Geopolitik Tanduk Afrika: Kenapa Somalia penting kepada kuasa dunia

- Advertisement -

CERITA kebangkitan “Arab spring” sebahagian besarnya ialah cerita dasar luar Qatar, negara pendukung gerakan Ikhwanul Muslimin yang hampir menyaksikan agenda kuasanya dicapai ekoran kebangkitan massa di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara.

- Advertisement -

Qatar yang menjadi pemilik rangkaian stesen berita al-Jazeera dan pangkalan ilmuan Islam Syaikh Dr Yusuf al-Qaradawi berjaya membentuk perspektif ramai tentang kebangkitan di dunia Arab terutama Mesir dan kemudian Libya.

Dasar luar Doha terlaksana di Mesir apabila Presiden Hosni Mubarak berjaya diguling dan akhirnya – sekurang-kurangnya sehingga tahun 2013 – Ikhwan yang didukung Qatar berjaya menguasai Kaherah.

Di Libya, walaupun jauh dibandingkan dengan pencapaian di Mesir, proksi Qatar berjaya menjatuhkan Muammar Gaddafi dan menguasai ibu negara Libya buat satu tempoh.

Sekiranya Qatar disifatkan sebagai penggerak Arab spring – bersama sekutu rapatnya Turki –  maka Emiriyah Arab Bersatu pula – bersama sekutunya Arab Saudi – menjadi kuasa utama yang menyekat kebangkitan serantau yang digerakkan oleh kepentingan geopolitik ini.

Kisah dasar luar Qatar boleh dikatakan menjadi cerita paling menarik sepanjang kebangkitan Arab, dan kini, dasar luar yang paling penting diperhatikan ialah dasar luar Emiriyah, yang sedang dilaksanakan dan mencapai tahap-tahap baharu dalam meningkatkan profilnya di seluruh rantau Asia Barat.

Tetapi selepas lebih tiga tahun, pencapaian dasar luar Qatar yang diperolehi melalui kebangkitan rakyat dan sekutunya Ikhwanul Muslimin mula disekat dan dihakis oleh Emiriyah dan Saudi.

Dari Yaman hingga ke Libya dan Mesir, Emiriyah kelihatan mencapai matlamat-matlamat penting kuasanya, mengatasi Qatar dan juga kuasa serantau Arab Saudi, yang kedua-duanya telah semakin terhakis pengaruh di Mesir akibat kejatuhan Mohamed Morsi dan Hosni Mubarak sebelumnya.

Pada masa ini, Tanduk Afrika ialah kawasan yang paling menjelaskan perluasan kuasa dan pengaruh Emiriyah yang sedang berlaku ini. Selain kawasan Teluk Parsi yang sentiasa panas, Tanduk Afrika juga menyaksikan persaingan sengit kuasa-kuasa dunia, dengan lokasi di Laut Merah, Bab al-Mandeb, Teluk Aden, Laut Arab, dan Lautan Hindi yang menjadikannya kawasan yang penting untuk dikuasai, atau sekurang-kurangnya memastikan kehadiran di sini.

Tanduk Afrika terletak di kawasan tegang meliputi Somalia, Eritrea, Ethiopia, Djibouti – dengan Kenya, Uganda, Sudan dan Sudan Selatan berkait rapat – dan di seberang negara yang kini berkonflik, Yaman. Perairannya ialah laluan bekalan minyak mentah dari Teluk Parsi ke Eropah melalui Laut Merah dan Terusan Suez.

Sejak sekurang-kurangnya tahun 2015, kuasa-kuasa serantau didahului Emiriyah mula menumpukan perhatian pada Tanduk Afrika, mencapai perjanjian dua hala menubuhkan pangkalan tentera masing-masing di kawasan strategik ini.

Kawasan ini kini sedang sesak dengan pasukan tentera asing, dan menjadi lokasi pangkalan-pangkalan baharu kuasa-kuasa dunia dan serantau. Amerika Syarikat, Perancis, China, dan Arab Saudi memiliki pangkalan di Djibouti.

Selain Turki yang telah menubuhkan pangkalan tentera di Qatar pada 2015 dan kemudian di Somalia tahun ini, Emiriyah menjadi sebuah lagi negara kuasa serantau yang giat menubuhkan pangkalan tentera di luar negara, dengan tumpuan di negara-negara Tanduk Afrika.
 
Kemasukan Turki dan Emiriyah ini telah menambahkan lagi pangkalan asing di kawasan ini, dan pada masa sama menjelaskan persaingan melibatkan dua kem Turki-Qatar dengan Emiriyah-Saudi, serta meletakkan negara-negara kawasan ini dalam keadaan sukar memilih sekutu paling rapat.

