Tidak hanya KKLW, SPRM perlu dedah semua kes di Sabah

Zulzaim
- Advertisement -
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka siasatan dan mendedahkan semua kes penyelewengan yang melibatkan penyaluran dana awam di Sabah. Fokus siasatan tidak harus hanya tertumpu kepada satu kes sahaja sepertimana dakwaan ke atas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang membabitkan RM1.5 billion.
 
SPRM perlu sentiasa dilihat mempunyai kredibiliti yang adil kepada semua pihak dalam membanteras penyelewengan tanpa mengira status atau kepentingan pihak berkaitan. Tidak kira sama ada yang terlibat itu adalah dari dalam kalangan parti pemerintah atau pembangkang, mahupun kalangan bekerja di sektor kerajaan atau persendirian.
 
Tidak dinafikan, ketirisan juga adalah antara faktor yang menyebabkan projek-projek pembangunan prasarana rakyat di negeri ini selalu tergendala dan gagal dilaksanakan. Perkara seperti ini telah pun kerap kali didedahkan melalui Laporan Tahunan Audit Negara. Namun, penyiasatan ke atasnya kabur dan rakyatlah pihak yang menanggung kerugian atas semua itu.
 
Walau apa jua situasi, kami menjunjung prinsip keadilan Islam bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga ia dibuktikan bersalah (presumption of innocence). Prinsip dan syariat Islam ini sebenarnya terpakai kepada semua orang Islam, sama ada ketika berhadapan dengan orang Islam sendiri mahupun orang bukan Islam. Inilah keadilan yang harus didokong.
 
Prinsip inilah yang dipegang PAS dalam berpolitik. Justeru, kami berkeyakinan bahawa pihak SPRM akan terus menjulang integriti dalam memerangi jenayah kolar putih yang semakin meruncing di negeri ini. Kami percaya, keteguhan dalam melaksanakan penguatkuasaan yang adil menjadi sebahagian usaha menegakkan pemerintahan yang saksama.
 
ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah
- Advertisement -