Cabaran di kemuncak kebangkitan Islam

- Advertisement -
Era Kebangkitan
 
Walaupun perjuangan Islam adalah untuk memartabatkan agama Allah SWT tuhan pemilik sekalian alam, dan pendokongnya juga digelar golongan Allah (Hizbullah), namun Allah tidak menjadikam perjuangan Islam ini sentiasa menang dan di atas. Sebaliknya perjuangan ini senantiasa menghadapi pasang surut dan jatuh bangun. Sesuai sabda Rasulullah SAW:
ألا إن رحى الإسلام دائرة فدوروا مع الكتاب حيث دار
“Ketahuilah bahawa peredaran Islam ibarat roda yang berputar. Maka sentiasa berpegang kepada al-kitab walau bagaimana sekalipun pusingan Islam.” [HR Thabrani]
 
Di abad ini, setelah kita mengalami kejatuhan Uthmaniah dan umat Islam berada dalam keadaan yang begitu lemah, telah tiba masanya Islam untuk kembali bangkit. Sarjana Islam dan juga Barat sendiri mengakui bahawa kini telah bermula zaman kebangkitan bagi umat Islam.
 
Pengkaji Barat mengatakan bahawa kemenangan Islam tidak mampu lagi disekat. Hanya mampu mereka lakukan adalah melambatkan kemenangan itu sahaja. Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara konsisten menyebut dari tahun 70-an lagi, bahawa ini adalah zaman kebangkitan Islam.
 
Realiti Dunia Hari Ini
 
Realitinya boleh dilihat hari ini. Pertambahan penganut Islam di dunia berlaku secara amat ketara di Timur mahupun Barat sebagaimana kajian Pew Research Center. Banyak gereja dan rumah ibadat agama lain terabai tanpa pengunjung, sebaliknya masjid tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Buku-buku dan sebaran mengenai Islam laris di pasaran. Golongan terpelajar dan pemuda antara yang teramai memeluk Islam.
 
Realiti ini boleh juga dilihat di Malaysia. Populasi Islam kembali bertambah daripada 60 peratus kepada 65 peratus kini, walaupun pada awalnya mencecah 85 peratus sebelum migran Cina, India dan etnik lain diberikan kerakyatan sebagai syarat kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.
 
Bukan itu sahaja, penghayatan Islam di Malaysia semakin baik. Kita boleh membandingkan bagaimana keadaan Islam 30 tahun lepas dan sekarang. Semakin ramai Muslimah menutup aurat dengan sempurna di khalayak. Tidak ada lagi orang berani mengaku sekular. Malahan pengusaha perniagaan, media, hiburan, pendidikan semuanya perlu memasukkan unsur Islam dalam perusahaan mereka untuk kekal relevan.
 
Paling mengejutkan, parti DAP yang jelas memperjuangkan ideologi sekular pun melantik ustaz sebagai pegawai penerangan bagi hal ehwal Islam!
 
Sunnatullah Era Kebangkitan
 
Namun menjadi sunnatullah di dalam perjuangan Islam, semakin dekat Islam mencapai kemenangan, semakin getir dan hebat cabarannya. Sebelum Allah memberi kemenangan dengan tertegaknya Daulah Islamiah Madinah, Nabi S.A.W mengalami saat perjuangan paling getir dalam sejarah. Allah mematikan dua orang paling penting membantu dakwah Islam di Makkah iaitu isterinya Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Ramai umat Islam kembali murtad pasca peristiwa Israk dan Mikraj. Darah mulia Baginda gugur buat pertama kali ke bumi dalam peristiwa Taif. Kemuncaknya adalah rancangan pembunuhan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Kita melihat kebangkitan Islam hari ini berdepan dengan cabaran yang juga getir. Timur Tengah bergolak amat dahsyat. Pasca Perang Dingin, kuasa Barat dan Timur yang dikenali sebagai seteru, bergabung tenaga untuk menjadikan Islam sebagai musuh bersama. Serangan pemikiran juga semakin dahsyat. Bermula sekularisme, komunisme, sosialisme, nasionalisme, liberalisme sehingga membentuk pemikiran baru bernuansa Islamik seperti Islam-liberal, Islam-sosialis, Islam-demokrat, Islam-pop dan berbagai lagi.
 
Gerakan Islam yang memperjuangkan tertegak khilafah Islamiah tidak terkecuali dari menerima cabaran hebat ini. Ada yang diharamkan secara keras, sehingga mengheret anggotanya ke tali gantung, penjara seumur hidup dan juga buang negeri.
 
Gerakan Islam semestinya menjadi fokus utama musuh Islam. Orientalis yang pernah menyamar sebagai Islam, Snouk Hergronje pernah menulis kajiannya terhadap tabiat orang Islam:
 
“Kita tak perlu takut kepada orang Islam yang mengajak kepada ibadat dan akhlak. Yang kita perlu takut adalah orang Islam yang mengajak kepada politik Islam.”
 
Strategi Merosakkan Dari Dalam
 
Melihat kemaraan Gerakan Islam yang tidak pernah terhenti walau diharamkan berkali-kali seperti di Mesir, Turki, India, Lubnan, Indonesia, Malaysia, Libya dan serata dunia, Barat mengatur langkah baru bagi merosakkan Islam. Mereka mencuba kaedah penyusupan untuk merosakkan gerakan dari dalam.
 
Maka berlakulah penyelewengan matlamat perjuangan beberapa gerakan Islam di serata dunia. Gerakan di Maghribi mengisytiharkan diri sebagai gerakan sekular. Gerakan di Tunisia menggelar diri sebagai Muslim-demokrat. Gerakan di Rusia dikuasai sufi. Gerakan di Turki berjanji tidak mahu melaksanakan syariat. Gerakan di Afghanistan dikuasai ekstremis. Gerakan di Indonesia, Mesir, Sri Lanka, Pakistan berpecah belah.
 
Di Malaysia, PAS hampir-hampir dikuasai golongan yang membawa pemikiran liberal dan mengenepikan soal pelaksanaan syariat sebelum 2015. Mujurlah mereka berjaya disingkirkan setelah mengambil masa kira-kira 30 tahun untuk disedari oleh majoriti ahli. Namun itu tidak sekali-kali bermakna penyusupan tidak lagi berlaku. Iblis dan konco-konco syaitannya tidak pernah berputus asa dalam permusuhannya.
 
Merosakkan Islam dari dalam adalah strategi yang berkesan dan mujarab di sepanjang sejarah. Pembunuhan Khalifah Saidina Umar, Uthman dan Ali, kejatuhan Khilafah Umawiyyah, Abbasiyyah dan Uthmaniah juga berpunca daripada dalam. Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka sendiri adalah contoh paling dekat untuk kita teladani.
 
Pendedahan Rand Corporation
 
Sebuah badan konsultansi kajian bagi polisi Amerika, Rand Corporation telah menulis beberapa jurnal yang menerangkan mengenai langkah-langkah merosakkan Islam dari dalam. Antaranya yang bertajuk Civil Democratic Islam, Building Moderate Muslim Network dan juga Unfolding The Future of The Long War. Mereka mendedahkan beberapa golongan yang berpotensi untuk dijadikan sebagai orang dalam di kalangan Islam bagi melemahkan gerakan Islam yang dilabelkan sebagai fundamentalis. Tiga mereka adalah:
1. Muslim berpemikiran sekular.
2. Agamawan berpemikiran liberal.
3. Institusi Islam tradisionalis.
 
Muslim berpemikiran sekular adalah mereka yang hanya Muslim pada nama dan pengenalan sahaja. Hakikatnya mereka tidak hidup mengikut syariat Islam. Pemikiran mereka sama dengan masyarakat Barat moden hari ini.
 
Agamawan liberal pula adalah mereka yang mengamalkan gaya hidup Islam, tetapi mengikut pemahaman sendiri. Kebanyakan mereka adalah kalangan ulama muda yang tidak sebulu dengan aliran pondok dan tradisional. Mereka mengagumi Barat dan mencampur adukkan banyak nilai Barat dalam memahami Islam.
 
Institusi tradisional pula adalah kalangan yang menumpukan pengajian mengikut kitab-kitab silam (kitab turath/kitab kuning). Mereka lebih dikenali sebagai golongan pondok. Golongan yang mementingkan pengajian semata-mata sehingga mengabaikan politik Islam. Cenderung kepada perbahasan khilafiah dan amat gemar berbahas masalah sekitar furu’ akidah. Menentang Wahhabi menjadi fokus perjuangan ilmu mereka.
 
