Batalkan Pesta F&B Jerman: Elak ulangi tragedi Las Vegas

- Advertisement -

AMARAN atau nasihat dari Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun yang meminta penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman agar memikirkan kembali penganjurannya di Klang pada 12-13 Oktober 2017 ada asasnya. Beliau mengaitkan penganjuran pesta ini dengan kejadian tembakan di Las Vegas yang mengorbankan 59 orang.

- Advertisement -

riduan1Kejadian di Las Vegas menjadi saksi bahawa Stephen Craig Paddock, 64, menembak membuta tuli pengunjung yang membunuh berpuluh orang dan mencederakan 500 yang lain. Beliau bukanlah pengganas dikehendaki, bukan juga ekstremis agama. Bahkan dikatakan beliau adalah kaki judi yang tegar. Tetapi beliau bertindak kejam membunuh manusia tanpa belas kasihan.

Meskipun dikatakan pihak berkuasa tempatan sudah memberikan kebenaran F&B diteruskan dan permit acara itu juga diperolehi daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 28 September 2017, tetapi Datuk Seri Fuzi memberikan nasihat atas langkah keselamatan, bukan faktor politik. Sebagai KPN, beliau berhak merasa bimbang dengan ancaman keselamatan walaupun petugas keselamatan ditempatkan di kawasan kejadian sepanjang acara itu. Kenyataan beliau juga bukan menakutkan pihak penganjur, tetapi sebagai langkah waspada agar ketenteraman awam dapat dijaga. Pastinya beliau mempunyai rangkaian maklumat dan risikan yang lengkap sehingga beliau berani menuturkan nasihatnya itu.

Isu keselamatan dan pembunuhan dalam pesta keramaian bukan kali pertama berlaku. Beberapa kejadian tembakan dan pembunuhan dalam konsert di Amerika juga berlaku sebelum ini yang mengorbankan banyak pihak. Malah, di negara-negara Eropah, ancaman keselamatan dipandang serius kerana kerap berlaku tembakan, rempuhan van, bom jangka dan lain-lain dalam mana-mana pesta yang dianjurkan.

Jika dipandang pada serangan pengganas, kejadian yang berlaku kelmarin dan sebelum ini membuktikan bahawa bukan pengganas menjadi dalang serangan-serangan. Banyaknya dilakukan sendiri oleh pengunjung dengan sebab-sebab tertentu. Tidak ada jaminan peserta yang mabuk, kelompok samseng atau mafia bergaduh dan terlibat dalam sebarang insiden yang tidak diingini. Penjenayah juga mudah menjadikan pesta-pesta keramaian untuk menyeludup dan melakukan pelbagai aksi ngeri yang sukar dibayangkan dan melarikan diri dengan selamat.

Penganjur tidak seharusnya berpegang kepada rekod selamat selama enam tahun penganjurannya sebagai sebab untuk menganjurkannya sekali lagi. Dunia kini dalam ancaman keselamatan, dan sepatutnya Malaysia mengambil langkah lebih berwaspada terhadap apa juga perkara. Apa yang diinginkan oleh semua adalah negara dalam keadaan selamat, jauh daripada malapetaka yang merosakkan dan mengancam jiwa dan keharmonian rakyat. Nasihat polis sudah diberikan, dan tidak rugi mendengar pandangan dan teguran dari mereka yang benar-benar tahu maslahat semasa.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

- Advertisement -