Kenaikan harga barang himpit golongan muda

- Advertisement -
HARGA barangan keperluan harian yang sentiasa meningkat kesan kenaikan harga petrol dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sangat memberi kesan kepada pengguna.
 
Paling terkesan adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah, termasuk kalangan anak muda yang baharu memulakan kerjaya atau rumah tangga. Harakah menyoroti luahan pandangan diutarakan terhadap punca dan usaha mereka menanganinya.
 
Menurut Penolong Pegawai Fisioterapi, Nor Azila Razak, setiap kali harga minyak naik, harga barang yang lain akan turut naik, tetapi jarang berlaku sebaliknya apabila harga minyak turun.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}
 
Katanya, beliau yang mempunyai pekerjaan tetap pun begitu terasa dengan kenaikan harga barang di mana tentunya lebih terasa bagi golongan tidak punya pendapatan tetap.
 
“Jika dahulu RM50 boleh digunakan untuk membeli pelbagai barang keperluan harian, tetapi sekarang beli lima jenis barang sahaja sudah melebihi RM50,” ujar Azila.
 
Untuk berjimat, beliau selalunya membeli barang dengan kaedah atas talian seperti Lazada, kerana di laman tersebut selalunya akan ada jualan murah dan barang yang dipesan akan sampai terus ke pintu rumah.
 
Selain itu, minyak kereta dan masa dapat dijimatkan tanpa perlu keluar ke kedai atau pasar raya untuk membeli barang.
 
Beliau memberi cadangan kepada kaum isteri yang tidak bekerja boleh membantu suami dengan berniaga secara atas talian, contohnya menjual kek, pakaian wanita atau pelbagai lagi di mana boleh mendapat pulangan secara kecil-kecilan.
 
Azila menasihati agar dimulakan perniagaan dengan barangan yang ada di depan mata, secara berdikit-dikit.
 
“Islam meletakkan perempuan untuk berperanan di rumah dan keluarga, namun terpaksa keluar mencari kerja untuk menampung kos kehidupan sekarang, hal ini menyebabkan anak-anak mengalami kurang kasih sayang,” ujar beliau seorang ibu muda berumur 30 tahun dan berasal dari Gurun, Kedah.
 
Bagi Noor Sri Osman, 42, guru di Arau, Perlis, kesan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan semakin ramai orang terpaksa membuat pinjaman untuk memenuhi keperluan hidup.
 
Menurut beliau, hal ini menyebabkan orang ramai akan terjerumus kepada muflis jika tidak mampu membayar semula hutang yang dibuat.
 
Beliau memberi cadangan agar pihak berwajib meninggikan gaji pekerja di semua sektor dan memansuhkan GST yang dikenakan oleh kerajaan.
 
Selain itu, Noor Sri juga mencadangkan agar pengguna menghalakan kewangan kepada barangan keperluan sahaja dan membeli barang di kedai yang murah dan dalam kuantiti banyak supaya dapat bertahan lebih lama.
 
“Perbelanjaan untuk keseronokan peribadi mestilah tidak melebihi sepertiga (suku) dari pendapatan keseluruhan. Jika berlebihan maka akan ada defesit kepada perbelanjaan yang lain,” katanya.
 
Menurutnya anak-anak beliau yang belajar di universiti dididik supaya mencari wang saku sendiri semasa belajar dengan menjual t-shirt dan makanan seperti roti canai dan donut.
 
Sebagai guru, beliau merasakan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga semakin meningkat kerana bantuan dari Kerajaan Pusat sudah semakin berkurangan kepada pihak sekolah.
 
Sebagai penyelesaian, pihak sekolah terpaksa mengenakan yuran PIBG yang mahal untuk menampug kos perbelanjaan diperlukan oleh sekolah contohnya seperti kos kertas bagi mencetak soalan peperiksaan dan nota, kos membaiki banggunan dan kos perbelanjaan program motivasi atau teknik menjawab soalan.
 
Manakala bagi Misma Tuming, 38, juga guru sekolah di  Kangar, kesan dari peningkatan kos sara hidup menyebabkan perbelanjaan semakin meningkat tetapi pendapatan masih sama. 
 
“Oleh itu rakyat terpaksa berbelanja mengikut keperluan sahaja dan membuat tabung kecemasan jika berlaku sebarang masalah yang tidak diduga.”ujarnya lagi
 
Beliau mencadangkan supaya perbelanjaan barang dapur dapat dikurangkan dengan menanam sendiri sayur-sayuran.
 