Aplikasi Rand Corporation
 
Kita melihat hasil dapatan Rand Corp diaplikasikan oleh kuasa Barat hari ini. Golongan sekular dilantik menjadi pewaris pemerintahan penjajah pasca kemerdekaan negara. Setelah sekular-kapitalis atau sekular-sosialis yang kebanyakannya turut memperjuangkan ideologi nasionalisme tidak lagi relevan, mereka mendokong pula gerakan liberalisme secara besar-besaran.
 
Ada negara dan gerakan Islam yang berjaya dikuasai liberalis. Bagi kelompok yang agak liat terutama yang agak kuat kefahaman Islamnya, mereka mewujudkan pula golongan ekstremis mazhab dan aliran bertujuan untuk mengapikan pertembungan Islamis. Fokusnya adalah pertembungan Sunni-Syiah dan juga Wahhabi-Sufi.
 
Jika dikaji latar belakang setiap ekstremis ini, pasti kita kan bertemu titik peranan kuasa Barat dalam perkara ini. Ekstremis Salafi misalnya banyak didanai oleh Saudi, Jordan dan juga Qatar melalui banyak cara. Ada yang menaja pembinaan pusat pengajian. Ada yang menawarkan pengajian percuma di universiti-universiti tertentu Timur Tengah yang telah dimasukkan unsur-unsur ekstrem. Tahap hubungan antara ketiga negara yang dinyatakan dengan Amerika dan Israel pula sudah sedia maklum.
 
Ekstremis Sufi pula didokong oleh Mesir dan juga UAE. Gerakan seperti Toba Foundation dan Ruwaq Azhar dijadikan medium. Universiti al-Azhar yang sebelum ini dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi daripada fahaman ekstrem Syiah Fatimiyyah kepada keterbukaan akademik dan moderat, kini dipergunakan untuk menghidupkan fahaman ekstrem Sufi.
 
Sama ada ekstremis Salafi ataupun ekstremis Sufi, mereka berdiri di sebelah sama menentang Gerakan Islam yang menjulang misi mengembalikan khilafah. Ikhwan Muslimin dianggap Khawarij, Hamas dianggap pengganas, Syed Qutb pembawa ajaran sesat, misi menegakkan khilafah adalah sia-sia.
 
Di Malaysia, kedua pihak ini menjadikan PAS sebagai sasaran serangan. Mereka mengguna berbagai cara, sama ada menghentam PAS dari luar mahupun menguasai PAS dari dalam. Malangnya kebanyakannya hanya sedar akan ancaman ekstremis Salafi sahaja kerana kebetulan mereka berada di sisi liberalis.  Ekstremis Sufi tidak begitu disedari walaupun mereka cenderung bersama penguasa zalim.
 
Asas Kewujudan Gerakan Islam
 
Fikrah Gerakan Islam yang tulen adalah menghindari polemik khilafiah. Kewujudan Gerakan Islam antara lain adalah untuk menyedarkan ummah mengenai agenda musuh dalam mengapikan perbalahan sesama Islam dan mengajak kepada kesatuan ummah tanpa mengira aliran.
 
Perkara ini boleh dilihat jelas melalui Usul 20 yang diasaskan oleh Imam Hasan al-Banna. Bermula usul ke lapan hingga 15, beliau konsisten membicarakn mengenai polemik khilafiah antara Salaf dan Khalaf, Wahhabi dan Sufi. Di dalam usul ke 20 pula beliau menegaskan tentang bahaya budaya takfiri yang bertitik tolak dari perbezaan masalah khilafiah ini. Menunjukkan bahawa pada masa itu iaitu pasca kejatuhan Uthmaniah, masyarakat Timur Tengah disibukkan dengan masalah-masalah khilafiah. Ikhwan Muslimin yang diasaskan beliau adalah bagi menangani masalah ini dan mencari titik temu umat yang kehilangan punca.
 
Perkara sama berlaku di India. Penubuhan Jamiat Islami adalah membina kesatuan umat tanpa mengambil kira perbezaan mazhab antara Hanafi dan Syafie, juga antara Salaf dan Khalaf malah Sunni dan Syiah. Di Indonesia, kewujudan Masyumi adalah bagi menyatukan dua aliran besar yang berbeza manhaj akidah sepertimana halnya Nahdatul Ulama dan Muhammadi. Di Iran, Ayatullah Khomeini membawa ideologi Ikhwan Muslimin dalam menggabungkan pengikut Sunni dan Syiah hingga mencetus revolusi lewat 70-an. Hubungan baik ini diteruskan di bawah pentadbiran Hasan Rouhani.
 
Di Malaysia secara khusus, PAS muncul dengan pegangan moderat (baca: wasatiy) menggabungkan antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Kaum Muda adalah mereka-mereka yang menerima pengajian daripada Timur Tengah dan institusi pengajian Islam moden, manakala Kaum Tua adalah mereka yang mengikut pengajian di peringkat pondok tradisional.
 
Ilusi Wahhabi
 
Sekilas mengenai Wahhabi, istilah ini kembali dihidupkan setelah melihat kegeraman umat Islam yang mempersalahkan kejatuhan Uthmaniah atas kedajalan Wahhabi. Asal usulnya Wahhabi adalah gerakan yang ingin menentang bida’ah dan khurafat yang berleluasa akhir pemerintahan Uthmaniah yang mengambil nama sempena tokohnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Hasil pakatan antara Bani Saud dan British, gerakan Wahhabi didanai untuk menjayakan misi menjatuhkan khilafah, selain peranan Syarif Hussain yang memberontak sehingga melancarkan Revolusi Arab 1916.
 
Pasca kejatuhan Uthmaniah, umat Islam serata dunia mempersalahkan Wahhabi. Barat memanipulasi keadaan ini dengan menjenamakan semua pihak yang membawa pendekatan jihad ekstrem sebagai Wahhabi. Namun mereka masih mendanai gerakan ekstremis seperti al-Qaeda dan ISIS bagi mengulang kejayaan Wahhabi dahulu.
 
Maka istilah Wahhabi menjadi bermacam maksud mengikut definisi yang diberikan setiap pihak. Wahhabi mengikut istilah akademik Islam merujuk kepada gerakan Muhammad bin Abdul Wahab dan ianya telah berjaya dihapuskan Uthmaniah dahulu. Wahhabi mengikut golongan tradisional pula adalah setiap mereka yang membawa fahaman berbeza dengan pemahaman masyarakat setempat. Media Barat pula mempotretkan Wahhabi mewakili semua gerakan jihad ekstrem.
 
Apabila ditanya kepada pihak yang dituduh, tiada siapa mengaku sebagai pengikut Wahhabi. Bahkan di kalangan mereka ada yang tidak bersetuju dengan pendekatan Muhammad bin Abdul Wahhab. Tetapi dakyah musuh Islam telah berjaya menghidupkan watak ilusi Wahhabi untuk memastikan kesatuan Islam tidak berlaku.
 
Seruan Kesedaran
 
Hakikat ini perlu disedari semua umat Islam khususnya anggota Gerakan Islam. Mereka perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa global dan peka agenda musuh. Jangan sesekali merasa selesa dan selamat walau satu saat sekalipun. Jika kalian merasa perjuangan ini sudah selesa, atau gerakan ini sudah selamat, maka itu adalah tanda kejatuhan umat!
 
Sedarlah bahawa kemenangan Islam sudah semakin dekat. Sedarlah juga bahawa semakin dekat dengan kemenangan, semakin getir keadaannya. Semakin memerlukan kewaspadaan dan kesungguhan yang jitu.
 
Percayalah, penderitaan dan saat getir yang ditanggung umat Islam hari ini umpama sakit ibu yang sedang melahirkan anak. Sakitnya memang dahsyat. Keadaannya sangat genting, antara hidup dan mati. Tetapi selepas bayi berjaya keluar, nikmat menyambut kelahiran kurniaan tuhan sangat manis dan berharga. Rasa sakit derita itu hilang begitu sahaja.
 
27 Muharram 1439
18 Oktober 2017
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 18/10/2017
- Advertisement -