55 rumah sementara untuk pelarian Rohingya

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Sebanyak 55 rumah sementara untuk etnik Muslim Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman junta tentera Myanmar berjaya dibina melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) di Kem Pelarian Balokhali, Cox’s Bazar, Bangladesh.
 
Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan tersebut adalah hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia yang disampaikan ketika misi pada September lalu di mana urusan tapak dan pembinaannya dikendalikan oleh Cooperation For Humanitarian Activities.
 
Katanya, sumbangan itu masih jauh dari mencukupi di mana dengan jumlah sekitar 550,000 pelarian terbaharu, bermakna sekurang-kurangnya 55,000 khemah perlu dibina sebagai perteduhan asas bagi para pelarian tersebut.
 
“Bayangkan betapa gembiranya mereka yang sehelai sepinggang kerana menjadi pelarian apabila menerima sumbangan rumah untuk berteduh sekeluarga? Walaupun hanya berstruktur sementara dalam sebuah negara asing kepada mereka serta hidup dalam ketidakpastian.
 
“Sudah tentu perteduhan itu mewakili kasih sayang, kepedulian dan nyalaan obor perjuangan Islam yang sampai dari tangan-tangan saudara seagama sendiri dari Malaysia. Walaupun tidak menghapus sengsara besar yang mereka tanggung, setidak-tidaknya mengurangkan.
 
“Bolehlah untuk anak-anak kecil mereka yang tidak mengerti berlindung dari panas dan hujan, serta tahu di mana tempat untuk melabuhkan diri berehat atau tidur di waktu malam sementara menanti langit siang mencerah semula,” ujarnya ketika menerima kiriman gambar dan video rumah tersebut.
 
Maklumnya, PASRelief akan meneruskan misi selanjutnya bersama 19 anggota pada 8 hingga 12 Oktober ini dengan pelbagai projek akan dilaksanakan antaranya agihan makanan, pembinaan telaga tiub, sekolah, musolla dan rumah sementara.
 
Jelas Sanusi, situasi ketika ini adalah paling kritikal kerana jumlah pelarian yang tiba di sempadan Bangladesh itu semakin besar jumlahnya di mana menghulurkan sumbangan di saat paling memerlukan adalah amalan paling utama (awla).
 
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang prihatin diseru terus memanjangkan pertolongan dengan sumbangan derma menerusi akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PAS dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 013-384 5555 (Mohd Adram) atau 012-596 9220 (Sanusi).
 
- Advertisement -