Hentikan fitnah di media: Jentera siber perlu dahului

- Advertisement -

JENTERA siber (cybertrooper) semua peringkat parti politik perlu menghentikan berita berunsur fitnah di media sosial agar rakyat tidak bosan mengikuti perkembangan politik negara dan mengambil bahagian dalam Pilihan raya Umum ke-14 nanti. Kajian yang dijalankan menunjukkan ramai kelompok rakyat yang tidak mahu mengetahui isu-isu politik, tidak peka isu-isu semasa dan ramai juga yang tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai pengundi. Apa yang dibimbangkan nanti adalah peratusan pengundi dalam PRU ke 14 nanti yang merudum, sekali gus merencat usaha membentuk demokrasi yang segar dan sihat.

- Advertisement -

Jentera siber dari mana-mana parti politik perlu jelas kewujudannya. Mereka berperanan penting menjawab tohmahan yang dilemparkan ke atas kelompok dan pemimpin mereka dengan cara yang betul, memberi informasi yang benar di samping mempromosi politik sihat. Selain itu, maklumat yang tidak lengkap, sekadar ‘hear say’ (cakap dengar), rumus dan spekulasi adalah perkara yang perlu dibuang dan bukan disebarkan. Banyaknya maklumat seperti ini hanya sekadar persepsi yang jauh dari kebenaran yang akhirnya mengundang perpecahan.

Walaupun jentera siber memainkan peranan di belakang tabir sebagai key board warrior dengan menggunakan pelbagai nama samaran, berselindung di sebalik pelbagai identiti, dan mendapat upah imbuhan yang tinggi, namun ia bukan alasan unuk mereka menyerang musuh politik dengan sewenang-wenangnya. Malah, dengan identiti yang tidak jelas itu, jentera siber boleh berperanan lebih beradab dan beretika bagi memastikan tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh.

Dalam keadaan mood anak-anak muda yang tidak gemar kepada suasana politik semasa, seharusnya jentera siber politik berusaha mempromosi politik dengan gambaran yang sihat dan membina. Politik negara perlu diwarnakan dengan ‘warna putih’ yang menggambarkan kebaikannya demi kesejahteraan negara. Rakyat berperanan mencorakkan kepemimpin negara sekarang dan akan datang, justeru mereka perlu melibatkan diri dalam gelanggang politik.

Sikap menabur fitnah dan memburukkan musuh politik dalam media sosial adalah budaya politik songsang yang telah ditinggalkan orang. Rakyat benci melihat sikap segelintir pihak yang berpolitik tanpa kesudahan serta kenal batas hukum halal dan haram, dosa dan pahala. Yang rakyat mahu lihat adalah apakah tawaran parti-parti dan pemimpin politik di samping jalan penyelesaian terhadap kemelut yang mereka hadapi sekarang ini.

Sepatutnya semua parti politik mengamalkan ‘gencatan fitnah jentera siber’. Gencatan ini pula kekal sepanjang masa sampai bila-bila dengan tumpuan beralih kepada fakta dan kebenaran, bukan cerita rekaan atau sentimen yang menghasut. Kita mahu PRU14 berlangsung dalam keadaan politik besih tanpa fitnah, politik membina bukan meruntuhkan, politik memujuk bukan mengutuk.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

- Advertisement -