Adakah anti hadis adalah syirik?

- Advertisement -

HITAM putih kehidupan adalah di antara tauhid dan syirik kepada Allah. Itu sahaja. Allah memperakui dan meredhai tauhid sepenuhnya. Dia lalu menolak dan memurkai syirik sepenuhnya. Tauhid adalah putih. Syirik adalah hitam.

- Advertisement -

Justeru barang siapa yang tauhidnya teguh, maka untuknya adalah ganjaran syurga yang pasti daripada Allah. Manakala barang siapa yang syiriknya nyata, maka untuknya adalah balasan neraka yang pasti daripadaNya.

nik abduh1Allah tidak akan mengampuni dosa syirik kepadaNya. Ia satu penegasan yang jelas di dalam al Quran. Adapun dosa dan maksiat, Allah bersedia mengampuni dan memaafkan. Ia juga penegasan yang jelas di dalam al Quran.

Selepas itu adalah amal ketaatan dan amal kemaksiatan. Barang siapa yang amal ketaatannya banyak dan ikhlas, maka semakin banyaklah kerahmatan dan kelebihan Allah ke atasnya. Manakala barang siapa yang amal kemaksiatannya lebih banyak, maka kemurkaan dan azab Allah adalah dekat kepadanya.

Tetapi Allah adalah tuhan yang maha pengampun dan maha pengasih. Dia menawarkan keampunan dan kerahmatanNya ke atas semua makhlukNya yang berdosa dan bermaksiat. Ia berlangsung sepanjang masa. KemurkaanNya ditangguh ke belakang berbanding kerahmatanNya yang segera hadir pada saat para hambaNya datang kepadaNya beristighfar dan bertaubat memohon kasihan belas dan keampunan.

Itu kehendak dan kemahuanNya yang maha agung. Taat dan maksiat bukanlah putih dan hitam. Putih yang pasti adalah tauhid, manakala hitam yang pasti adalah syirik. Maksudnya, dosa dan maksiat adalah titik-titik hitam di atas kain putih tauhid. Ia boleh hilang dengan basuhan taubat dan istighfar serta amal ketaatan kepadaNya. Kain itu akan kembali putih.

Tetapi jika ia adalah dosa syirik, maka ia seperti dakwat hitam pekat yang disimbah ke atas kain putih sehingga ia mengeras dan melekat padu, lalu sukar lagi dibersihkan. Allah menolak untuk memberi harapan kepada mereka yang mensyirikkannya dengan jaminan keampunan. Ertinya, apabila syirik berlaku, Allah segera menutup pintu taubat. Dijadikan sang pensyirik itu sendiri enggan bertaubat dengan rela hati. Allah menarik kehendak dan izinNya daripada pendosa terbesar itu.

Apabila seseorang terjatuh ke dalam lembah syirik, maka dia tidak boleh lagi keluar darinya. Kemurkaan Allah ke atasnya adalah besar akibat dosanya itu yang begitu besar. Celakalah manusia yang membiarkan dirinya terjatuh ke lubang gelap itu.

Justeru Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam datang membawa peringatan yang jelas agar jangan sesekali manusia melakukan syirik kepada Allah. Baginda mengajarkan dan memperkukuhkan tiang tauhid di dada orang yang beriman. Ia agar mereka tidak sama sekali tersadung ke lembah syirik pada saat ujian kehidupan melandanya. Apabila tauhid teguh, tiada lagi harapan buat syirik menguasai diri.

Justeru setiap muslim mesti menjauhi syirik. Dia mungkin cuai dan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah, tetapi dia sama sekali tidak boleh cuai sehingga disambar dosa syirik. Tiada lagi ruang buat janji pengampunan dan kasihan belas daripadaNya.

Walau bagaimanapun, Allah kekal sebagai tuhan yang maha berkuasa atas segala sesuatu. Dengan kehendakNya jua, orang-orang yang syirik ada juga yang dikembalikan semula kepada tauhid dan amal ketaatan. Mereka dikeluarkan daripada lembah syirik yang gelap, lalu dicuci di telaga tauhid yang jernih dan nyaman. Itu kuasa Allah yang mutlak.

Syirik adalah menyamakan Allah atau menyekutukanNya dengan makhluknya yang lain. Dengan syirik, ia mewujudkan saingan dan penyamatarafan di antara Allah dan makhluknya. Bukankah itu adalah kekejian yang begitu nyata? Justeru di dalam hati muslim, mestilah Allah yang paling agung. Begitu juga di dalam perbuatan dan kehidupannya. Mestilah Allah yang tertinggi. Dialah satu-satunya.

