Arak: Antara hak non-Muslim dan menolak mafsadah dalam konteks Negara Malaysia

okf
- Advertisement -

Pendahuluan

- Advertisement -

Penganjuran Oktoberfest sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menimbulkan polemik dan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Pesta arak di atas telah diadakan pertama kalinya pada tahun 2012 sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia. Ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan kehadiran lebih kurang hanya 200 orang pengunjung.

Pada tahun 2016, pesta ini diadakan di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dengan jumlah kehadiran 3500 orang pengunjung. Pada tahun 2017, penganjur bercadang untuk membawa 250 jenama arak yang berbeza dari 43 syarikat/pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung. Penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Germany, Denmark, Norway, Japan, Thailand dan Vietnam. Pada kali ini (2017), penganjur mensasarkan kehadiran 6000 orang pengunjung. Syarat-syarat kemasukan tidak pula menyebut larangan ke atas orang-orang Islam.

Isu Oktoberfest ini menjadi hangat diperkatakan apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dirancang diadakan pada 6 dan 7 Oktober 2017 di Solaris Damansara. Menerusi satu kenyataan Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria berkata, DBKL telah menerima permohonan berkenaan pada 28 Ogos lalu. Bagaimanapun katanya, DBKL telah memutuskan untuk menolak permohonan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, pihak penganjur telah membuat permohonan lain kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di negeri Selangor. Pada 5 Okt 2017, pihak MBPJ telah menolak penganjuran Oktoberfest walaupun ditukar kepada “Festival Bavarian” bagi mengurangkan ketegangan. Keputusan itu diambil setelah menerima nasihat pihak polis berkaitan ancaman militan dan memberi kesan kepada ketenteraman awam.

Manakala pihak MPK pula telah meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman di Centro Mall pada 12 dan 13 Okt 2017. Menurut Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, kelulusan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman diberikan kepada Centro Mall memandangkan ia merupakan acara persendirian yang diadakan di premis persendirian. Antara syarat lain yang dikenakan ialah larangan kemasukan orang Islam ke kawasan penganjuran acara itu.

Penganjuran pesta arak ini pada tahun 2014 di One Utama juga telah menimbulkan polemik yang tidak sedikit apabila pada awalnya dicadangkan bertempat di lot parkir terbuka aras bawah di pusat membeli belah tersebut. Dengan bantahan yang dilakukan oleh banyak pihak termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), akhirnya lokasinya diubah ke lot parkir aras 4 dan dibuat secara tertutup. Terdapat di kalangan ahli-ahli parlimen bukan Islam yang menyertainya telah menyebarkan gambar-gambar melalui media sosial dan isu telah dipolitikkan oleh media massa bagi memperlihatkan pertembungan ideologi antara parti Islam itu dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang masing-masing berkongsi kuasa dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Peningkatan jumlah pengunjung yang disasarkan penganjur sejak 2012-2017 (dari 200 ke 6,000 pengunjung) dan publisiti yang semakin meluas telah mencetuskan reaksi negatif di kalangan netizen (terutamanya yang beragama Islam).

Keresahan masyarakat Islam di negara ini bukanlah berbangkit kerana pertikaian hak dan kebebasan golongan non-Muslim untuk meminum arak, namun ianya mengundang kesan sosial yang buruk dan menjejaskan keharmonian apabila diiklankan secara terbuka dan berlaku penularan di media sosial. Selain itu, penganjurannya juga memberi imej buruk kepada Malaysia yang dikenali di dunia Islam sebagai negara yang diperintah oleh pemimpin Islam dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Maka itu, isu penganjuran pesta arak yang menjadi polemik dalam masyarakat ketika ini memerlukan pencerahan dari sudut agama (Islam), perundangan dan kesannya dalam konteks sosio-politik negara Malaysia.

Imran Selamat
Ketua Lajnah Kajian dan Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

- Advertisement -