Peserta muay Thai mesti tutup aurat

- Advertisement -

KERAJAAN Kelantan menetapkan lapan garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur dan peserta kejohanan muay Thai yang diadakan di negeri ini.

- Advertisement -

Antaranya peserta mesti menutup aurat, pemakaian azimat tidak dibenarkan dan wanita tidak dilarang berada di atas gelanggang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, syarat berkenaan dilulus pada mesyuarat Exco.

Katanya, syarat yang dibuat kerajaan negeri bukan untuk menyukarkan penganjur dan pemain, sebaliknya bagi mencari keharmonian mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Kerajaan negeri juga sedia menganjurkan pertandingan muay melalui Urusetia Belia dan Sukan di negeri-negeri lain bagi memajukan sukan tersebut.

“Kita berharap muay menjadi antara sukan yang diminati anak muda,” katanya ketika merasmikan Kejohanan International Muay Fight di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Kejohanan itu berlangsung pada 17 dan 18 Oktober. Hadir sama Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Abdul Rahman Yunus, Pengarah Urusetia Belia dan Sukan, Ustaz Mohd Fadhli Shaari dan Presiden Persatuan Muay Thai Kelantan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

Abdul Fattah juga berkata, peraturan berkaitan Islam perlu diutamakan dalam melaksanakan setiap perkara di Kelantan termasuk sukan.

Kejohanan Muay Thai pernah dianjurkan kerajaan negeri pada 2015. – HARAKAHDAILY 19/10/2017

- Advertisement -