Umno PAS bersama benda yang payah

Foto hiasan.
- Advertisement -

TAK usah berangan jika ada orang UMNO dan mungkin orang PAS inginkan kedua parti itu bergabung dalam PRU14 yang sudah dekat itu. Ia payah dan tak mungkin terjadi. 

- Advertisement -

Bagi yang bimbang baik UMNO dan PAS, baik DAP dan sekutunya Pakatan Harapan, PAS akan bersama UMNO dalam PRU nanti, tak usah bimbanglah! Ia payah terjadi dan tidak akan terjadi.

Bukan kerana PAS itu keli dan UMNO itu sembilang – serupa tapi tak sama. Bukan kerana banyak yang tidak disetujui, bukan kerana kafir mengkafir, bukan kerana perjuangan tidak sama dan sistem tak serupa.

Atas satu dua sebab saja ia tidak akan berlaku.

UMNO mungkin merasakan ia masih boleh menang lagi menghadapi ancaman Pakatan Harapan dalam persaingan tiga penjuru yang PAS satu daripadanya, tetapi menang yang berisiko; menang tipis. Tak kena gaya ia kalah tipis.

Maka bagi mengelakkan risiko itu ia suka sangat kiranya PAS boleh diajak berkawan sekali lagi seperti yang bapa Najib, Tun Razak buat tahun 1974 dulu, pertama kali bertanding atas Barisan Nasional dengan simbol Dacing menggantikan Kapal Layar.

Ramai menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon. PAS pun ada yang menang tanpa bertanding. BN menang selesa dengan majoriti dua pertiga. Setelah dua kali hilang majoriti dua pertiga, janganlah ia berulang kali ketiga.

Jika PAS dapat diumpan mungkin kemenangan tahun 1974 itu berulang.

PAS mungkin mahu kiranya semua calonnya di Parlimen dan DUN menang dan boleh membentuk kerajaan bersama. Daripada ia tidak dapat apa-apa lagi di Selangor dan kedudukan di Kelantan pun tak tentu terjamin, keghairahan tinggi Tan Sri Annuar Musa itu adalah menarik.

Tetapi mahukah PAS? Bukan soal PAS mahu dan tidak mahu. UMNO itu sendiri mahukah?

Mahukah PAS dikongsi kuasanya di Kelantan? UMNO tentu faham masalah ini. Dan mahukah UMNO jadi penyokong kerajaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain termasuk di Selangor?

Soal PAS setuju atau tidak setuju jadi perkara kedua. Setujukah UMNO memberi separuh dari kerusi Parlimen kepada PAS? UMNO mahu sangat PAS bersamanya kali ini. Tetapi siapa dalam UMNO yang sedia melepaskan kawasannya kepada PAS. PAS mungkin tidak minta Pekan, tapi PAS mahu Bera. PAS tak minta Bagan Datoh, tapi ia mahu Pasir Salak.

Kerana sudah jadi adik beradik dari rumpun DNA yang sama patutlah Menteri Besar sama banyak. Setujukah Noh Omar beri PAS jadi MB Selangor? MB Kedah datang semula ke pusat kerana MB Kedah dibagi kepada PAS?

Katakanlah demi perpaduan umat yang dituntut oleh semua 98 peratus sudah UMNO dan PAS setujui, tapi yang sangkut pada UMNO ialah hendak memberi separuh kerusi ditanding PAS.

Tentu UMNO kira tak aci PAS tuntut mahu sebegitu banyak kerusi. Tak boleh kata PAS tak aci. Satu dari syarat perpaduan iu adalah bagi memperkasakan Islam. Jaminan Islam diperkasakan mesti adanya penyertaan PAS yang kuat dalam kerajaan dan menentukan transformasi perubahan sistem berjalan. Jika PAS ada dua tiga kerat saja samalah seperti PAS bersama Tun Razak dulu.

Najib pun seperti Raja Melaka meminang Puteri Gunung Ledang dulu. Semua syarat pinangan disetuju. Yang tak disetujui setitik darah putera baginda.

Jangan bimbang. UMNO tak akan serah kerusi pada PAS. – HARAKAHDAILY 15/10/2017

- Advertisement -