PAS Sibuti santuni penduduk Kuala Niah

- Advertisement -
SIBUTI: Penerimaan pribumi Sarawak kepada PAS semakin positif dari masa ke masa yang turut diperkukuhkan oleh komitmen PAS Kawasan Sibuti terhadap hal ehwal penduduk.
 
Dengan saban minggu bergerak menemui penduduk menerusi program Ziarah Mahabbah, hubungan antara pemimpin PAS bersama masyarakat menjadi semakin erat dan menyatu.
 
Pada rutin tersebut, Yang DiPertua PAS Kawasan Sibuti, Butir Bakar bersama Ketua Penerangan PAS Sarawak, Muhammad Afiq Mhd Khazar telah turun di Kuala Niah, di sini siang tadi.
 
Mereka turut disertai beberapa pimpinan PAS Kawasan Sibuti menemui dan meneliti masalah dihadapi penduduk di situ terutama berkaitan status tanah kediaman dan sumber bekalan air bersih.
 
Atas keprihatinan terhadap penduduk supaya memiliki keperluan asas tersebut, PAS berusaha untuk memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan.
 
Menurut Muhammad Afiq, PAS akan membantu sedaya mampu bagi menyuarakan keluhan hidup penduduk terbabit yang masih dihimpit oleh kepayahan hidup.
 
Beliau turut memuji kematangan dan keterbukaan penduduk di situ yang memberi kepercayaan kepada PAS untuk mengajukan perihal atas mereka untuk diketengahkan kepada pihak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 7/10/2017
- Advertisement -