Kuman bekam

- Advertisement -

SEDIH dengar cerita seorang pesakit yang pernah dijangkiti virus Hepatitis C akibat berbekam. Mungkin ianya satu kes terpencil, tetapi boleh dijadikan iktibar kepada penggemar bekam seluruh dunia.

- Advertisement -

drsuhazeliKisahnya bermula beliau dihinggapi Hepatitis C. Setelah diselidik tiada sumber lain yang menyebabkan sumber jangkitan kecuali beliau pernah berbekam sebulan sebelum itu. Nasib baik beliau segera dirawat dari doktor pakar. Keputusan akhir darah dapati beliau sudah bebas dari Hepatitis C.

Beliau membayangkan kembali di saat bekam dijalankan, pengamal bekam tersebut tidak mengamalkan konsep kebersihan. Pengusaha bekam itu hanya membasuh ‘cup’ bekam dengan cincai sahaja. Walaupun gunakan sabun dan air, tetapi nampak lagi darah kemerahan melekat di dinding cawan tersebut. Kemudian lap dengan tisu tandas darah yang terkumpul. Cawan bekam itu dikongsi dengan pelanggan lain pulak. Sedangkan kini sudah ada cawan bekam jenis pakai buang. Tapi demi jimatkan kos, cawan yang satu itu dikitar semula.

Nasihat saya kepada para pengamal bekam agar menjaga kebersihan semasa menjalani prosedur. Perkara ini selalu patut ditekankan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri. Paling minimum ‘universal precaution’ perlu diamalkan. Membasuh tangan dengan betul, memakai topeng muka, memakai sarung getah tangan yang nyahkuman dan menyelia semua alatan sebaik sahaja prosedur wajib dilakukan demi mengelak jangkitan kuman.

Virus bahaya yang berisiko tinggi untuk dijangkiti seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV. Kajian mendapati peratus risiko jangkitan virus Hepatitis B sebanyak 30%, virus Hepatitis C sebanyak 2% dan virus HIV sebanyak 0.3%. Begitu juga bakteria stafilokokos, streptokokus dan pelbagai lagi boleh mengundang jangkitan yang menyeksakan jika tidak diurus dengan baik.

Pihak KKM melalui Unit Perubatan Tradisional & Komplimentari telah mengeluarkan garis panduan bekam. Antaranya:

1) Peralatan untuk berbekam

a. Alat bekam – cawan
Cawan bekam tanpa perlu memanaskan udara sebelum diaplikasikan kepada pelanggan.
Cawan–cawan ini perlu disterilkan selepas setiap sesi rawatan, dan cawan yang sama tidak boleh tidak boleh digunakan pada tempat yang berbeza atau pada pelanggan yang lain.
Pastikan saiz cawan adalah bersesuaian dengan tempat yang akan diaplikasikan.

b. Lanset steril pakai buang
Hanya lanset pakai buang sahaja yang digunakan untuk menoreh kulit semasa prosedur bekam basah dilakukan.

2) Amalan baik langkah berjaga-jaga

a. Pengamal dikehendaki memastikan standard langkah berjaga-jaga dalam penjagaan kesihatan sentiasa diikuti pada setiap masa dan semua pengurusan sisa klinikal perlulah mematuhi garis panduan pengurusan sisa klinikal (rujuk pada Garis Panduan Mengurus Sisa Klinikal di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, 2009)

b. Bagi memastikan bahagian badan yang digunakan untuk rawatan bekam basah tidak dijangkiti kuman, pengamal perlulah menggunakan lanset steril pakai buang.

c. Permukaan kulit di bahagian badan yang akan digunakan untuk bekam basah perlu dibersihkan terlebih dahulu dengan 70% isopropyl alcohol dan dibiarkan kering sebelum membuat torehan.

d. Semua peralatan bekam perlu dicuci hama dan disterilkan mengikut kaedah pensterilan dan disinfeksi yang bersesuaian sebelum digunakan pada pesakit.

e. Pengamal dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi terutamanya sarung tangan semasa prosedur rawatan dan mesti memastikan tahap kebersihan diri sentiasa dijaga.

Semoga nasihat ini didengari.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli

Pautan
Kecederaan tusukan jarum.
https://www.ccohs.ca/oshanswers/diseases/needlestick_injuries.html
Panduan Bekam dari TCM. http://tcm.moh.gov.my/v4/pdf/guideline/TerjemahanPGBekam.pdf

- Advertisement -