Misma berkata, GST yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sangat tidak adil kerana rakyat tidak kira miskin atau kaya terpaksa membayar cukai ini. 
 
Katanya lagi, Islam telah menyediakan garis panduan untuk menyelesaikan masalah ini, namun kerajaan tidak menggunakannya sebaik mungkin.
 
“Zakat hanya dikenakan ke atas orang kaya dan diberikan kepada orang yang layak mengikut asnaf yang ditetapkan oleh Islam. Namun GST telah dikenakan kepada semua tidak kira miskin atau kaya,” kesalinya.
 
Menurut beliau lagi, kegagalan pengurusan kewangan negara dan kebocoran aliran wang di semua peringkat juga merupakan faktor utama menyebabkan kejadian ini berlaku.
 
Ujarnya, kerajaan mengalami kerugian akibat dari salah laku ini dan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.
 
“Sudah tiba masanya rakyat menyedari hal ini dengan menukar pentadbiran negara kepada mereka yang jujur dan amanah. Sistem kewangan negara perlu diubah kepada sistem yang patuh syariah dan adil kepada semua pihak,” getusnya.
 
Sementara itu, Ustaz Muhd Fauzi Na’iim Che Halim, 33 pula berpandangan, keadaan ekonomi sekarang amat mencabar dan memaksa setiap ahli keluarga keluar bekerja untuk menambah pendapatan.
 
Ujar beliau, kesempitan hidup semakin ketara dengan kenaikan harga barang disamping cukai GST yang dikenakan tanpa mengira sesiapa.
 
“Untuk menghadapi  masalah demikian, isteri saya terpaksa bekerja membantu mencukupkan keperluan,” katanya yang merupakan tenaga pengajar di salah sebuah sekolah agama rakyat di Kedah.
 
Bapa muda kepada dua cahaya mata itu berpandangan, harga petrol tidak menentu setiap minggu juga membawa kesan kepada pengguna kenderaan termasuk beliau dan isteri yang setiap hari berulang alik dari rumah ke tempat kerja.
 
Malah katanya, ramai dari kalangan kawan-kawannya yang terpaksa mencari alternatif lain, melakukan kerja sambilan untuk menampung kos kehidupan.
 
“Apa yang berlaku sekarang adalah berpunca dari sikap boros para pemimpin, salah guna kuasa serta mengguna duit rakyat atas tujuan peribadi dan membazir. Apabila kantung negara semakin susut, rakyat menjadi mangsa dan terpaksa menanggung risiko kenaikan kos sara hidup.
 
“Walaupun kerajaan mendabik dada kononnya pemberian BR1M sebagai keprihatinan mereka kepada rakyat, namun pemberian itu tidak cukup untuk menampung kos-kos kenaikan, malah kalau hendak tampung kos GST pun tidak cukup,” bidasnya lagi.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru terutama kepada golongan muda yang baginya lebih  berfikiran terbuka agar bersikap matang untuk menentukan hala tuju negara untuk masa akan datang.
 
Manakala bagi Khairatuz Zohirah Kamisan, 30, ibu kepada dua anak mengajak rakyat menghindarkan diri dari terus menerima tekanan memandangkan kuasa menentukan pemerintah berada di tangan rakyat.
 
Katanya, tekanan kenaikan harga barang membuatkan suri rumah terpaksa berjimat cermat membeli barang keperluan dapur dan anak-anak serta terpaksa berfikir berkali-kali untuk membeli sesuatu barangan.
 
Suri rumah sepenuh masa itu melahirkan rasa agak tertekan dengan keadaan ekonomi Malaysia dewasa ini membuatkan beliau terpaksa mengutamakan keperluan yang penting terlebih dahulu terutama melibatkan anak-anak dan suami.
 
“Keperluan diri sendiri terpaksa letak ke tepi dahulu dan mengutamakan keperluan lain yang lebih penting,” ujar beliau yang kini menetap di Bertam, Seberang Perai.
 
Tambah beliau lagi, memandangkan hanya suaminya sahaja yang bekerja, sumber pendapatan keluarga agak terhad dan terpaksa merancang setiap perbelanjaan dengan bijak untuk mengelakkan pembaziran selain memikirkan juga keperluan masa depan pendidikan anak-anak.
 
Katanya lagi, adakalanya perbelanjaan bertambah apabila anak-anak sakit dan terpaksa mendapatkan rawatan doktor, sedangkan kos rawatan sekarang semakin mahal.
 
“Bila fikirkan masa depan anak-anak yang sedang membesar ini, saya kadang-kadang buntu juga. Yuran tadika pun mahal, kos pengangkutan juga meningkat. Macam saya ini, ada anak umur dua tahun, kos susu, lampin pakai buang lagi,” sambung beliau yang sedang sarat mengandung anak ketiga.
 
