Kebangkitan rakyat tuntut formula penyelesaian Islam

- Advertisement -

HARI ini istilah “tsunami Melayu” telah mula digunakan oleh beberapa parti politik termasuk para penganalisis serta pengulas politik tempatan bagi meramal dan menggambarkan satu fenomena gegaran politik besar yang bakal berlaku dan melanda negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

- Advertisement -

Tsunami menurut istilah geografinya adalah ombak luar biasa dan gelombang besar yang berlaku sehingga melanda kawasan pantai dan darat berpunca daripada gegaran bumi di dasar laut akibat pertembungan kepingan kerak bumi atau plak tetonik sesama sendiri sehingga mencetuskan gelombang tekanan besar.

Tsunami politik yang dimaksudkan di sini tidaklah membawa kemusnahan dan kerosakan kepada negara dan rakyat sebaliknya ia merujuk kepada gelombang perubahan politik besar-besaran akibat perubahan pola pengundian satu kelompok atau segmen pengundi dalam satu-satu pilihan raya sehingga merubah landskap politik negara yang berkenaan.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kalau pun ada kemusnahan ia sekadar kemusnahan populariti dan kehilangan sokongan kepada satu-satu parti akibat penolakan skala besar-besaran oleh rakyat jelata. Tiada kemusnahan fizikal dan kerosakan harta benda sebagaimana fenomena tsunami biasa.  

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan “tsunami Melayu”?

Dalam dua pilihan raya umum yang lepas iaitu tahun 2008 dan 2013, rata-rata rakyat bukan Melayu telah menolak Barisan Nasional (BN) sehingga mengakibatkan BN kehilangan kuasa di beberapa negeri termasuklah Selangor, Pulau Pinang serta Kedah dan Perak pada tahun 2008. Keputusan akhir kedua-dua pilihan raya itu menunjukkan di antara 60 hingga ke 80 peratus pengundi bukan Melayu telah menolak calon-calon BN.

BN khususnya Umno, beruntung kerana masih mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan dan di beberapa negeri selebihnya disebabkan gelombang penolakan terhadap mereka itu hanya berlaku secara besar-besaran di kalangan pengundi bukan Melayu sahaja. Pola pengundian pengundi Melayu dipercayai tidak mengalami perubahan dengan sebahagian besarnya kekal setia menyokong BN.

Jika pilihan raya umum 2013 boleh dinisbahkan sebagai “tsunami bukan Melayu” terbesar dalam sejarah politik negara, maka jelas kesannya sekadar menafikan BN majoriti dua pertiga di parlimen dan beberapa negeri, serta kecundangnya BN di beberapa negeri tertentu khasnya Selangor dan Pulau Pinang. BN telah kalah di Kelantan semenjak tahun 1990 lagi.

Ini bermakna kesan gelombang tsunami berkenaan tidaklah menyeluruh sehingga mengakibatkan BN boleh musnah sama sekali. Realitinya juga gelombang tsunami sedemikian sudah sampai ke paras maksima dan tidak mungkin mampu melonjak lebih besar daripada itu.

Sesungguhnya tsunami berkenaan lompang dan tidak berupaya membawa kemusnahan “total” kerana pertembungan plak tetoniknya tidak menerima sokongan menyeluruh daripada para pengundi Melayu yang menjadi pengundi majoriti dalam negara.

Pengundi Melayu merupakan kelompok majoriti pengundi berdaftar di negara ini. Sekiranya berlaku “tsunami Melayu” sama ada bersama kelompok pengundi bukan Melayu atau secara bersendirian, sudah pasti ia akan memberikan kesan yang besar dan mencederakan kepada BN dan Umno.

Oleh itu mutakhir ini kemungkinan kemunculan fenomena “tsunami Melayu” sedang ditinjau dan diberi perhatian sehingga pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang dengan penuh ghairah telah membuat ramalan bahawa kelompoknya iaitu Pakatan Harapan akan mendapat manfaat jika ia berlaku. Maka DAP dan juak-juaknya dari Pakatan Harapan akan berkuasa di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, selain merampas kuasa di peringkat persekutuan dengan majoriti mudah.

Soalnya jika tsunami ini berlaku, pihak manakah yang akan menjadi paling beruntung?

Banyak kajian hari ini menunjukkan rakyat sudah mula bosan dan hilang keyakinan terhadap BN dan Umno. Ketempangan dan kepincangan pentadbiran BN di peringkat persekutuan dan negeri sehingga ia terpalit dengan pelbagai skandal dan penyelewengan telah menaikkan suhu kemarahan rakyat termasuklah orang Melayu.

Satu kajian yang dibuat untuk PAS Negeri Selangor contohnya menunjukkan 60 peratus daripada rakyat menyatakan ekonomi negara berada dalam keadaan buruk dan tahap pengangguran di negara ini kelihatan tidak terkawal. Selain itu 70 peratus menyatakan kenaikan kos sara hidup pada hari ini adalah sangat tidak wajar dan 72 peratus lagi pula menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Kajian ini konsisten dengan kajian-kajian lain yang dibuat sebelum ini oleh pihak-pihak lain.

Bagi PAS, “tsunami Melayu” yang dikatakan itu hampir pasti akan berlaku akibat daripada gelombang kemarahan rakyat terutama majoriti masyarakat Melayu yang sangat terkesan keadaan hidup mereka kebelakangan ini, di bawah pentadbiran BN.

Tetapi PAS percaya tsunami yang dimaksudkan itu nanti bukan sekadar “tsunami Melayu.” Majoriti rakyat Melayu yang kecewa, bukan sekadar mahu bangkit membuat perubahan tetapi mereka terpanggil untuk mengangkat satu formula penyelesaian yang muktamad bagi menyelamatkan mereka dan negara, dari terus hanyut dan musnah.

PAS percaya dalam kemelut yang menyeksa dan sungguh menekan ini umat Melayu yang beragama Islam tetap akan bangkit mencetuskan tsunami besar tetapi ia tidak terhad hanya kepada “tsunami Melayu” semata-mata. Malah ia mempunyai agenda yang lebih besar lagi berbentuk “tsunami hijau” ataupun “tsunami Islam” kerana ternyata pada hari ini rata-rata para pengundi yakni umat Melayu berasa lebih yakin dan selesa menjadikan Islam sebagai formula penyelesaian permasalahan mereka.

Orang Melayu akan bangkit berubah dengan memilih kalangan yang paling baik, yang bersih, yang berkualiti dan yang paling mereka percayai di antara mereka. Mereka juga kini cenderung memilih pemimpin yang bertaqwa yakni mereka yang taat dan tunduk pada kekuasaan Allah.

Mereka akan menolak pemimpin yang terbabit dengan rasuah, yang kotor, yang liberal dan yang tidak yakin kepada ajaran-ajaran Islam. Pemimpin-pemimpin tersebut akan menjadi korban tsunami ini termasuklah mereka yang pernah berkuasa dan merosakkan negara dahulu.  

Lantas tsunami hijau ini diyakini akan menggegar dan melanda bumi Malaysia dan jika ia berlaku, landskap politik baru buat Malaysia nanti bakal diterajui oleh mereka yang pro-Islam dan bukan yang sebaliknya.

Semoga Malaysia menjadi aman dan sejahtera dengan kemunculan tsunami hijau itu nanti. – HARAKAH 13/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -