Ancaman krisis air rumitkan masalah Asia Barat

- Advertisement -

RANTAU Asia Barat dan Afrika Utara telah pun menjadi rantau yang mengalami masalah bekalan air yang tidak mencukupi. Rantau tersebut bagaimanapun akan berhadapan dengan krisis yang akan menjadi lebih meruncing lagi bagi dekad-dekad mendatang.

- Advertisement -

Sesebuah negara dikategorikan sebagai mengalami masalah bekalan air yang tidak mencukupi sekiranya ia tidak mampu untuk memberikan bekalan minima yang diperlukan bagi memenuhi keperluan asas penduduknya. Jumlah minimum yang telah ditetapkan Bank Dunia adalah sebanyak 1,700 meter padu air bagi setiap orang dalam masa setahun.

Rantau tersebut yang meliputi 22 negara-negara Liga Arab, Turki dan Iran juga menerima jumlah hujan yang sangat rendah pada setiap tahun. Kebanyakan negara tersebut hanya menerima 600 mm hujan setiap tahun dan oleh itu ia dikira sebagai rantau yang tandus.

Terdapat beberapa sebab mengapa krisis bekalan air di rantau tersebut akan menjadi lebih buruk. Antara sebab-sebab utama adalah jumlah penduduk yang semakin meningkat, pengairan bagi industri pertanian dan kesan-kesan akibat perubahan iklim.

Rantau tersebut mempunyai jumlah penduduk sekitar 300 juta dan jumlah ini dijangka bertambah menjadi 600 juta menjelang tahun 2050. Mereka akan terpaksa pula berhadapan dengan ancaman-ancaman perubahan iklim.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Rantau Asia Barat dijangka akan menjadi tempat yang akan menerima akibat paling buruk berbanding rantau-rantau lain di dunia, seperti digambarkan dengan suhu tinggi yang direkodkan bagi musim panas tahun ini. Purata suhu dijangka akan meningkat di antara tiga hingga lima darjah celsius menjelang akhir abad ini dan jumlah hujan pula dijangka berkurangan sebanyak 20 peratus dalam jangka masa sama.

Akibatnya bekalan air akan menjadi semakin tidak mencukupi dan padang pasir akan menjadi lebih luas dengan lebih pantas lagi. Padang pasir Sahara dijangka akan menjadi semakin meluas ke utara dan akan menggantikan tanah-tanah pertanian di kawasan pantai yang didiami ramai penduduk. Paras air laut juga dijangka akan meningkat.

Bank Dunia menjangkakan pertambahan paras laut di antara 0.1 hingga 0.9 meter akan mengancam enam hingga 26 juta penduduk di rantau tersebut untuk abad akan datang. Ancaman ini terutamanya akan dirasai di delta Nil dan sepanjang kawasan pantai Libya dan Tunisia.

Pada masa ini sejumlah enam peratus penduduk dunia tinggal di rantau Asia Barat tetapi mereka hanya mendapat sekitar 1.5 peratus jumlah bekalan air tawar dunia yang boleh didapati melalui hujan. Ini bermakna setiap orang di rantau tersebut hanya mendapat bekalan air secara purata sekitar 1,274 meter padu setiap tahun, sedangkan Bank Dunia mengunjurkan setiap orang memerlukan jumlah minima yang lebih banyak dari jumlah tersebut.

Angka-angka asas ini juga masih tidak menceritakan keadaan sebenar yang mungkin sukar untuk diterima. Sehingga 87 peratus jumlah bekalan air yang didapati di rantau Asia Barat digunakan untuk pengairan industri pertanian.

Sistem pengairan ini pula menggunakan sistem lama melibatkan penggunaan air yang berlebihan dengan cara membanjirkan kawasan pertanian yang menyebabkan berlakunya pembaziran penggunaan air. Ini bermakna bekalan air yang boleh digunakan untuk keperluan peribadi ataupun industri-industri lain sebenarnya  adalah jauh lebih rendah dari apa yang diunjurkan.

Masalah penggunaan air bawah tanah

Kecapaian terhadap bekalan air juga adalah tidak sekata di rantau tersebut. Sebagai contoh Turki adalah satu-satunya negara di rantau tersebut yang mempunyai lebihan bekalan air berdasarkan bekalan airnya yang boleh diperbaharui setiap tahun.