Baginya, perkara dikehendaki rakyat sekarang adalah penurunan harga barang yang membawa masalah kepada semua golongan terutama mereka yang berpendapatan rendah.
 
Tegas beliau, seharusnya kerajaan mengambil iktibar apabila terdapat rakyat membayar barangan yang dibeli dengan duit syiling, tidak termasuk yang terpaksa mencatit hutang di ‘buku tiga lima’ walaupun kurang disenangi peniaga.
 
“Jadi bagi saya perlu ada kesedaran di semua pihak terutama pemerintah, jangan hanya fikirkan projek mega, namun kebajikan rakyat terabai,” sambung Khairatuz lagi.
 
Sehubungan itu, beliau mengajak agar  rakyat bangun membuat perubahan, keluar dari kepompongan kesempitan hidup, terjemahkan protes tekanan yang dihadapi ini dalam pilihan raya akan datang.
 
Pandangan sama turut dikongsi peniaga barangan aksesori kereta, Mohd Aiman Loh, 27, di mana melihat kenaikan harga barang memberikan impak negatif kepada generasi muda terutama bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan sama ada dalam dan luar bandar.
 
Katanya, persaingan kerjaya juga turut terkesan kerana majikan dan syarikat telah cuba minimakan pengambilan pekerja serta mengambil golongan yang berkemahiran dan berpengalaman.
 
Menurutnya juga, cabaran besar bagi golongan berkeluarga apabila kenaikan harga barang menjadi tekanan hidup untuk memperolehi pendapatan yang tinggi menyebabkan terpaksa melakukan kerja pelbagai sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.
 
“Kos pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu disediakan untuk memastikan masa depan anak-anak terjamin, tetapi keadaan ekonomi yang berlaku terpaksa memerah keringat bekerja atau menangguhkan pengajian seketika.
 
“Bagi saya sendiri antara yang dilakukan dalam mengatasi masalah ini adalah dengan memastikan setiap perbelanjaan digunakan mengikut keperluan bukan kehendak.
 
“Di samping itu, memberikan kefahaman kepada ahli keluarga untuk saling membantu dan berhemah dalam berbelanja agar memastikan ia tidak merugikan serta mengabaikan keperluan utama,” ujar beliau.
 
Tambahnya, kerajaan perlu berusaha menguruskan kewangan negara dengan budaya urus tadbir yang baik tanpa berlaku ketirisan serta peningkatan jumlah pinjaman sehingga akhirnya rakyat menerima tempiasnya.
 
Beliau juga berpandangan, saingan kerjaya yang pesat membuatkan banyak pihak mengambil kesempatan menipu dan menyediakan khidmat palsu, bahkan ia menyukarkan lagi graduan untuk memperolehi kerjaya dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
 
Luahan serupa dinyatakan Zhuliana Ahmad, 30, seorang guru. Katanya, kesan jelas akibat kenaikan harga barang terzahir pada ibu bapa berkaitan perbelanjaan persekolahan terutama bagi tanggungan ramai. 
 
Bahkan ujarnya, setiap kali awal tahun atau aktiviti sekolah yang memerlukan kepada bayaran, pasti akan ada permintaan untuk dilakukan bayaran ansuran dan seumpamanya.
 
Malah menurutnya, kelengkapan sekolah seperti baju, alat tulis dan beberapa peralatan lain yang meningkat harganya memberikan tekanan ibu bapa membuat persediaan untuk anak-anak.
 
Terangnya, walaupun pihak pengurusan sekolah juga telah berusaha membantu, namun segala pengurusan perbelanjaan bergantung kepada keadaan harga keperluan semasa.
 
“Selaku seorang guru, saya merasakan keadaan ibu bapa yang berusaha mencari pendapatan demi melihat anak-anak mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan baik.
 
“Untuk sekolah luar bandar cabaran yang mereka lalui lebih pedih dengan hanya menoreh getah, berkebun dan beberapa perusahaan lain adakalanya tidak menjamin pulangan baik bagi keluarga.
 
“Keprihatinan pihak kerajaan perlu melihat suasana kehidupan rakyat yang melalui kesempitan, bahkan dengan kenaikan harga barang tidak menentu akan berterusan menjadi tekanan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
 
Beliau berpandangan kepincangan urus tadbir negara sekiranya berlarutan pasti akan memberikan kesan negatif kepada rakyat.{/mprestriction}
- Advertisement -