Emiriyah telah pun mempunyai pangkalan tentera di Eritrea (yang membantu operasinya di Yaman) ditubuhkan pada 2015 pada awal operasi tentera di Yaman, dan awal tahun ini menyempurnakan perjanjian untuk membina sebuah pangkalan tentera di Somaliland, negara yang telah mengisytiharkan kemerdekaan tetapi tidak diiktiraf antarabangsa.

Somaliland yang bersempadan dengan Djibouti di sebelah selatan menambahkan kelebihan strategik kepada Emiriyah di Tanduk Afrika. Djibouti ialah lokasi pangkalan tentera Africom Amerika Syarikat, dan tidak jauh dari situ, terletak sebuah pangkalan tentera China.

Sebuah lagi negara, Arab Saudi, juga sedang membina pangkalan di Djibouti, negara yang terletak di laluan paling sempit (choke point), Bab al-Mandeb di antara Tanduk Afrika dan Yaman di Semenanjung Arab.

Selain kedudukan strategik perairannya, Tanduk Afrika juga ialah kawasan hulu Sungai Nil, iaitu hulu Nil Biru di Ethiopia. Ethiopia sedang hampir menyiapkan Empangan Renaissance yang bakal mengurangkan aliran bekalan air Nil ke Mesir.

Belum pun empangan ini disiapkan, ketegangan telah tercetus antara Mesir dengan Ethiopia dan juga Sudan. Mesir telah memulakan langkah drastik menguruskan bekalan air untuk pertanian sebagai persediaan menghadapi kekurangan bekalan air akibat operasi Empangan Renaissance di Ethiopia.

Empangan ini berpotensi mencetuskan masalah pada masa depan, yang memungkinkan pelbagai senario termasuk masalah air di Mesir dan konflik bersenjata sekiranya isu bekalan air gagal diurus dengan baik.

Di kawasan ini, Israel membina hubungan baik dengan kedua-dua Ethiopia dan Sudan Selatan, untuk membolehkan kedua-dua negara membantu dan bekerjasama dengan negara Zionis itu apabila diperlukan nanti.

Negara bersebelahan Kenya pula, Uganda, ialah lokasi kawasan hulu Nil Putih, yang melalui Uganda, kemudian ke Sudan Selatan dan Sudan sebelum sampai ke Mesir.

Pelaksanaan dasar luar Emiriyah kini menjadikannya negara paling berpotensi untuk muncul paling berpengaruh di Somaliland, selain negara yang juga penting kepada Eritrea, kerana perjanjian penubuhan pangkalan ini melibatkan sekali bantuan dan pelaburan membina pelabuhan dan pelbagai infrastruktur lain.

Kemasukan agresif Emiriyah semasa Somaliland amat memerlukan kawan banyak membantu dari segi membina dan mengukuhkan pengaruh. Pada masa sama, hasil strategi yang berbeza selepas bersama memulakan kempen ketenteraan di Yaman, Emiriyah kini membina pengaruh tersendiri di negara seberang Tanduk Afrika itu.

Emiriyah menyaksikan satu strategi dasar luar yang menarik selepas Qatar yang kini tersekat akibat percaturan yang dianggap terlalu agresif sepanjang kebangkitan Arab, apabila menyaksikan pengaruhnya terbina di Eritrea, Somaliland dan di Yaman terutama di bahagian selatan.

Dua negara yang memperlihatkan strategi pelaburan global dan dasar luar yang hampir sama telah mencatat sejarah sebagai antara negara kuasa baharu yang penting di peringkat antarabangsa pada masa kini.

Walau bagaimanapun, Turki sekutu kuat Qatar yang mempunyai keupayaan ketenteraan paling maju dalam kalangan negara-negara serantau yang bersaing memperlihatkan usaha agresif mengukuhkan kedudukan di Tanduk Afrika melalui penubuhan pangkalan di Somalia, yang merupakan pangkalan terbesarnya di luar negara.

Turki, walaupun berada di kem bertentangan dengan Emiriyah dan Saudi, bersikap pragmatik dengan tidak bertindak sehingga menjejaskan hubungan dengan kedua-dua negara tersebut.

Persaingan di Tanduk Afrika ini dijangka akan terus meningkat, selari dengan perluasan kuasa dan pengaruh negara-negara serantau yang kini mula melaksanakan projeksi kuasa dengan membina pangkalan dan terlibat dalam operasi ketenteraan di negara-negara serantau sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kedudukan geografinya yang strategik menyebabkan negara-negara yang kini sedang bersaing tidak akan melepaskan peluang dan akan memastikan kehadiran di kawasan ini. – HARAKAHDAILY 16/10/2017

- Advertisement -