Doktor palsu

drsuhazeli
Dr Suhazeli Abdullah
- Advertisement -

RAKAN-RAKAN minta saya mengulas isu doktor gigi palsu yang sedang hangat dibincangkan dalam media sosial. Saya jawab; tidak semua isu perlu saya ulas. Sudah cukup rakan-rakan doktor dari #MedicalMythBustersMalaysia dan #MedTweeMY menjuarai isu ini.

- Advertisement -

Kesalahan dan hukuman telah jelas dijatuhkan dan beliau pun sudah sudah mengaku salah. Bagi saya isu ini selesai di sini. Malah beberapa kes sebelum ini pun selesai tanpa ditularkan pun. Seperti kes pesalah umur 21 tahun yang membuat perkhidmatan braces palsu di sebuah hotel di Terengganu. Beliau didenda RM40,000. Begitu juga seorang lelaki dari Kuantan yang menyamar sebagai doktor palsu. Semua tindakan tertakluk atas akta yang sama. Akta 586 (Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta) memperuntukkan tindakan tegas sehingga mencecah RM300,000 atau 6 tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan menjalankan kegiatan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa. Setakat rekod yang diketahui setakat ini terdapat 46 kes yang seumpama ini telah diambil tindakan yang sama.

Setiap pesalah dibenarkan dalam akta untuk membuat rayuan dan jika didenda sejumlah bayaran tertentu, beliau juga mempunyai hak untuk tidak dipenjarakan dengan membayar denda atas budi bicara mahkamah. Inilah undang-undang yang digunapakai oleh kita sejak terbentuknya Akta Amalan Perubatan 1971 lagi. Mana-mana pihak sama ada individu atau organisasi juga mempunyai hak yang sama untuk membantu. Bukan bermakna ingin bersekongkol dengan pesalah tetapi mungkin atas dasar kemanusiaan. Salah tetap salah. Itulah keluasan undang-undang negara kita. Ianya bukan akta politik yang ingin menganiaya sesiapa. Jika bertukar tapuk pemerintah sekalipun, akta ini masih wujud dan akan digunapakai.

Cuma menjadi kehangatan di pihak netizen apabila kes ini telah diolah oleh pihak-pihak tertentu, cuba menyalahkan pihak berkuasa yang menjalankan tugas membuat tangkapan pada tempoh hari. Seolah-olah beliau teraniaya. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beliau sendiri dan para penyokongnya sudah nampak tiada penyesalan atas kesalahan yang dilakukan. Pihak-pihak yang cuba menolong terpalit sama. Dengan kata lain pesalah tidak memperlihatkan garis keinsafan atas kerja-kerja sebagai doktor palsu itu. Sedang umur masih muda, hidup nampaknya sudah bergaya. Ini memberi satu isyarat bahawa kes-kes sebegini hanya dipandang kecil dan dipermain-mainkan. Sedangkan seberapa ramai yang sudah dan akan menjadi mangsa kepada kegiatan seumpama ini pada masa hadapan.

Isu ini boleh selesai dengan senang sahaja. Beliau wajib buat kenyataan maaf dan berjanji tidak lagi akan melakukan kegiatan doktor gigi palsu itu lagi. Pengajaran harus diambil dan tindakan tegas perlu dikenakan lagi selepas ini jika masih berterusan.

Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
08.10.2017
Ketengah Jaya

- Advertisement -