Kafir mengkafir serangan paling berbisa Tun Mahathir (BAH. PERTAMA)

- Advertisement -

Latar Belakang

- Advertisement -

Tun Mahathir dalam artikelnya bertarikh 18 September 2017 baru-baru ini, dengan selambanya menuduh PAS mengkafirkan semua orang Melayu yang tidak menjadi ahli PAS! Semua orang Melayu, termasuk ke bawah duli Sultan-Sultan dan ibu bapa orang PAS sebelum PAS ditubuhkan! Bahkan beliau turut menuduh PAS mengkafirkan semua orang Islam dalam dunia yang tidak menjadi ahli PAS!

Biasanya, isu kafir mengkafir ini sering ditimbulkan oleh Umno setiap kali pilihan raya. Itu pun terhad kepada tuduhan Umno, bahawa PAS mengkafirkan ahli-ahli Umno dan menyebabkan berlaku perpecahan dalam masyarakat. Namun pada kali ini Tun Mahathir daripada luar Umno, menuduh PAS mengkafirkan Umno dan semua ummat Islam seluruh dunia yang tidak menyertai PAS!

PAS pun sampai ternganga besar kerana terlalu terkejut bagaimana Tun pada usia emas ini sanggup memfitnah PAS dengan tuduhan kafir-mengkafir pada skala mega yang terlampau-lampau mega. Artikel itu disiarkan di dalam web rasminya dan turut disiarkan secara penuh oleh beberapa media cetak, eloktronik dan juga media sosial.

Alahai! Tun! Oh Tun! Saya berdoa agar dikurniakan taufiq oleh Allah SWT dan semoga artikel ini, walaupun panjang, namun mudah-mudahan bermanfaat buat semua.

 

Keterlaluan Dalam Memburukkan PAS

Tun Mahathir dalam artikel itu kelihatan telah hilang sebahagian daripada dirinya. Beliau dilihat sangat melampau, hilang pertimbangan, tidak logik dan sangat tidak berpijak di bumi nyata.

Tun terlampau terdesak untuk mengajak orang Melayu bersama-sama menyokong Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR, PAN dan Bersatu. Tun terlalu terdesak untuk menjamin bahawa agenda Islam dan Melayu akan lebih ‘terjaga’ di tangan PH, apabila PH berjaya memegang tampuk kuasa di Putrajaya.

Oleh kerana PAS tidak mahu bersama PH, PAS terus diganyang sebagai musuh orang Islam dan musuh orang Melayu yang sebenar oleh Tun Mahathir. Najib dan Umno pun, jauh lebih baik daripada PAS pada kaca mata Tun!

Maklumlah Tun sekarang ini sudah dinobatkan sebagai kepimpinan utama PH. Jadi Tun tanpa jemu, terus ‘beristiqamah’ menggambarkan PAS sebagai sebuah parti ekstrem, ganas dan mengkafirkan semua ummat Islam yang tidak sehaluan. Keadaan itu, saling tak tumpah seperti Tun masih dalam Umno-BN sebelum ini. PAS akan sentiasa diserang dengan tuduhan ‘kafir-mengkafir’.

Namun dalam artikel beliau ‘Kafirkah Saya’ ini, Tun cuba pergi lebih jauh, apabila beliau turut cuba memprovokasi institusi Raja-raja agar turut sama berkongsi pandangan songsang beliau tentang PAS!

 

Menjelaskan Kekeliruan Seputar Isu Kafir-mengkafir Mengikut Lunas-lunas Syariah

Dalam artikel ini, saya akan bincangkan permasalahan iman dan kufur. Bila seseorang itu dikira Islam dan bila dia dikira kafir. Oleh kerana tajuk ini penting dan halus, saya kira elok kalau dimulakan dengan perkara-perkara berkaitan iman dan kufur secara ringkas.

Untuk keseragaman istilah, saya menggunakan kaedah iman dan Islam adalah seerti. Begitu juga kufur dan kafir adalah seerti. Ini kerana kita membicarakan istilah-istilah ini bagi tujuan mengetahui kedudukan seseorang itu, sama ada Islam atau kafir daripada segi hukum dunia yang zahir sahaja. Tentang hukum Akhirat dan hakikat pegangan hati seseorang, kita tidak bahaskan.

Jadi kita tidak bincangkan tentang golongan munafik di sini.

Orang yang mempunyai iman, diistilahkan sebagai orang Islam. Dan orang yang terpalit dengan kufur diistilahkan sebagai orang kafir. Orang pernah menjadi orang Islam, kemudian keluar atau terkeluar daripada Islam, diistilahkan sebagai orang murtad.

 

Ringkasan Mengenai Iman dan Kufur

Antara yang menarik tentang agama Islam, ia bukan hanya agama berbentuk warisan semata-mata. Ia bukan juga hanya cukup dengan pelaksanaan amalan ritual sahaja. Bahkan ia mencakupi pengakuan hakiki di dalam hati, diperakui oleh lidah dengan mengucapkan dua kalimah syahadah dan dibuktikan dengan melaksanakan tuntutan Islam dengan tubuh badan. Itulah Islam yang beerti penyerahan diri kepada Allah SWT dengan segenap jiwa raga. Hati, lisan dan anggota tubuh badan.

Kufur pula ialah tidak mahu mengakui yang demikian itu dengan hati dan lisan, serta enggan, lagi ingkar daripada melaksanakan perintah-perintah Allah SWT yang berbentuk fizikal.

 

Pintu Masuk Islam

Pintu masuk Islam bagi anak-anak keturunan orang Islam, ialah melalui Islamnya salah seorang daripada kedua ibu bapanya. Pintu masuk Islam bagi non-Muslim pula ialah dengan mengucap dua kalimah syahadah. Iaitu mengakui Allah SWT sebagai tuhan sebenar lagi Maha Sempurna, yang wajib disembah dan ditaati, dan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah yang menyampaikan ajaran-ajaran Islam yang mesti diikuti untuk mencapai keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

 

Pintu Keluarnya

Pintu keluarnya pula seperti yang disebut di dalam Mustika Hadith terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (Sekarang dikenali JAKIM), Edisi Jawi, Jilid 1 (Iman), hal 415 -420. Buku ini dicetak sejak 1973 dengan kata-kata aluan oleh YAB Perdana Menteri ketika itu Tun Haji Abdul Razak Dato’ Hussein.

“Perkara-Perkara Yang menyebabkan rosak iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian;

Bahagian yang pertama:
Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam. Iaitu… (diberikan contoh-contoh).

Bahagian yang kedua:
Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek-ngejek, mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh Rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi, mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama mengithbatkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu daripada Islam.

Misalnya… (diberikan contoh-contoh).

Bahagian yang ketiga:
Perbuatan, iaitu… (diberikan contoh-contoh).”

Demikian petikan daripada Mustika Hadith.

 

Kepentingan Mengetahui Batas-batas Iman dan Kufur

Kepentingannya ialah untuk mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam gejala syirik dan menjadi murtad tanpa kita sedari. Jika murtad, iaitu keluar daripada Islam setelah pernah menjadi orang Islam sebelumnya, maka ia adalah seburuk-buruk kekufuran. Balasannya tentulah berkekalan diseksa di dalam neraka dengan azab yang amat pedih buat selama-lamanya. Semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada sedemikian!

Jika seseorang itu melakukan perkara yang menyebabkan dia terkeluar daripada Islam dengan sengaja, lagi mengetahuinya atau dia menolak untuk menarik balik perbuatan atau perkataannya, setelah dikemukakan hujjah-hujjah kepadanya tentang perbuatan dan perkataan tersebut adalah kufur mengikut dalil-dalil qat’ie daripada al-Quran dan Sunnah, beliau tidak lagi dikira sebagai seorang Islam. Jalan kembalinya, beliau mestilah bertaubat dan kembali mengucap dua kalimah syahadah.

Jika seseorang itu melakukan perkara yang menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dengan tidak mengetahuinya, dia dikira berdosa besar dengan dosa yang amat besar dan hendaklah segera bertaubat dan membetulkan kesalahannya. Beliau dikira berdosa besar kerana cuai dalam mempelajari akidah, termasuk berkaitan perkara-perkara yang boleh membawanya kepada gejala murtad, yang merupakan fardhu ain ke atasnya. Mudah-mudahan Allah SWT mengampuninya.

Justeru masalah iman dan kufur adalah sangat penting kerana ia bukan sahaja berkait dengan hukum-hukum di dunia, bahkan berterusan sampai ke negeri akhirat.

 

Kata-kata Yang Menyebabkan Seseorang Itu Keluar Daripada Islam

Kata orang Melayu, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. “Lidah tidak bertulang”. “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Dek kerana ramai yang tidak menjaga tutur-katanya bila memberi komentar mengenai pelaksanaan hukum Islam, di sini saya salinkan aspek perkataan yang boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam sebagaimana di dalam Mustika Hadith;

“Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam;

1. “Hukum apa ini?”.
2. “Hukum ini sudah lapuk”.
3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan”.
4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus”.
5. “Berzina kalau suka sama suka apakah haramnya”.
6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya”.
7. “Berjudi kalau masing² sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya”.
8. “Kalau hendak sangat menurut hukum² Islam sampai kiamat kita tak maju”.
9. Berkata ” Perbuatan yang demikian tidak beradab”, Apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan menjilat sisa makanan dijarinya.
10. Berkata “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunnah”, apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
11. Berkata : “Si Anu dah mulai menyalak”, semasa ia mendengar azannya.
12. Membaca ayat-ayat suci, hadis, nabi dan nama-nama tuhan dengan cara mempersendakan dan mempermainkannya.
13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, padahal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim”.

Demikian di dalam Mustika Hadith.

 

Pihak Yang Berhak Menghukum Seseorang Individu Tertentu Sebagai Kafir

Syariat Islam tidak membenarkan mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya menghukum seseorang individu tertentu sebagai murtad atau kafir. Menuduh dan menghukum individu tertentu sebagai kafir atau murtad perlu melalui satu proses perbicaraan di mahkamah yang adil, telus dan saksama.

Di mana qadhi sendiri atau pendakwa syar’ie akan berhujah dan mendapatkan kepastian daripada tertuduh sendiri tentang sebab-sebab dan bukti-bukti yang menunjukkan beliau telah murtad. Tertuduh akan berpeluang membela diri atau mengesahkan dakwaan. Jika tuduhan terbukti benar atau mendapat pengakuan daripada tertuduh, qadhi akan meminta tertuduh bertaubat dan diberikan tempoh masa yang tertentu untuk berbuat demikian.

Jika dia kekal tidak mahu bertaubat setelah dikemukakan hujah dan diberikan tempoh, barulah hukuman murtad dikenakan kepada si tertuduh.

Tuduhan kafir mengkafir sesama orang awam hanya akan mencetuskan mudharat yang sangat besar. Di mana, akan ada individu yang dituduh tanpa bukti atau dengan bukti yang tidak mencukupi atau dengan ungkapan yang haram, namun belum dikira murtad secara ijmak. Tanpa perbicaraan, orang yang tersilap cakap, orang yang dipaksa atau orang yang terlalu jahil, bahkan orang yang telah bertaubat pun akan dituduh murtad juga oleh sesetengah pihak!

Ini pastilah akan mencetuskan huru hara dalam masyarakat.