Negara-negara lain di rantau tersebut mengalami kekurangan bekalan air. Mereka terpaksa mencari cara lain untuk mencukupkan bekalan seperti menapis air yang tidak boleh diminum melalui proses nyah-garam bagi menggunakan air laut ataupun dengan cara menggunakan bekalan air bawah tanah. Walau bagaimanapun bekalan air bawah tanah ini merupakan simpanan air yang memerlukan masa yang lama untuk digantikan semula secara semula jadi.

Mesir sebagai contohnya, menggunakan 794 meter padu air bagi setiap orang setiap tahun dari sumber yang lestari. Oleh itu baki jumlah bekalan air yang diperlukan didapati melalui penggunakan air bawah tanah yang tersimpan dalam tanah poros yang terletak di perut bumi.

Dua contoh unik yang lain pula berlaku di negara Libya dan Yaman. Di Libya sekitar 70 peratus penduduknya tinggal di bandar-bandar di pinggir pantai seperti Tripoli dan Benghazi. Kebergantungan mereka kepada bekalan air bawah tanah menyebabkan bekalan tersebut berkurangan kerana bekalan air bawah tanah tersebut tidak dapat digantikan melalui jumlah hujan yang sedikit.

Ini menyebabkan air laut meresap ke telaga air bawah tanah mereka dan menjadikan bekalan air tersebut tidak lagi boleh digunakan.

Libya walau bagaimanapun semenjak bertahun-tahun lepas telah berjaya menyedut simpanan bekalan air bawah tanah yang besar yang terletak di bawah padang pasir Sahara. Simpanan bekalan air ini berasal dari pergunungan Nubia di Habsyah.

Projek tersebut yang dinamakan Sungai Besar Buatan Manusia kini membekalkan jumlah air yang banyak ke bandar-bandar di pinggir pantai tetapi projek ini telah memakan belanja yang besar kerana simpanan air bawah tanah ini memerlukan 30,000 tahun untuk diisi kembali dengan kadar hujan yang diterima sekarang.

Penggunaan yang berlebihan bermakna paras air simpanan ini sentiasa berkurangan. Ini bermakna sistem perbekalan tersebut perlu menggali lebih dalam lagi pada setiap tahun untuk memastikan bekalan air berterusan.

Yaman juga mempunyai masalah sama kerana sebilangan besar penduduknya mengalami ketagihan qat, iaitu sejenis pokok yang daunnya dikunyah untuk memastikan seseorang dapat memberikan tumpuan kepada kerjanya.

Sejumlah 40 peratus sumber bekalan air digunakan untuk mengairi tanaman tersebut. Di ibu kota Yaman, Sanaa, telaga yang dulunya hanya berkedalaman 30 meter sekitar tahun 1970-an kini mencecah kedalaman 1,200 meter. Bandar tersebut dijangka akan kehilangan bekalan air sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi.

Kadang-kadang masalah ini berlaku akibat tindakan manusia. Kegilaan Eropah bagi mendapatkan bekalan bunga ataupun buah-buahan di luar musim menyebabkan berlakunya pertumbuhan pesat “eksport tidak tradisi” yang juga mendapat galakan dari Bank Dunia.

Tetapi hasil eksport sedemikian memerlukan pengairan yang meluas dan juga menggunakan bekalan air bawah tanah yang besar. Sebagai contoh, di sebahagian Lembah Souss di Maghribi, paras air bawah tanah berkurangan sebanyak 11 meter setiap tahun kerana keperluan dari industri penanaman bunga dan buah-buahan.

Kehilangan bekalan air secara “maya”

Sebenarnya, eksport sedemikian adalah seperti mengeksport bekalan air yang berharga dan ini menyebabkan bekalan air di rantau tersebut menjadi berkurangan. Kehilangan air secara “maya” dalam bentuk eksport pertanian tersebut akhirnya perlu pula diimbangi dengan import.

Untuk memenuhi keperluan peribadi dengan diet yang mencukupi iaitu sebanyak 2,800 kilo kalori setiap hari setiap orang perlu meminum air sebanyak dua hingga lima liter setiap hari.

Akibatnya keperluan ini terpaksa dipenuhi dengan mengimport makanan kesan dari pengeluaran dalam negeri yang tidak mencukupi disebabkan kekurangan bekalan air.

