Bila sebenarnya Hospital Rembau akan siap?

- Advertisement -
REMBAU: Hospital Daerah Rembau yang telah tertangguh jangkaan siap sebenar pembinaannya beberapa kali terus kekal menjadi teka-teki. 
 
Terbaru Menteri Kesihatan, Dato’ Dr S. Subramaniam pula menyatakan kontraktor yang dilantik mengalami kekurangan modal dan hanya dijangka siap pada tahun 2020.
 
Sedangkan sebelum ini, hospital yang dibina pada 2013 dan dijangka siap pada 2016 itu telah diumumkan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Sri Ir Dr Roslan Md Taha hanya dapat disiapkan pada 2017.
 
Perubahan tarikh itu katanya, disebabkan berlaku penstrukturan baru asas bangunan yang menggunakan sistem IBS dan kontraktor baru perlu dilantik.
 
Bahkan selepas itu ia terus diselubungi kontroversi apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Hasan memaklumkan pembinaannya tertangguh dan dijangka siap tahun 2018.
 
Malah, beliau sendiri yang melakukan perletakan batu asas pembinaan hospital tersebut pada 7 Mac 2008 dahulu melibatkan tanah seluas 19.4 hektar di Chembong, di sini dengan kos RM100 juta.
 
Pembinaan hospital ini sememangnya amat mendesak berikutan pertambahan pesakit di daerah itu yang kini hanya mendapatkan perkhidmatan melalui Klinik Kesihatan Rembau.
 
Pada ketika ini jumlah pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di klinik tersebut dikatakan mengalami pertambahan sebanyak 30 peratus.
 
Tinjauan mendapati, penduduk daerah ini enggan mendapatkan rawatan lanjut atau rawatan pakar di Hospital Tampin atau Seremban kerana kekangan kos. – HARAKAHDAILY 23/10/2017
- Advertisement -