 

PAS Sebagai Pendakwah, Bukan Penghukum

Ini berbeza dengan tugas para pendakwah yang hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur. Jika ada yang melakukan perbuatan atau mengeluarkan perbuatan kufur, para pendakwah akan menasihatkan orang itu supaya bertaubat, menerangkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh orang tersebut serta menasihatkannya agar tidak terus melakukan perkara kufur tersebut. Bimbang-bimbang nanti dia betul-betul terjebak ke dalam kufur yang hakiki di sisi Allah SWT!

PAS bukanlah mahkamah yang menjatuhkan hukum sama ada orang ini atau orang itu kafir atau pun tidak. PAS hanyalah sebuah parti politik yang juga berperanan sebagai badan dakwah yang menjalankan tugas sebagai pendakwah, menasihati orang ramai agar tidak terjebak dalam gejala murtad dengan menerangkan batas-batas iman dan kufur.

Oleh itu, PAS tidak menuduh seseorang individu tertentu itu kafir, sehinggalah beliau mendapat perbicaraan yang adil dan saksama di mahkamah berdasarkan bukti-bukti yang jelas dan terang serta dipastikan ungkapan beliau itu memang kufur tanpa ada sebarang takwil lagi. PAS hanya menerangkan iktikad, perkataan dan perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang muslim tergelincir ke dalam kancah murtad. Itulah hukum syara’ dan itulah juga pendirian PAS.

 

Kewajipan Menegakkan Hukum-hukum Syarak Dalam Pemerintahan dan Pentadbiran Negara

Menegakkan hukum Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran negara adalah wajib mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bahkan turut disepakati oleh semua mazhab Ummat Islam yang lain, termasuk Mu’tazilah, Khawarij, Syiah dan Zohiriyyah.

Jika ada perbahasan pun, ianya hanya berkisar tentang dalil hukum wajib itu, adakah wajib dengan nas atau wajib dengan akal. Ada pun mengenai wajibnya berhukum dengan hukum Islam, tidak ada sebarang khilaf, bahkan telah berlaku ijmak iaitu kesepakatan para ulamak mujtahidin tentangnya.

Selepas zaman penjajahan, ummat Islam diserang dengan serangan pemikiran yang hebat sehingga mereka lebih rela berhukum dengan undang-undang penjajah walaupun selepas berjaya mencapai ‘kemerdekaan’ daripada penjajah.

 

PAS Berjuang Untuk Pelaksanaan Syariah

PAS timbul kerana keperluan untuk mendesak agar undang-undang syariah dipakai dalam pentadbiran dan perundangan negara secara menyeluruh, bukan hanya terbatas setakat undang-undang keluarga dan perkara-perkara berkaitan ibadat khusus sahaja. Ini kerana perundangan Islam yang lengkap adalah sesuai untuk setiap masa dan tidak terikat dengan sempadan geografi.

PAS menerangkan tentang kebaikan undang-undang Islam berbanding undang-undang konvensional. PAS menjawab kekeliruan masyarakat tentang hukum-hukum Islam yang sering disalah anggap oleh sesetengah pihak. PAS juga memberikan alternatif-alternatif penyelesaian secara Islamik bagi isu-isu yang timbul dalam negara. Sama ada isu-isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.

PAS mahu mendaulatkan syariah melalui medium demokrasi selaras dengan peruntukan yang dibenarkan oleh perlembagaan negara yang sedia ada. Ini kerana Perlembagaan membenarkan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri membuat, membatal atau meminda undang-undang berdasarkan majoriti kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti politik di dalam pilihan raya.

Sebagaimana yang kita maklum, Perlembagaan Negara boleh dipinda, jika mendapat sokongan dua pertiga majoriti ahli Dewan Rakyat.

Inilah perjuangan PAS iaitulah untuk memenuhi tuntutan al-Quran dan as-Sunnah. PAS mengajak rakyat Malaysia mendokong hasrat murni ini melalui medium demokrasi.

 

USTAZ ZAKARIA ISMAIL

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang – HARAKAHDAILY 6/10/2017

- Advertisement -