Oleh itu, negara-negara Asia Barat menjadi pengimport makan terbesar di dunia bagi setiap orang berbanding rantau-rantau lain. Di negara-negara Teluk hampir kesemua makanan mereka diimport dan Mesir menjadi salah satu pengimport bijiran terbesar di dunia bagi setiap orang berbanding negara-negara lain di dunia.

Takungan air di permukaan bumi tidak dapat mengimbangi jumlah hujan tahunan yang sedikit di rantau tersebut memandangkan rantau tersebut hanya mempunyai tiga sistem sungai utama sahaja. Ini terdiri dari sistem sungai Tigris-Furat, Sungai Jordan dan juga Sungai Nil.

Sungai Tigris dan Furat bermula di Turki dan negara tersebut telah memonopoli sebahagian besar sumber air sungai-sungai tersebut melalui projek Anatolia Besar, iaitu satu sistem perempangan yang menggunakan air sungai yang ada bagi menjana tenaga elektrik dan mengairi kawasan pertanian.

Oleh sebab itu jumlah air yang mengalir ke negara-negara di hilir sungai tersebut seperti Iraq dan Syria menjadi berkurangan. Akibatnya kini air masin telah pun mula mempengaruhi sungai tersebut sehingga ke jarak 150 km ke pedalaman negara Iraq dan pada tahun 1975, industri pertanian padi Iraq musnah akibat berkurangnya paras air di kedua-dua sungai tersebut.

Di Mesir, Sungai Nil yang menjadi talian hayat untuk kelangsungan hidup di negara tersebut selama lima milenia sebelum ini, kini juga terancam dengan kewujudan Empangan Renaissance di Habsyah. Walau bagaimanapun tiada persetujuan di peringkat antarabangsa untuk memastikan sejumlah air tetap mengalir ke kawasan hiliran mengikut undang-undang antarabangsa.

Oleh it Mesir berada dalam kebimbangan bahawa jumlah air yang akan diterimanya akan berkurangan pada masa-masa akan datang. Masalah ini bukanlah satu perkara baru tetapi ia tidak pernah mencetuskan peperangan kerana tentunya negara-negara sama ada di hulu ataupun di hilir sesebuah sungai menyedari bahawa mereka memerlukan bekalan yang berasal dari punca yang sama.

Oleh itu penyelesaian sebenar adalah tertakluk kepada percubaan untuk mencari cara-cara baharu bagi menggunakan air dengan lebih efisyen dan rasional, berbanding bercakaran untuk mendapatkan hak kawalan.

Pembaziran air perlu dihapuskan dan cara-cara yang tidak mendatangkan kos yang tinggi seperti menggunakan kuasa solar bagi memproses air laut adalah salah satu strategi bagi mencari jalan penyelesaian untuk masa hadapan.

Semua pihak maklum bahawa hampir 50 peratus bekalan air hilang melalui paip-paip yang bocor ketika air disalurkan kepada pengguna.

George Joffe adalah profesor pelawat di King’s College London. Tulisan ini disiarkan dalam laman The Conversation dan diterjemahkan oleh Harakah.

Jadual: Per kapita kecukupan air dan nisbah bekalan dan permintaan di Asia Barat.

Negara – Per kapita kecukupan air, 1990 (m3 setiap orang/tahun) – Kecukupan per kapita air pada 2025 – Pengeluaran air, % daripada sumber boleh diperbaharui

Qatar – 60 – 20 – 174
UAE – 190 – 110 – 140
Yaman – 240 – 80 – 135
Jordan – 260 – 80 – 110
Israel – 470 – 310 – 110
Arab Saudi – 160 – 50 – 106
Kuwait – <10 – <10 – <100
Bahrain – <10 – <10 – <100
Mesir – 1,070 – 620 – 97
Iraq – 5,500 – tidak diperolehi – 43
Iran – 2,080 – 960 – 39
Oman – 1,330 – 470 – 22
Lubnan – 1,600 – 960 – 16
Syria – 610 – tidak diperolehi – 9
Turki – 3,520 – tidak diperolehi – 8

Sumber: Water Politics in the Middle East: A Context for Conflict or Cooperation? (2000) oleh Mostafa Dolatyar dan Tim Gray. – HARAKAH 13/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -