PAS khuatir Rohingya boleh pupus

- Advertisement -
COX’S BAZAAR (Bangladesh): PAS melahirkan rasa kebimbangan bahawa penghapusan dan pengusiran etnik Rohingya secara berterusan di Myanmar akan menyebabkan umat Islam pupus dari negara tersebut.
 
Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa berkata, kebimbangan terhapusnya umat Islam di bumi Arakan yang kini dikenali Rakhine itu sangat berasas berdasarkan situasi semasa.
 
Katanya, pembunuhan dan pengusiran besar-besaran yang dilakukan oleh tentera Myanmar amat dahsyat terhadap etnit Rohingya hingga mangsa-mangsa pelarian yang ditemui di beberapa buah kem penempatan sementara di sempadan Bangladesh tidak lagi berhasrat untuk kembali ke tanah air mereka.
 
“Kami (PAS) bimbang jika Kerajaan Myanmar berterusan menzalimi, membunuh dan mengusir umat Islam dari etnik Rohingya. Suatu hari tidak akan ada lagi orang Islam di bumi Arakan itu.
 
“Ramai mangsa pelarian yang kami temui dalam misi bantuan kemanusiaan ini, rata-rata mereka tidak lagi mahu kembali ke tanahair kerana takut mati dibunuh.
 
“Jutaan umat Islam Rohingya kini menjadi pelarian dan puluhan ribu yang mati dibunuh atau terkorban dalam masa pelarian itu,” ujarnya kepada Harakah. selepas menyampaikan bantuan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan anjuran PASRelief di Kem Balokhali, Cox’s Bazaar, hari ini.
 
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PASRelief turut kesal dengan sikap Pemenang Nobel, Aung Suu Kyi yang membisu apabila kezaliman itu berlaku terhadap umat Islam.
 
Justeru, kata Ustaz Norazli masyarakat antarabangsa wajar mengambil langkah drastik serta memberikan tekanan kepada Kerajaan Myanmar.
 
Delegasi misi itu diketuai oleh Pengarah  PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor dan disertai sama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Pahang, Ustaz Sollehin Mukhyi dan Ustaz Rosli Abdul Jabar serta Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah. – HARAKAHDAILY 12/10/2017
 
- Advertisement -