Tugas Nabi SAW dan taujihat dakwah

- Advertisement -

Tadabbur Al Quran

- Advertisement -

Siri 11/2017_
SURAH A-KAHFI: TUGAS NABI SAW DAN TAUJIHAT DAKWAH AYAT: 27 dan 28

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَاتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ كِتَابِ رَبِّكَ ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَلَنْ تَجِدَ مِنْ دُونِهِ مُلْتَحَدًا (٢٧)

Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا (٢٨)

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat 27, Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw dan seluruh umatnya supaya membaca Al Quran dan beramal dengan semua isi kandungannya.

2. Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa sesiapa yang tidak melaksanakan ajaran al-Quran, mereka sebenarnya golongan yang durhaka dan wajar untuk mendapat ancaman dari Allah dan tidak layak mendapat perlindungan dari Allah swt.

3. Dalam ayat 28, Allah swt juga menyuruh nabinya sentiasa bersahabat dengan orang-orang fakir dan miskin dan bersabar dalam membimbing mereka.

4. Ayat ini diturunkan kerana para pembesar Quraisy telah mencadangkan agar diadakan majlis khas untuk golongan kaya dan pembesar kerana mereka tidak sanggup hadir bersama-sama golongan miskin yang dianggap tidak setaraf dengan mereka. Rasulullah swt berpendapat ada kebaikannya mengadakan majlis berasingan itu kerana Baginda terlalu inginkan supaya pembesar-pembesar Mekah yang kaya dan berpengaruh itu menganut agama Islam. Lalu Allah menurunkan ayat tersebut sebagai teguran kepada Rasulullah saw agar tidak mengabaikan sahabat sahabatnya yang miskin semata mata kerana ingin merapatkan hubungan dengan golongan yang kaya dan berkedudukan.

5. Dalam ayat ini juga Allah mengingatkan Rasulullah saw supaya tidak mempedulikan kehendak dan kemahuan golongan golongan kaya dan berpangkat itu kerana mereka tidak memikirkan untuk mendapat keredhaan Allah. Sebaliknya mereka hanya memikirkan cara untuk menambahkan kekayaan dan kemewahan dunia semata-mata. Jika mereka masuk Islam sekalipun, mereka mahu supaya Islam mengikut hawa nafsu mereka.

Pengajaran:

1. Kita disarankan agar berpegang teguh, sehidup semati dengan Al Quran yang diturunkan kepada kita melalui Nabi Muhammad saw.

2. Islam itu akan dimenangkan oleh Allah dengan pertolonganNYA, bukan dengan kebendaan atau pengikut yang ramai. Pertolongan Allah berlaku apabila wujudnya keikhlasan dan kejujuran di dalam diri pejuang-pejuang Islam.

3. Ayat Allah ini menjadi prinsip kepada golongan pendakwah semenjak zaman Rasulullah SAW hingga ke hari akhirat.

4. Pendakwah perlu menyingkirkan sikap yang merasakan kemenangan hanya berlaku apabila golongan berpangkat dan berkedudukan bersama sama Islam. Sebaliknya Islam dimenangkan apabila wujudnya golongan yang ikhlas , jujur dan berjuang semata mata untuk mendapat keredhaan Allah dan bukannya dengan penglibatan golongan kaya dan berkedudukan tinggi yang tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah.

Rujukan:
Tafsir Surah Al Kahfi karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 13.10.2017 / 23 Muharram 1439H

- Advertisement -