Toleransi dalam dendam sesama orang beriman

- Advertisement -
PERASAAN dendam sepatutnya tiada dalam hati sesama beriman, namun selagi manusia hidup di dunia ini, orang beriman juga turut tidak boleh lari dari fitnah ini. Maka, ia juga sebagai satu fenomena kepada orang beriman bahawa keimanan ada yang bertambah dan berkurang. Bertambah dengan berakhlak yang sepatutnya dari hari ke hari, atau ia berkurang dengan kekurangan akhlak atau melakukan dosa dosa hati dan juga perilaku.
 
Dendam adalah penyakit hati yang boleh membawa kepada dosa dosa melakukan sesuatu sehingga boleh melakukan perkara zalim sesama yang masih beriman. Kisah anak-anak Nabi Yaakub sebagai contoh wujudnya dendam dan iri hati di kalangan mereka yang beriman. Kisah Nabi Yaakob dan anak-anaknya adalah kisah asal usul Bani Israel.
 
Adik beradik seramai 12 orang yang mempunyai iri hati kepada adiknya yang bernama Yusuf. Sehingga iri hati membawa kepada tindakan-tindakan yang menyebabkan kezaliman kepada Yusuf yang tiada kesalahan melainkan kelebihan yang diberikan oleh Allah. Namun kelebihan itu dipandang sebagai saingan dan takut pada bayang-bayang seolahnya kasih ayah mereka, Yaakob akan berkurang kepada anak-anaknya yang lain.
 
Jika ia boleh berlaku kepada anak-anak Nabi yang direkodkan dalam Al-Quran, apakah ia tidak akan berlaku di zaman kita dan kepada kita? Kisah ini akan berulang dan tinggalnya, hanyalah sejauh mana mahu menjadikan ia sebagai tauladan dan sempadan untuk kita kekal istiqamah mahu menjadi orang yang beriman dan sentiasa terus bertambah iman dan takwa.
 
Nabi Yusuf A.S menunjukkan kesabaran yang tiada tandingan. Menyelurusi hidup akibat fitnah dendam adik-beradik dan juga mereka yang ada dalam perjalanan hidupnya. Kesabaran yang panjang itu akhirnya membuah hasil sehingga adik-beradik yang khianat itu kembali semula kepada Islam dan bertaubat dan diterima oleh Allah S.W.T.
 
Namun, anak cucu Nabi Yaakob ada yang tidak mengikut contoh tersebut, ada yang meninggalkan ajaran, akhirnya Allah timpakan dengan didatangkan kekejaman Firaun kepada mereka yang telah tidak mengamalkan secara istiqamah ajaran ajaran Nabi Yaakob yang terdahulu.
 
Ibrah ini akan berlaku juga di zaman kita. Sekiranya dalam perjuangan ini, kita tidak boleh bertoleransi atas sikap yang diukur dengan kembali kepada jalan Allah, dendam dan iri hati sesama Muslim akan menguntungkan musuh-musuh Islam atau perjuangan Islam.
 
Kegagalan menyelesaikan perselisihan secara bersemuka, sebaliknya lebih suka bermuka muka, menambahkan lagi parah penyakit kepada konflik yang mungkin wujud dalam jemaah para pejuang Islam.
 
Dalam sejarah gerakan Islam sedunia, ia berlaku kepada gerakan Ikhwan Muslimin, kepada Masyumi, kepada Nahdatul Ulama, Muhammadiyah, Serikat Dagang Islam/Serikat Islam dan seumpamanya. Moga-moga, kita cepat cepat belajar untuk memastikan kepentingan Islam didahulukan berbanding kepentingan peribadi dan perselisihan peribadi yang akan menjadi faktor diambil kesempatan oleh musuh musuh Islam.
 
Jangan biarkan dendam dan iri hati membesar dan tumbuh menjadi kanser hitam yang menggelapkan hati sehingga tidak mampu menerima cahaya petunjuk Allah dalam hidup perjuangan ini.
 
 
AHMAD HAKIMI OTHMAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor – HARAKAHDAILY 10/10/2017
- Advertisement -