa ketenangan itu?
 
Allah akan memberi ketenangan kepada jiwa anda jika anda seorang yang sentiasa mengingati-Nya dan yakin dengan-Nya. Allah suka kepada sesiapa sahaja yang bergantung harap dan bertawakkal kepada-Nya, setelah melakukan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh!
 
Perhatian, pertolongan Allah itu, In sha Allah akan sampai kepada mereka yang diingini-Nya setelah anda berusaha bersungguh-sungguh. Adapun kegagalan anda, itu tidak bermakna pertolongan Allah tidak sampai. Tetapi Allah sudah tahu apa natijah sebelum dan selepas kejayaanmu. Maka, berdoalah wahai kaum Muslimin
 
Nabi SAW pernah bersabda : “Sesiapa di antara kamu yang berdoa, maka hendaklah dia menaruh harapan yang besar kepada Allah kerana Allah lebih besar daripada harapan itu…”. – HARAKAH 23/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -