Rumah: Krisis serius kepada golongan muda

Foto hiasan.
- Advertisement -

ILMUWAN sebagai sebuah NGO yang memayungi ahli-ahli akademik dan profesional tanah air yang istiqamah dalam membangunkan negara dan ummah secara holistik mengikuti secara dekat isu perumahan negara, isu yang sudah terlalu lama menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat namun seperti tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berkuasa.

- Advertisement -

1.Rumah kediaman adalah salah satu keperluan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap keluarga menduduki rumah sendiri yang selesa. Polisi longgar dan tindakan lemah oleh mana-mana kerajaan dalam menangani keperluan asas rakyat ini memberi kesan yang buruk kepada kebajikan dan kesejahteraan serta kehidupan sosial rakyat.

2.Malaysia sebagai sebuah negara membangun sedang menghadapi krisis pemilikan rumah yang serius untuk golongan muda yang berkeluarga. Ia bukan hanya dihadapi oleh golongan muda malah hampir keseluruhan rakyat golongan bawahan (B40). Ia menjadi lebih buruk di kawasan bandar dan pinggir bandar.

3.Terdapat tiga sebab yang dikenalpasti menjadi penyumbang kepada masalah berkaitan perumahan negara iaitu (a) jumlah rumah mampu milik (RMM) yang terlampau sedikit, (b) kenaikan harga rumah yang mendadak dan tidak mampu dimiliki, serta (c) kesukaran institusi kewangan memberikan pinjaman kepada pembeli-pembeli. RMM mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah rumah yang bernilai tiga (3) kali ganda atau kurang berbanding jumlah pendapatan tahunan rakyat biasa. Sekarang ini, RMM Malaysia sepatutnya dinilai sekitar RM165,000 seunit berdasarkan pendapatan perkapita tahun 2014. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

4.Mengikut data Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC), untuk tahun 2015-2016, nisbah RMM berbanding keseluruhan jumlah rumah yang dibina hanyalah sekitar 20-30% berbanding dengan 70% untuk tahun 2008-2009. Malah, untuk tahun 2017, nisbahnya menurun dan dianggarkan hanya 20% rumah-rumah yang dibina adalah mampu milik. Dapatan ini sudah pasti satu berita buruk untuk rakyat terutama golongan muda dan B40 yang jumlahnya semakin meningkat.

5.Terbaru, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, memberitahu bahaawa 83% daripada rumah yang tidak terjual adalah rumah yang bernilai lebih RM250,000. Ini jelas menunjukkan bahawa banyak rumah yang dibina adalah rumah yang melebihi harga RMM dan tidak mampu dimiliki oleh golonganmuda dan B40.

6.Harga rumah pula didapati naik mendadak sejak tahun 2010. Kenaikan ini berserta kejatuhan nisbah bilangan RMM menjadi petunjuk kegagalan serius pihak kerajaan dalam menangani kebajikan dan keperluan asas rakyat dalam memiliki rumah.

7.Pengurusan masalah dan polisi perumahan yang lemah ke atas pemaju menyebabkan rakyat terbanyak dinafikan keperluan asas mereka. Masalah ini diburukkan lagi dengan peningkatan inflasi dan peningkatan kos sara hidup yang menyebabkan rakyat semakin terbeban.

8.Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu meningkatkan kerjasama dan bersungguh-sungguh mengenalpasti dan menutup ruang-ruang yang dimanipulasi pihak yang tamak dalam proses pembinaan dan pembelian rumah sehingga harganya meningkat secaara mendadak. Polisi-polisi yang lebih mesra rakyat serta mengelakkan konflik kepentingan antara kuasa politik dan syarikat pemaju perlu dibuat dan dikuatkuasa dengan berani.

9.Di samping itu, kerajaan wajib meneroka kaedah-kaedah Islam dalam menangani masalah ini. Setelah sekian lama model ekonomi dan perbankan Islam terbukti memberi keadilan kepada kedua-dua pihak pembiaya dan pembeli, sudah tiba masa sistem Islam digunapakai untuk menyelesaikan masalah keperluan asas rakyat yang semakin meruncing ini. Kerajaan Negeri Kelantan antara yang dikenalpasti telah mempelopori konsep pembiayaan rumah rakyat berasaskan sistem Islam. Sudah tiba masanya kerjasama ditingkatkan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik, bangsa dan agama.

PROFESOR MADYA DR MOHD FUAD MOHD SALLEH
Presiden Ikatan Ilmuwan Nasional (ILMUWAN) 2017
8 Oktober 2017/18 Muharram 1439H – HARAKAHDAILY 12/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -