PAS cergas membina negara

- Advertisement -

ISLAM adalah satu cara atau sistem hidup manusia. Islam akan memastikan manusia sentiasa hidup bahagia dan berjaya walaupun mereka terpaksa melalui perjalanan hidup yang penuh dengan cabaran dan ujian.

- Advertisement -

Ertinya, Islam telah dirangka dengan sempurna dan menepati tuntutan kehidupan manusia di muka bumi. Tidaklah pelik kehebatan Islam ini kerana pembinanya adalah Allah sendiri. Dia-lah tuhan langit dan bumi dan Dia jugalah tuhan manusia dan kehidupan ini. Dia mengatur semuanya sekali. Dia maha mengetahui dan maha berkuasa ke atas segala-galanya. Maka Islam yang diturunkannya khas untuk manusia hakikatnya mengandungi segala ramuan yang sejati dan tuntas untuk menyelesaikan segala isu kehidupan.

Allah membuktikannya melalui kehidupan Rasul-Nya nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam di bumi Mekah dan Madinah. Di Mekah baginda terpaksa hidup dalam susah dan sukar. Di Madinah pula baginda hidup lebih selesa dan berkuasa mentadbir negara. Samada di Mekah atau Madinah, dalam susah atau senang, baginda membina kehidupan para sahabatnya dengan cemerlang. Kesemua mereka mengecapi hidup dalam acuan Islam yang penuh dengan asbab kebahagiaan hidup.

Justeru mudah difahami bahawa Islam tidak memerlukan kemenangan terlebih dahulu untuk memastikan matlamat kebahagiaan tercapai. Ia tidak memerlukan kekayaan atau kekuasaan terlebih dahulu untuk mencipta kebahagiaan hidup. Bahkan Islam mampu mecipta kemiskinan dan kesusahan yang berisi kebahagiaan kepada pemiliknya tanpa perlu menanti hari senang dan kaya.

Tetapi apabila dikurniakan kekuasaan, kekayaan dan kesenangan, maka kebahagiaan hidup itu berjaya disebar-luaskan kepada kehidupan orang lain sehingga turut mampu dikongsi bersama orang bukan Islam juga. Justeru Islam menuntut dan memburu kekuasaan, kekayaan dan kesenangan. Kenapa? Ya, kerana Islam didatangkan adalah dengan misi membahagiakan kehidupan manusia seluruhnya. Ia ‘rahmatan lil alamin’ atau rahmat untuk sekelian alam.

Justeru Islam adalah ugama dakwah dan jihad. Ia berdakwah mengajak manusia kepada kebahagiaan sebenar kehidupan. Ia kemudiannya berjihad dan bersungguh-sungguh menghadapi rintangan dan halangan musuh demi memperolehi kekuasaan dan kekayaan yang dengannya Islam menjadi semakin cergas melebar-luaskan kebahagiaan hidup ke seluruh sendi dan pelosok kehidupan manusia.

Itulah hubungan antara Islam dan kekuasaan. Islam bukan bergantung kepada kekuasaan untuk hidup dan berfungsi. Islam sedia berfungsi tanpa perlu ada kekuasaan, kekayaan dan kesenangan terlebih dahulu. Islam itu sendiri zatnya adalah bahagia. Pemiliknya adalah pemilik kebahagiaan tanpa perlukan apa-apa lagi.

Tetapi oleh kerana matlamat Islam itu adalah tawaran untuk semua dan memang disediakan untuk dikecapi oleh semua, maka Islam menuntut pemilik atau penganutnya sentiasa menuntut dan memburu jalan-jalan menuju matlamat itu. Maka dakwah dan jihad ke arah kekuasaan, kekayaan dan kesenangan dilancarkan oleh umat Islam sepanjang masa.

Itulah keadaan PAS hari ini. Ia adalah sebuah parti Islam yang secara benar dan konsisten membawa mesej Islam. Ia terpampang jelas di dalam perlembagaannya, struktur binaannya, kegiatannya, dakwahnya dan cita-citanya. Maka anda sedang menyaksikan kejayaan-kejayaan yang telah dan sedang dicapai oleh PAS yang hakikatnya adalah cerminan kepada janji-janji yang ditawarkan oleh Islam kepada sesiapa sahaja yang mengambil Islam sebagai cara atau sistem kehidupan. Ia akan memberikan keputusan dan natijah yang sama iaitu kebahagiaan dan kejayaan hidup.

PAS sedang cergas membina negara. Sejak bila? Ya, sejak ia mula ditubuhkan 66 tahun yang lepas. Umurnya seusia umur UMNO tetapi PAS kekal muda dan cergas membina negara pada ketika saingannya, UMNO telah pun secara nyata menunjukkan tanda-tanda keletihan dan ketuaannya menuju hari hujung.

Bagaimana PAS membina negara? Ia adalah dengan memenuhi segala tuntutan sebuah kenegaraan. Walaupun PAS belum memperolehi kekuasaan sebenar (kecuali
beberapa negeri), sumbangan PAS kepada negara amatlah besar. Wujudnya PAS sebagai pemain penting dalam arena politik negara telah menjamin keselamatan negara daripada berhadapan kerosakan lebih teruk yang dilakukan oleh pihak pemerintah yang sering alpa daripada amanah dan tanggung jawab pemerintahan.