Menyembah berhala adalah lambang syirik yang nyata. Begitu juga menyembah apa sahaja makhlukNya yang lain. Menyembah api, matahari, jin, gunung, pokok besar atau apa sahaja yang seumpamanya adalah syirik. Bahkan menyembah sesama manusia sebagai tuhan juga adalah syirik yang nyata. Ia seperti syiriknya Firaun dan rakyatnya.

Tetapi syirik hakikatnya bukan hanya berlaku dengan menyembah makhluk yang lain. Ia juga berlaku apabila manusia menyembah dirinya sendiri. Ia merajakan nafsunya ke atas Allah.

“Maka bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sendiri sebagai tuhan (yang disembah)?” (Al Jaathiyah:23)

Hakikatnya syirik begitu melata di dalam kehidupan manusia. Jika dibiarkan, syirik akan memakan bukan hanya orang yang nyata kafirnya, bahkan ia juga boleh merebak kepada kelompok orang Islam sendiri.

Melakukan dosa dan maksiat bukanlah syirik nyata. Apabila muslim melakukan maksiat, tetapi hatinya takut kepada dosa akibat perbuatan maksiatnya itu, maka itu adalah tanda dia masih berteguh pada tauhidnya. Allah masih agung di dalam dadanya. Ia hanya kalah kepada nafsunya saat dia melakukan maksiat itu, tetapi dia tetap mencela nafsunya sendiri, bukan mengagungkannya. Apabila dia sedar, dia datang kepada Allah dengan taubat dan istighfar. Allah lalu mengampunkannya.

Tetapi apabila seseorang muslim melakukan maksiat dan berbangga dengannya, maka itu bererti Allah telah kecil di dadanya. Nafsunya dinobatnya menjadi raja untuk dirinya. Dia membesarkan nafsunya sehingga tidak terdetik rasa takut kepada Allah. Jika ini berlaku, maka jelas dia telah menjadikan nafsunya sebagai tuhan yang disembah. Itulah syirik.

Iblis adalah makhluk Allah yang pertama melakukan syirik. Iblis tidak pernah menyembah berhala atau mana-mana makhluk Allah yang lain. Bahkan Allah tetap tuhannya. Dia memohon daripada Allah agar dipanjangkan umur sehingga dia mampu menipu anak cucu Nabi Adam sehingga kiamat. Tetapi iblis telah berani melawan kehendak dan arahan Allah. Dia enggan bersujud kepada Nabi Adam alaihissalam kerana merasakan dirinya lebih baik.

Sifat bongkak dan takbur menguasai dirinya. Dia lantas akur kepada dirinya sendiri berbanding Allah. Diri memilih taat kepada dirinya berbanding taat kepada Allah. Maka iblis telah mensyirikkan Allah. Dia lalu dilaknat Allah sepanjang zaman dan tersedia untuknys azab pedih yang menanti.

Begitulah juga balasannya buat manusia yang menyembah dirinya sendiri. Tiada beza antaranya dengan penyembah patung. Kedua-duanya adalah syirik yang nyata.

Perhatikan, apabila Allah menyuruh agar umat Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam beriman kepada kerasulannya, maka ada di antara mereka yang menolak. Mereka hanya mahu menerima Allah, tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad dan haknya sebagai seorang rasul untuk ditaati. Bukankah ini sama seperti perbuatan iblis tersebut?

Dia menyembah Allah, tetapi enggan mendengar arahan Allah dan begitu sombong dengan pendapatnya sendiri. Apabila ditegur dan disuruh bertaubat, dia mendabik dada enggan berbuat demikian dan mencipta beribu alasan mempertahankan kebijakan akalnya memahami agama.

Orang yang anti hadis adalah orang yang telah jatuh ke lembah iblis dan lembah syirik. Apabila seseorang telah jatuh ke lembah syirik, Allah lantas menghadapnya dengan kemurkaan dan kebengisanNya, bukan lagi dengan rahmat dan kasih sayangNya. Allah menutup pintu taubat untuknya.

Justeru jauhilah sifat sombong dan takabbur di dalam diri. Ia hakikatnya tumbuh menjalar di dalam diri manusia daripada benih yang ditabur oleh iblis laknatullah yang terhasil dari dalam ladang iblis itu sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Dan barang siapa yang mengikuti jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya dia menyuruh untuk melakukan kekejian dan munkar. Dan kalaulah tidak kerana kelebihan dan rahmat Allah ke atas kamu, maka pasti tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang mampu menyucikan diri (daripada dosa syaitani). Tetapi Allahlah yang menyucikan siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui.” (Al Nur:21)

Takabbur bukanlah sifat sejati manusia yang berasal daripada Nabi Adam alaihissalam. Apabila melakukan dosa, Nabi Adam terus datang kepada Allah dengan taubat dan istighfar. Selamatlah nabi Adam daripada dosa syirik yang dimurkai. – HARAKAHDAILY 14/10/2017

- Advertisement -