Disebalik Tok Pa umum 50 sertai Umno…

Foto hiasan.
- Advertisement -

GIMIK ahli PAS menyertai Umno bukanlah perkara baharu buat rakyat Kelantan. Ia hanyalah satu skrip lapuk, basi dan murahan oleh Umno-Barisan Nasional yang telah digunakan khususnya menjelang PRU ke-13 tempohari. Lihat sahaja berita berikut iaitu pada 12 April 2013 yang juga kurang sebulan dari tempoh membuang undi, apabila dilaporkan di Dun Tawang, Bachok seramai 300 ahli PAS telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden Umno pada waktu itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat, Sempena Program Selamat Tinggal PAS.

- Advertisement -

NazmanCIDikaitkan antaranya PAS gagal menyelesaikan banyak perkara termasuklah dilingkari isu dan masalah penggunaan nama Allah hingga menyebabkan mereka kecewa dan akhirnya menyertai Umno. Namun, tiga minggu sahaja selepas pengumuman tersebut, Umno tersungkur di parlimen Bachok, tewas di Dun Tawang, kalah di Dun Jelawat dan tersembam di Dun Perupok.

Tanggal 17 Mac 2013 pula, disebut kononnya hampir 40 penyokong tegar PAS dari Kampung Kiat Rantau Panjang, bertindak menyertai Umno selepas kecewa dengan kerajaan negeri Kelantan yang disifatkan terlalu berpolitik berbanding menjaga kepentingan rakyat. Abdullah Mat Yassim sebagai Ketua Bahagian menerima borang tersebut, malahan menganjurkan program Selamat Tinggal PAS. Namun akhirnya, Ustazah Siti Zailah Mohd. Yusoff, calon PAS menang di parlimen P023 ini dengan majoriti sebesar 6,276 mengalahkan Ghazali Ismail dari BN. Malahan PAS menyapu bersih semua Dun dalam parlimen ini iaitu Bukit Tuku, Meranti dan Gual Periok.

Awal sebelumnya iaitu pada 19 Julai 2012 dilaporkan secara meluas oleh media media utama Umno kononnya Menteri Besar Kelantan waktu itu, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dikejutkan apabila 160 orang ahli dan penyokong PAS di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa menyertai Umno. Disebut bahawa penduduk di Kampung Pulau Melaka, Kampung Babong, Kampung Hujung Tanjung dan Kampung Tok Wu telah tertarik dengan pendekatan dan inisiatif yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kononnya lebih menjamin masa depan rakyat dan akhirnya menyerahkan borang keahlian mereka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Semua itu hanyalah perang saraf murahan yang kemudiannya kita semua maklum bahawa PAS kekal menang bergaya di semua Dun dalam Parlimen ini. Umno Pengkalan Chepa melopong dan ternganga seperti sedia kala. Malahan lebih bacul, selepas PRU13 tersebut, mereka dilihat cuba memindahkan pengundi mereka ke Tanah Merah dan Machang pula. Ini mungkin kerana mereka telah menemui jalan mati di Pengkalan Chepa.

Antara yang paling dramatik di Kelantan sebelum PRU-13 adalah apabila dengan gembiranya media pro-BN melaporkan berita sensasi dengan tajuk “Saudara Nik Aziz antara 2,800 ahli PAS sertai Umno”. Kes hangat pada 2 Julai 2011 ini memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dengan  bangganya mengumumkan bahawa rakyat Kelantan kini mula kembali menyokong Barisan Nasional setelah 2,800 ahli PAS menyertai Umno di daerah Pasir Puteh. Namun, mimpi Najib yang perasan ini tidak kekal lama apabila ayam tambatannya Tuan Mustaffa Tuan Mat tewas kepada calon PAS Dr Nik Mazian Nik Mohamad dengan majoriti 1,888 undi di Pasir Puteh. Ironi bukan?

Lantas, dengan bermulanya pengumuman Tok Pa di Tendong kelmarin, ia telah menjadi tanda bahawa PAS akan menang besar di Kelantan dan Umno tetap selesa hanya sebagai pembangkang. Kekalahan menjadi resmi dan adat kepada Umno negeri ini. Walaupun Annuar Musa menyebut akan samanya DNA Umno dan PAS, namun PAS ingin katakan bahawa, dasar membangun bersama Islam yang diperjuangkan telah membezakan kita seumpama langit dan bumi.

Malahan jika dengan pengumuman 50 orang itu, yang Umno bangga banggakan, maka beleklah semula gambar gambar Fastaqim 2.0 beberapa hari lepas yang jelas dipotret dengan lakaran wajah ratusan ribu anak anak muda negara ini. Dan ketahuilah wahai Umno, bahawa PAS adalah parti masa hadapan! – HARAKAHDAILY 7/10/2017

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan

- Advertisement -