Memurnikan Fiqh Dakwah

- Advertisement -
DAKWAH menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan gaya hidup umat Islam yang perlu dipertahankan. Bahkan ia merupakan agenda penting, sebagai syarat untuk menjadi umat terbaik. Allah berfirman:
 
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ 
“Kalian adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah” (Ali-Imran: 110)
 
Konsep Dakwah
 
Hari ini ramai yang memberi fokus kepada pendekatan dan kreativiti dakwah, hingga terlupa untuk memperhalusi soal konsep serta prinsip dakwah. Akhirnya yang dipentingkan adalah persembahan dakwah, bukan isi dakwah itu sendiri.
 
Dakwah Adalah Pendidikan
 
Para Nabi diutuskan oleh Allah untuk membetulkan umat masing-masing yang kian rosak. Kaedah ancaman amat penting demi meruntuhkan tembok jahiliyyah yang menebal. Seperti yang diwartakan oleh Allah ketika fasa awal dakwah Nabi:
 
قُمْ فَأَنذِرْ
“Bangunlah dan berikan ancaman.” 
(al-Muddatthir: 2)
 
Berikut beberapa cara dakwah Nabi:
 
• Tidak mengasingkan antara elemen galakan dan ancaman. Tidak mensekularkan antara amar ma’ruf dan nahi munkar.
 
• Mengkhabarkan perkara yang perlu diketahui oleh masyarakat. Bukan bercerita perkara yang tidak penting. Keperluan diukur berdasarkan kepada faktor kerosakan sesebuah masyarakat.
 
• Tidak menjadikan kehendak masyarakat sebagai penentu kepada pembawakan dakwah yang ingin disampaikan. Bermakna sama ada masyarakat mahu atau tidak mahu, jika ia penting, maka para Nabi tetap akan mengutarakan perkara yang mustahak tersebut walaupun berisiko untuk dibenci ramai.
 
• Tidak menjadikan kesukaan atau kebencian masyarakat sebagai parameter kejayaan dakwah mereka. Yang penting adalah kesedaran. Maka semua Nabi berjaya dalam dakwah, walaupun ada dalam kalangan mereka yang dilihat mempunyai pengikut yang amat sedikit.
 
• Tidak meletak harga kepada usaha dakwah mereka. Tidak terhutang budi. Bebas tanpa kawalan golongan berkepentingan.
 
• Berperingkat-peringat dalam berdakwah. Pada masa yang sama tidak berlengah untuk menaik-taraf isi kandungan dakwah. Hasilnya Nabi berjaya menyedarkan manusia dari jahiliyyah kepada Islam hanya mengambil masa 23 tahun sahaja.
 
Bukan Berkonsepkan Perniagaan
 
Pada hari ini, dakwah lebih terarah kepada aplikasi konsep perniagaan. Asas kepada konsep perniagaan adalah ‘demand’ (permintaan) & ‘supply’ (bekalan). Jika konsep ini digunapakai dalam dakwah, maka menghasilkan senario berikut:
 
• Pendakwah akan memilih topik, gaya dan pendekatan berdasarkan perkara yang digemari oleh masyarakat. Bermaksud jika sesebuah topik tidak digemari oleh masyarakat, maka pendakwah akan meninggalkannya sungguhpun ia amat mustahak.
 
• Menjadikan kesukaan dan kebencian masyarakat sebagai parameter kejayaan dakwah. Seperti konsep perniagaan, ‘customer is always right‘. Begitu juga halnya dalam topik ini, mereka menjadikan respon masyarakat sebagai ‘juri’ yang menentukan markah pendakwah.
 
Kisah Nokia Tidak Laku
 
Antara bukti bahawa kebanyakan orang memahami dakwah dengan konsep perniagaan, bukan konsep pendidikan adalah, denga kerap mengungkit kisah Nokia yang tidak laku.
 
Syarikat telefon bimbit tersohor itu jatuh tersungkur kerana dikatakan enggan mengikuti permintaan pasaran semasa yang inginkan perubahan. Nokia degil, maka jatuh.
 
Lalu kisah Nokia tersebut dijadikan qias, jika dakwah kita tidak berubah seiring dengan ‘market‘ hari ini, maka kita turut jatuh tersungkur.
 
Momokan tersebut walaupun hakikatnya hanyalah qias kontradik, namun ia amat meragut kepercayaan pendakwah kepada mesej dakwah rabbani. Lantas, berjaya menghanyutkan pendakwah agar sentiasa mengikut ‘market‘. Maka secara tidak sedar, mencicirkan prinsip dan isi kandungan dakwah yang penting. Menjadikan pendakwah merasa terlalu bimbang takut ketinggalan bersaing dalam pasaran dakwah.
 
Siapa Ikut Siapa?
 
Ekoran dari kebingungan di atas, menyebabkan pendakwah akan mengikut segala kehendak masyarakat. Bukan masyarakat yang terkesan dan mengikuti pendakwah.
 
Maka yang berubah sedikit demi sedikit adalah pendakwah. Sedangkan sasaran dakwah mereka kekal lalai dan tidak beringat.
 
Kita Semua Pendakwah
 
Kesan dari ajaran sekular, melahirkan kefahaman kononnya hanya golongan yang digelar pendakwah sahaja dipertanggungjawabkan untuk berdakwah. Walhal, sesiapa yang mengaku Islam semuanya bertanggungjawab menyebarkan Islam.
 
Selari dengan itu, kita juga perlu faham bahawa Nabi dibenci bukan kerana motivasi amar makruf. Sebaliknya Baginda dibenci kerana melangsungkan mesej nahi munkar.
 
USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang – HARAKAHDAILY 22/10/2017
- Advertisement -