Mari lihat beberapa peranan utama yang dimainkan oleh PAS. Pertama adalah kesetiaan oleh warganegara terhadap negaranya. Ia adalah satu ajaran Islam yang jelas. Islam memerlukan tapak atau tanah air untuk kedaulatannya dan membolehkannya berkembang maju. Malaysia adalah negara dengan majoriti umat Islam. Sejarahnya beratus tahun adalah sejarah kegemilangan orang-orang Melayu membangun dengan Islam.

Justeru PAS sedari awal menanamkan semangat patriotisme yang benar untuk rakyat Malaysia. Semangat membara ahli PAS bagi memastikan negara berjaya dan berkembang maju dengan Islam adalah amat ketara. Lihatlah bagaimana sedari awal PAS konsisten menentang anasir-anasir dari dalam atau luar negara yang cuba merosakkan negara.

Kedua, PAS menjunjung dan mempertahankan Islam sebagai ugama negara. Islam mestilah menjadi akidah dan nyawa negara. Sejak awal kemerdekaan, PAS mengingatkan bahawa memahami Islam sebagaimana kefahaman barat terhadap ugama mereka adalah salah. Ia akan meneguhkan fahaman sekularisme yang menolak ugama sebagai agen utama pembinaan negara. Islam adalah din dan daulah. Ia teguh dengan negara yang menjaganya.

Walaupun PAS terpaksa berhadapan tentangan yang sengit daripada pemimpin dan umat Islam yang masih jahil dengan ugama sendiri, apatah lagi memahami tipu daya musuh untuk merosakkan umat Islam, tetapi dengan semangat, keikhlasan dan istiqamah, PAS kini boleh menikmati hasilnya apabila menyaksikan kebangkitan Islam dan rakyat Malaysia sendiri mula menyedari hakikat perlunya negara kembali kepada Islam yang sebenar dan syumul untuk pembinaan sebuah negara Malaysia yang cemerlang.

Ketiga, kesatuan umat Islam di atas Islam. Ia amat hakiki di dalam kemajuan negara hari ini. Umat Islam yang mengambil selain daripada Islam sebagai cara hidup pasti akan hina dan merana. Itu amaran daripada Allah. Ia juga terpampang di muka dunia hari ini di mana umat Islam hidup dalam kelemahan dan kehinaan akibat meninggalkan ugama sendiri dan sanggup berkiblatkan musuh untuk memajukan diri. Pemimpin Islam hanya hidup berbangga dengan kekuasaan dan kemewahan yang mereka miliki, bukannya negara mereka.

Kebangkitan umat Islam mestilah dengan meraikan sunnatuLlah atau ketetapan Allah ke atas kehidupan. Ia tidak akan berlaku dengan melanggar sunnahNya itu. Walau dengan semangat dan kesedaran yang membara, umat Islam akan tetap gagal bangkit jika syarat-syarat kemenangan diketepikan.

PAS berusaha keras menepati jalan-jalan menuju kemenangan. Salah satu yang paling utama ialah kesatuan umatnya dengan mengetepikan perbezaan-berbezaan yang wujud. Walau bagaimanapun ia tetap tidak boleh mencair demi kesatuan sehingga mengorbankan prinsip-prinsip Islam yang mesti ditegakkan.

Di sinilah PAS begitu menunjukkan teladannya sebagai sebuah parti dan gerakan Islam yang berusaha memupuk sifat persaudaraan Islam selain mendekatkan antara kumpulan-kumpulan Islam yang berselisih. Ia amat sukar kerana wujud keegoan dan kepentingan kumpulan masing-masing yang menyukarkan tindakan kompromi, saling menerima dan memaafkan.

Senario hari ini mungkin mampu menjadi bukti bagaimana PAS berjaya menyatukan ratusan NGO muslim dan mendekatkan sesama tokoh-tokoh masyarakat untuk bersama bangkit di atas nama Islam. Kongres Rakyat ditubuhkan dengan sokongan besar pertubuhan-pertubuhan Islam terhadap usaha PAS. PAS juga berjaya membentuk budaya politik baru yang lebih sejahtera demi memastikan perbezaan kefahaman politik tidaklah harus menjadi faktor yang memecah belahkan umat Islam walau sesengit mana pun.

Tiga perkara utama di atas adalah contoh bagaimana PAS memainkan peranannya yang penting bagi memastikan pembinaan negara Malaysia yang berjaya. Ia dalam keadaan PAS belum pun lagi memperolehi kemenangan yang membolehkannya memegang tampuk kekuasaan negara.

Anda boleh saja melihat kejayaan PAS memandu Kelantan selama hampir 30 tahun. Ia negeri yang tidak kaya harta, tetapi kaya keharmonian dengan agama dan akhlak sebagai pakaian utamanya. Ia hampir menjadi negeri bebas rasuah dan salah guna kuasa yang semakin menghakis kekuatan negara kita. Ia juga adalah sebuah negeri yang sentiasa menerapkan nilai-nilai dan hukum hakam ugama dalam kehidupan rakyatnya.

Kelantan adalah model kecil binaan PAS hasil daripada sedikit kekuasaan yang diperolehinya melalui mandat rakyat. Selepas mengambil alih kekuasaan daripada UMNO, PAS menukar negeri Kelantan daripada negeri yang panas pertembungan politiknya kepada sebuah negeri yang adil dan sejahtera.

Inilah PAS hari ini yang semakin cergas membina negara. Ia tidak perlu menunggu sehingga memperolehi kekuasaan terlebih dahulu. Tidak. Ia bahkan sentiasa cergas membina negara dalam kekalahannya yang mendahului kejayaannya yang pasti hadir pada masanya yang semakin dekat. – HARAKAHDAILY 3/10/2017

- Advertisement -