Pemuda PAS Pulau Pinang gesa semak pembangunan di cerun

- Advertisement -
DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Pulau Pinang mengucapkan takziah kepada mangsa kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah semalam.
 
Sehubungan dengan itu, kami meminta agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian yang telah berlaku itu memandangkan ia telah melibatkan mangsa yang ramai.
 
Malah, kami juga menggesa agar suruhanjaya tersebut menyiasat dan menilai semula semua projek pembangunan di lereng bukit yang berisiko tinggi di negeri ini agar kejadian serupa tidak berulang.
 
DPPN Pulau Pinang berpandangan bahawa tragedi yang telah berlaku boleh dielakkan jika pihak berwajib mengambil serius akan ‘amaran’ dan ‘tanda’ awal yang telah berlaku khasnya kejadian beberapa siri tanah runtuh dan banjir lumpur ketika musim hujan kebelakangan ini.
 
Selain kawasan Paya Terubong, Tanjung Bungah sememangnya tidak asing dengan kejadian tanah runtuh akibat pembangunan di lereng bukit.Bezanya kejadian sebelum ini tidak memakan korban jiwa menyebabkan pihak berwajib tidak mengambil peduli akan hal tersebut biarpun beberapa NGO dan persatuan penduduk telah banyak kali menyuarakan kebimbangan mereka.
 
Kejadian paling baru sebelum ini adalah pada 15 September 2017 lalu menyaksikan tanah runtuh dan banjir lumpur merosakkan kawasan kediaman dan kenderaan penduduk sebuah kejiranan di Tanjung Bungah seperti yang tular dalam satu rakaman video di media sosial.
 
Maka tidak hairanlah Adun Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu sendiri pernah melahirkan bantahan terhadap projek-projek pembangunan di lereng bukit di kawasan beliau akan tetapi usaha beliau gagal menarik perhatian pihak berwajib.
 
Apa yang pasti, kegusaran beliau dan penduduk setempat berkaitan risiko kejadian bencana seperti ini memang berasas.
 
Contohnya, satu kajian sekumpulan penyelidik (Ahmad F., et al, 2015) daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati bahawa 6 peratus tapak projek di kawasan Tanjung Bungah merupakan kawasan berisiko tinggi mengalami bencana alam manakala 56 peratus tapak projek lain di situ berisiko sederhana.
 
Antara parameter penting yang direkodkan sebagai penyumbang utama kepada risiko tinggi bencana di tapak projek sekitar Tanjung Bungah adalah profil tanah (soil profile) yang lembut dengan tanggungan melampau (large overburden) yang akan menyebabkan bahaya kepada persekitaran akibat hakisan cerun.
 
Rakaman topografi satelit melalui aplikasi Google Maps juga jelas menunjukkan bahawa kawasan berbukit sekitar Tanjung Bungah telah begitu rakus ditarah untuk projek pembangunan.
 
Dijangkakan trend sebegini akan berterusan di kawasan tersebut termasuk cadangan pembinaan lebuh raya dalam projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Masterplan) tidak berapa lama lagi.
 
Biarpun kerajaan negeri memiliki garis panduan keselamatan pembangunan di lereng bukit, ia dilihat masih gagal menghalang siri-siri kejadian tanah runtuh di negeri ini.
 
Justeru itu, DPPN Pulau Pinang berpandangan wajar kerajaan negeri menyemak semula dasar berkaitan pembangunan di lereng bukit khasnya bagi projek pembangunan di kecerunan melebihi 15 darjah.
 
Sebarang projek yang didapati berisiko tinggi termasuk di kawasan lain seperti Paya Terubong yang sebenarnya mencatakan 12 peratus tapak projek yang berisiko tinggi harus ditangguhkan sementara menanti pelaksanaan langkah-langkah mengurangkan risiko kejadian bencana khasnya tanah runtuh di tempat terlibat.
 
Semoga kelulusan projek pembangunan di negeri ini bukan sahaja mengambil kira unsur keselamatan awam bahkan kelestarian alam semula jadi di kawasan tanah tinggi. Ini bagi memastikan kesan sampingan seperti banjir lumpur tidak terus berulang di negeri ini setiap kali musim hujan.
 
IR AHMAD RAFAEI DATO’ A RASHID
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 22/10/2017
- Advertisement -